Sunday, 21 October 2012

Sujud!!


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Kisah seorang hamba Allah! Allah, ku jua mahu seperti kamu..Moga Allah tetapkan ana untuk istiqamah dijalannya..Allahu ameen

XXXXXXXXXX

Setiap kali ada khabar berita gembira dan mendapat sesuatu nikmat, saya akan buat sujud syukur sebagai tanda terima kasih kepada Yang Maha Pemberi nikmat. Pada mulanya agak sukar untuk mula tetapi lama kelamaan mampu istiqomah dan terbiasa untuk laksanakannya.

Semua ini bermula tatkala saya bertemu dengan sebuah keluarga yang sakinah dan mawaddah. Keluarga mereka sentiasa diuji dengan pelbagai musibah tetapi sentiasa bersangka baik dan bersyukur dengan apa yang perlu mereka lalui. MasyaAllah.

Hati saya jadi tersentuh apabila Ummi Ulya meminta anak bongsunya buat sujud syukur seusai solat subuh, “Mariah, jom buat sujud syukur sebab selamat sampai kat sini”.

Saya yang sudah selesai solat subuh terus ke dapur untuk menyediakan sarapan buat mereka sekeluarga yang baru sahaja tiba di rumah sewa saya dari Kelantan sementara menunggu suami Ummi Ulya balik dari surau.

Dari dapur, kedengaran pula dua beranak membaca al-Mathurat. Beberapa minit, kedengaran pula bunyi pintu rumah dibuka menandakan suami Ummi Ulya sudah balik dan menyertai mereka membaca al-Mathurat.

Hati saya semakin tersentuh apabila terdengar esakan Ummi Ulya yang berselang-seli dengan nasihat yang diberikan kepada anak bongsunya. “adik jadi anak yang solehah buat ummi dan abah ya, abang ngah sudah selesai urusannya di dunia. Nanti kita cari kakak ya. Jangan sedih, Allah uji keluarga kita mesti ada hikmahnya”.

Saya nampak anak bongsu memeluknya sambil mengesat air mata ummi kesayangannya seraya berkata, “adik minta ampun dan maaf ya ummi atas segala dosa yang adik buat dekat ummi. Abah, adik pun minta ampun dan maaf dengan abah. Halalkan makan, minum dan semua yang abah dan ummi berikan kepada adik”.

Terasa ada manik jernih yang mengalir di pipi saya. Hati manusia mana yang tidak tersentuh melihat betapa tabahnya hati mereka sekeluarga yang tidak pernah sunyi dari diuji oleh Allah s.w.t.

Ketika itu, Allah sedang menguji iman anak sulung Ummi Ulya. Dia tidak balik bercuti ke rumah, sebaliknya melencong ke tempat lain. Apabila ditanya, dia ada program di kampus dan akan pulang beberapa hari lagi. 

Tembelangnya terbongkar apabila Ummi Ulya menelefon saya yang menjadi urusetia program dan saya memberitahu anaknya tidak ada di kampus dan akan datang kemudian setelah bercuti di rumah beberapa hari sedangkan Ummi Ulya memberitahu anaknya tidak balik bercuti.

Betapa kecewanya hati seorang ibu apabila anak kandungnya menipu dan tidak jujur dengannya. Sudah ditanya beberapa orang rakan ke mana anak sulungnya pergi, tetapi tidak seorang pun tahu di mana dia berada.

Setelah di selidik, anaknya baru sahaja tiba di Kedah dari Kelantan. Tetapi tidak tahu di mana anaknya tumpang berteduh. Mujurlah anak sulungnya masih mahu berhubung dengannya, cuma anaknya merahsiakan lokasi dimana dia berada dan tidak mengethaui bahawa Ummi Ulya sudah tahu anaknya menipu.

Sebaik sahaja Ummi Ulya mendapat tahu anaknya berada di Kedah, mereka sekeluarga terus datang ke Kedah pada sebelah malamnya dan menumpang di rumah sewa saya hingga masalah anaknya selesai. Itulah permulaan bagaimana saya boleh bertemu dengan keluarga ini.

Pagi itu, sebelum kami semua mencari anak sulungnya sekitar taman perumahan di Jitra, terdetik di hati Ummi Ulya untuk mencari di kolej tempat anaknya menginap. Saya membawa mereka pergi ke kolej yang dimaksudkan.

Ummi Ulya melihat baju anak sulungnya berada diampaian, lalu dia menyentuh baju tersebut dan masih basah. Dia mengetuk pintu dan memanggil nama anaknya kerana dia yakin anaknya ada di dalam bilik tetapi tiada sahutan. Dia meminta anak bongsunya melihat dibawah pintu dan ternampak ada kaki disebalik pintu.  

Dia cuba memujuk lagi anaknya supaya membuka pintu tetapi tiada bunyi atau respon dalam bilik. Anak sulungnya tetap berdegil dan tidak mahu membuka pintu serta tidak menyahut panggilan Ummi Ulya yang sudah tersedu-sedu dengan tangisan.

“kakak, bukalah pintu nie. Ummi tahu kakak ada dalam bilik”.

Saya jadi hilang sabar dengan sikap anak sulungnya. Dengan rasa geram dan marah, saya mengetuk pintu biliknya dengan kuat. “Masyitah! Buka pintu nie. Akak tahu awak ada dalam bilik. Sanggup awak buat ummi awak macam nie. Orang lain dalam bangunan nie tengah pandang kita, tak malu ke? Baik awak buka sebelum akak pecahkan pintu nie!”.

Saya terdengar penyelak pintu bilik ditarik dan tombol dipulas. Perlahan-lahan anak sulungnya membuka pintu. Saya melihat muka anak sulungnya merah padam menahan amarah. Ummi Ulya dan anak bongsunya masuk dalam bilik sementara saya tunggu di luar bilik. Tidak mahu masuk campur urusan anak beranak. 

Selang setengah jam kemudian, anak bongsunya memanggil saya masuk ke dalam bilik. Saya melihat Ummi Ulya dan anak sulungnya menangis. Anak sulungnya berdegil dan tidak mahu menceritakan ke mana dia pergi selama tiga hari. 

Ummi Ulya berkata kepada anak bongsunya, “adik, kemas barang kakak. Kita bawa kakak balik. Dia tidak boleh sambung belajar lagi kalau masih buat perangai macam ini. Lebih baik duduk di rumah saja”.

Saya terkejut dengan keputusan Ummi Ulya.

“Ummi, bertenang dulu. Tinggal lagi satu tahun saja untuk Masyitah tamatkan pengajian. Dia cuma tersalah langkah saja kali ini”. Saya cuba memujuk. 

“Ini bukan kali pertama dia buat macam ini. Sebelum ini pun sudah pernah buat, tetapi ummi sabar dan bagi peluang lagi dekat dia. Tak sangka dia buat perangai lagi”. Jawab Ummi Ulya dengan tangisan yang masih berbaki.

“Masyitah, kalau awak mahu membela diri dan memohon maaf terhadap apa yang awak sudah lakukan, inilah masanya. Akak tak dapat bantu untuk ubah pendirian dan keputusan Ummi awak melainkan awak sendiri mengakui kesilapan sendiri”, saya berpesan kepada Masyitah.

Masyitah diam seribu bahasa sementara adik bongsunya terus mengemas pakaiannya dan memasukkan dalam beg.

“Ummi, maafkan kakak…”, Masyitah berlutut dihadapan umminya.

“Kakak janji dekat ummi, ini kali terakhir kakak buat macam nie dekat ummi dan abah. Kakak minta maaf sebab selalu susahkan ummi. Kakak tahu Ummi sayang kakak. Kakak rasa sunyi sangat selepas abang ngah meninggal. Itu sebab kakak tak balik rumah. Kakak jadi sedih bila tengok bilik dan barang-barang abang ngah.” luah Masyitah.

Ummi Ulya terus memeluk anak sulungnya. Anak bongsunya juga memeluk ummi dan kakak sulungnya. Saya sudah tidak mampu membendung air mata dari mengalir keluar tatkala melihat tiga beranak ini berpelukan sesama mereka.

Ummi maafkan kakak. Ummi sayangkan kakak, arwah abang ngah dan adik.” luah Ummi Nor sambil tersedu-sendu.

“Kakak jumpa abah ya. Abah tunggu kakak kat bawah”, pujuk Ummi Ulya.

Anak sulungnya menganggukkan kepala.

Alhamdulillah Ya Allah”, saya bermonolog sendiri. Hati saya mula terasa rindu untuk memeluk ibu apabila melihat mereka berpelukan.

Ummi Ulya menyimpan semula pakaian anak sulungnya dalam almari dan membatalkan hasratnya untuk membawa pulang anak sulungnya ke rumah. 

“Ummi, kakak nak jumpa abah”.

Ummi Ulya menganggukkan kepala sambil mengukir senyuman kepada anak sulungnya. Mereka menuruni tangga satu persatu dan saya hanya mengikut dari belakang.

“Abah…!”, jerit Masyitah. Dia berlari anak dan terus memeluk abahnya. Erat sekali pelukannya. Air mata penyesalan mengalir dipipi kerana telah menyusahkan abahnya.

“Abah, kakak minta maaf”.

“Kakak kan anak abah. Abah dan maafkan kakak sebelum kakak minta maaf lagi”.

Saya mencadangkan untuk bawa Ummi Ulya sekeluarga ke Kuala Perlis untuk melihat keindahan pantai pada waktu senja sebaik sahaja Ummi Ulya memberitahu dia mahu pulang semula ke Kelantan pada pagi esok.

Dalam perjalanan ke sana, terpancar wajah kegembiraan keluarga ini. Mereka bersenda gurau seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kagum sungguh saya melihat Ummi Ulya dan suami yang begitu tabah dalam mendidik anak mereka.

Masih saya ingat pertanyaan yang saya ajukan kepada Ummi Ulya sewaktu melihat dia buat sujud syukur di Masjid Kuala Perlis.

“Ummi buat sujud syukur ya?”.

Ummi Ulya menganggukkan kepala tanda mengiakan seraya berkata, “Sujud syukur sebab Allah pertemukan semula Ummi dan Masyitah”.

“Kalau boleh tahu, kenapa ummi selalu buat sujud syukur ya?”, soal saya dengan perasaan ingin tahu.

Ummi Ulya senyum memandang saya.

“Supaya ummi tidak mengeluh dan merungut dengan ujian yang menimpa. Ummi mahu jadi hamba yang sentiasa bersyukur. Ujian ini hanya secebis jika dibandingkan dengan nikmat yang Allah anugerahkan. Allah uji hambanya, tanda Dia sayang dan ingat kepada kita”.

Kali ini, saya pula tersenyum. Lantas saya bangun dan mengangkat takbir. Sujud syukur kepada Allah kerana menghadirkan keluarga ini dalam hidup saya.

“Musibah yang hadir, terselit suatu rahmat”





Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

No comments: