Saturday 27 April 2013

Tudung Labuh

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Moga nafas ini sentiasa memuji dan menyebut nama Mu. Selawat dan salam buat pembawa rahmat ke seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat kaum kerabat Baginda s.a.w., kaum muslimin dan muslimat.

Baiklah, ana ingin kongsikan satu kisah seorang sahabat ana yang ana kenal melalui Facebook, mudah-mudahan kisah ini memberikan manfaat buat semua. 

XXXXXXXXXXXXXX

Insan sekeliling sangka saya jumud bila tetap bertudung labuh walaupun sedang buat aktiviti lasak (jungle trekking, berkayak, dan seangkatan dengannya).Insan sekeliling sangka saya syadid bila tetap berniqab walaupun memanah.

Sebelum saya buka kedai kebab di Cafe Petronas (kalau ada yang masih ingat) semasa belajar , saya belajar cara-cara memasak dan bungkus kebab dari seorang guru yang saya hormati. Rasanya sangat enak sampai ada yang mengidam :p

Mungkin 'kesian' melihat saya dengan tudung 'besar' dalam keadaan berpeluh membuat kerja-kerja memasak, beliau berkata sesuatu "Islam nie fleksibel, asalkan menutup aurat, bolehlah pakai tudung kecil sikit untuk mudahkan kamu bergerak".

Saya senyum :)

"Erm...takpalah, saya selesa begini", jawab saya yakin.

Sebenarnya ramai yang tidak tahu (Lagipun jarang yang tanya), saya juga 'berhijrah' dalam tudung labuh. Walaupun sudah istiqomah memakai tudung labuh seawal usia 12 tahun, ada suatu peristiwa yang buatkan cinta saya terhadap tudung labuh sangat mendalam hingga tidak sanggup untuk menukarnya walaupun seketika.

Semasa di Kolej Matrikulasi Perlis (KMP), Allah 'test' niat saya bertudung labuh. Diawal kemasukan semester 1, saya setia dengan tudung labuh. Di pertengahannya, hati saya mula berubah. Minat pakai tudung segi 3 akel bidang 60 dan pakai kerongsang yang bermanik di pin dikanan dan kiri bahu.

Mula la syok sendiri sambil hati berbisik, "cantik juga pakai macam nie".

Maka, mulalah kumpul berbagai jenis kerongsang dan tudung segi akel bidang 60.

Satu hari, ada satu majlis besar-besaran yang diadakan di KMP dan semua pelajar berkumpul dalam dewan. Saya duduk di satu kerusi yang mana mejanya sudah diatur mengikut kelas masing-masing.

Ada seorang kenalan lelaki tegur saya, "cantik awak pakai macam nie".

Saya senyum tanpa kata apa-apa. Perempuan, memang pantang dipuji, mulalah hati berbunga-bunga.

Ketika itu, ada satu lintasan hati menegur Iman saya "suka la tu orang puji. Engkau pakai tudung kerana Allah atau kerana orang lain?".

Astagfirullah...

Masa tu mata mula berair dan saya mula tersedar betapa mudah dan halusnya 'bisikan' syaitan yang membuai dalam hati agar terpesona dengan keindahan dan perhiasan duniawi.

Selepas daripada hari tu, saya balik ke rumah dan cari semula tudung labuh yang saya pakai semasa di Mahaad dan sekolah harian biasa. Hati terasa tenang dan semakin tenang apabila pakai tudung labuh semula. Alhamdulillah atas izin Allah ♥

Sebab itu saya tak hairan bila ada muslimat bertudung labuh atau berniqab yang gedik (maaf, terpaksa tulis), suka pujian manusia, couple, mengumpat dan banyak lagi akhlak buruk akan 'luruh' (tanggal) sendiri atau tidak istiqomah bertudung labuh atau berniqab.

Sebab apa? sebab niat dah terpesong. Percayalah, jika buat sesuatu dan berusaha untuk buat kerana Allah, jarum atau bisikan syaitan sangat mudah untuk kita patahkan.

Bila ada yang tanya saya bagaimana untuk istiqomah dengn kebaikan, saya akan jawab "istiqomah dengan tudung labuh". Mungkin ramai terasa mudah, tapi sukar untuk lakukannya.

Bagi saya, tudung labuh dan niqab bukan setakat pakaian. tetapi juga adalah perisai Iman buat diri. Malu rasanya kalau bertudung labuh dan berniqab tetapi akhlak peribadi sangat buruk dan tak tahu hukum hakam agama.

Bila dah berubah dari luar, usahalah untuk perbaiki pula dari dalam. Kan sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa (Indah dari luar dengan pakaian menutup aurat, dan pesona dari dalam dengan akhlak mulia)..





Itulah perkongsian dari sahabat ana..Mudah-mudahan Allah tetapkan hatinya agar sentiasa istiqomah dalam apa jua keadaan..

Jika ditanya kepada ana, apa yang ada pada tudung labuh? Ianya adalah perisai iman dan amanah buatku. Apabila terasa mahu buat benda lagha dan keburukan, terasa malu sangat dengan tudung labuh yang dipakai. 

Sedikit demi sedikit, ianya berjaya mentarbiyah hati dan iman ini dalam diam untuk sentiasa perbaiki diri dan hubungan dengan Allah serta manusia. Cinta ana juga terhadap tudung labuh sangat mendalam.

Apabila ada yang minta untuk ana tukar tudung apabila mahu ikuti sesuatu latihan, ana berkeras untuk tetap setia dengannya dan berjaya buktikan insan bertudung labuh mampu lakukannya.

Paling terkesan apabila layanan masyarakat sekeliling. Ada yang melayan bak sang puteri. Apabila berjalan di jalan dan bertembung dengan lelaki, pasti dia akan berhenti dan memberi ruang sebesarnya agar tidak tersentuh.

Tidak kurang juga ada yang menghina dan mencaci. Itu layanan tarbiyah yang Allah hadirkan untuk melihat setakat mana Iman mampu bertahan dalam mengejar redha Allah.

“jika terlalu senang, murah pula harganya.
Yang susah itulah mahal harganya”

.:: Jom Labuhkan tudung kita wahai wanita Islam…(^^,) ::.






Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Wednesday 24 April 2013

Maruah Kamu


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Salam kasih sayang buat para pembaca, muslimin dan muslimat sekalian. Moga dalam jagaan dan rahmat Allah s.w.t. selalu..

Alhamdulillah, masih diberikan keizinan oleh Allah untuk mencoretkan sesuatu setelah sekian lama blog ini dibiarkan sepi beberapa dek kerana urusan yang menggunung..(kalah PM kot.. ;p) Baiklah, ana ingin kongsikan sesuatu..Mudah-mudahan ianya bermanfaat buat semua..




Pakwe. Boyfriend. Teman lelaki. Marka. 


Namakan apa saja. Ia tetap bukan seorang lelaki yang sah, bergelar suami. Tahap, taraf dan martabatnya seinci pun tidak sampai ke kedudukan itu. Untuk ditaati, dihormati, disayangi, dirindui, langsung tidak berkelayakan. Itu syariatullah yang harus diakui oleh semua orang.

Ana kadangkala rajin juga melakukan blogwalking, samada dalam list sedia ada, ataupun daripada komen pembaca, ataupun daripada pautan lain di blog-blog mereka. Kebanyakan ‘perjalanan’ ana itu ana fikir mereka masih berada dalam circle yang sama, iaitu pembaca atau bloggers yang punya minat pada agama. Dalam jiwa mereka, ada Islam.

Sebahagian besar mereka adalah remaja dan berjantina hawa. Isi kandungan blog pula lebih berkisar tentang kehidupan mereka serta apa sahaja yang dilalui. Sesekali diselit dengan tazkirah, dan kerap kali juga dipaparkan pelbagai artikel yang disalin daripada blog ilmuan lain. Kesimpulan mudah yang ana buat adalah, mereka ada jiwa untuk memberi, mempelajari dan mahu menjadi muslimah sejati.

Namun ana perlu akui, sebahagian besar mereka itu sedang asyik dalam kesilapan yang menjatuhkan maruah diri, dan lebih malang jika perkara itu tidak disedari.

Dalam blog, selain pelbagai widget di kiri atau kanan, gambar sendiri diedit cantik dan dipamerkan. Ditambah lagi satu, gambar kekasih hati turut sama terpampang. Gambar ‘budak lelaki’ itu juga diedit cantik dan ditulis pelbagai kata cinta di atasnya. Sangat gedik dan geli. Gejala sama turut menimpa para facebookers. Gambar profil berpurdah hitam dengan paparan mata yang konon menawan. Berpurdah katanya. Di bawahnya pula, status ‘in a relationship’ tertera penuh bangga dengan lelaki yang bukan suaminya.



SYARI’ATULLAH

Dikisahkan, wanita itu sifat malunya lebih tebal berbanding lelaki. Fitrah penuh hikmah yang diciptakan Allah. Islam datang mengangkat martabat mereka dengan pelbagai peraturan dalam syariat. Dan Islam terbukti sebagai sistem paling unggul dalam memuliakan wanita.

Ada perintah berhijab, merendahkan suara, menjaga pergaulan dan tutur kata. Secara tersirat, elemen-elemen itulah yang menambahkan lagi harga dan maruah seorang wanita. Mereka menjadi mulia dan mereka dimuliakan.

Tetapi apa akan terjadi, jika kesemua peraturan itu diabaikan?

Analogi yang selalu kita dengar, syariat itu umpama papan tanda di lebuh raya. Bayangkan apa akan terjadi, jika lori balak sama-sama bersaing di laluan kanan bersama motosikal dan kereta? Bayangkan pula, jika semua orang bebas memandu ke arah mana yang mereka suka, tanpa ada lampu isyarat ataupun papan tanda?

Begitu juga. Bayangkan bagaimana jika wanita yang seharusnya lebih mahal dan lebih tinggi sifat malunya, membakulsampahkan kesemua sifat tersebut di hadapan lelaki? Dan situasi ini sebenarnya telah banyak terjadi dan terus terjadi, terutama di kalangan gadis remaja kita.

Gejala mempamerkan wajah sendiri telah banyak diingatkan sebagai membahayakan maruah. Pelbagai bukti printscreen ditunjukkan bagaimana gilanya manusia yang mencuri dan membuat editing pada gambar-gambar kaum hawa. Namun kedegilan yang sama terus dipertahankan. Bahkan bertambah, dengan trend meletakkan bersama gambar teman lelaki masing-masing.

Apakah mereka fikir, itu suatu bentuk kebanggaan?



MARUAH


          ” Sayang papa sampai mati “

          ” My beloved one..forever n ever “

          ” Cayang kamuuu ..”


Ya. Itu antara ayat-ayat cinta ciptaan mereka. Pernah ana cuba menyelidik, adakah si lelaki turut melakukan perkara yang sama. Dan menyedihkan, kerana banyak yang saya lihat, si lelaki tidak pun meletakkan gambar teman wanita mereka bahkan seboleh-bolehnya kelihatan seperti mahu berlagak single dan belum berpunya.

Pernah juga ana lihat di facebook. Gadis muslimah tersebut, beriya-iya menukilkan madah cinta di wall teman lelakinya. Bahkan menggunakan aplikasi tulisan yang pelik-pelik penuh warna warni semata-mata untuk menyatakan ‘ saya sayang pakwe saya ‘. Di wall si lelaki, berderet ucapan yang sama, setiap hari. Tetapi aneh, si lelaki langsung tidak membalas. Si lelaki seolah ‘rimas’ dan seboleh-bolehnya mahu ‘berlepas diri’ dari kesemua perkara tersebut. Hanya post dari rakan-rakannya sahaja yang dibalas dengan ‘rela’.

Ana terfikir, si gadis seperti itu sebenarnya mengapa? Sakit jiwakah dia? Sudah hilang rasa malukah dia?

Oh, gambar profil facebook gaya arab. Pakai niqab hitam. Status-status yang ditulis, mengajak cinta kepada Allah. Ajak berburu Lailatul Qadr. Tetapi dia sanggup menghabiskan masa yang banyak ( pada hemat saya ) untuk membuat editing gambarnya dan dicantum dengan gambar si lelaki. Ditambah dengan pelbagai effect dan tulisan. Berhabis masa pula untuk membuat tulisan kelip-kelip , dedikasi untuk orang yang dia sayang. Apa sebenarnya yang dia cari?

Apa sekalipun rasa hati, mereka yang berada dalam situasi seperti ini harus segera sedar. Anda sedang menjatuhkan maruah diri anda sendiri.


MULIANYA ANDA

Jangan jadi gula-gula yang terdedah tanpa balutan plastik, kerana tiada orang akan memilih gula-gula itu berbanding yang masih tertutup dan tersimpan rapi di dalam bekas. Gula-gula yang terdedah, samalah seperti ucapan dan perbuatan yang menjatuhkan maruah. Pakaian anda, tudung atau jubah, tidak memberi sebarang makna jika anda sanggup merendahkan darjat anda ke tahap itu di alam maya.

Tidak ada sesiapa yang akan berbangga dengan status ‘ in a relationship ‘ anda  di facebook, walaupun anda dan dia sudah bertunang. Kalau pertunangan itu pun disuruh rahsiakan, apatah lagi jika anda dan dia langsung tidak ada apa-apa ikatan dan sekadar bermain perasaan?

Menjadi trend, di usia remaja wajib punya pasangan. Seawal tingkatan satu, sudah punya teman istimewa dan diisytihar merata-rata. Bahkan ada juga yang memanggil budak lelaki mereka sebagai‘hubby‘ atau suami. Kemudian, putus di tengah jalan. Lalu ditulis pula status-status penuh kesedihan.

” Saya relakan awak pergi. Mungkin kita tiada jodoh. Saya redha dengan suratan Ilahi. Kalau kita cintakan seseorang, kita pasti akan sanggup lepaskan dia untuk melihat dia bahagia..”

Gurindam putus cinta dari anak remaja yang baru tingkatan tiga.

Tidak berapa lama, gambar berganti. Dapat pula teman lelaki yang lain. Dapat boyfriend baru. Cinta berputik kembali. Gambar ditayang lagi. Hanyut kembali dalam ombak perasaan yang tidak bertepi.

Muliakah anda dalam situasi itu? Tinggikah nilaian anda dengan melakukan perkara seperti itu? Tenang dan damaikah jiwa anda dengan mainan perasaan seperti itu?


JALAN PULANG

Mungkin masih ramai menganggap, gambar teman lelaki kesayangan mereka itu sumber inspirasi. Dan kisah cinta mereka adalah pencetus motivasi. Tetapi sebenarnya, anda sedang bermain dengan harga diri. Islam mengangkat anda ke tempat yang cukup tinggi semata-mata untuk memuliakan anda sebagai wanita. Islam prihatin dengan sifat malu yang menjadi benteng maruah diri anda.

Jangan biarkan Syaitan terus-terusan menghiasi amalan anda. Hayati kembali keindahan syariat Islam. Perhalusi kembali hikmah di sebalik larangan.

Bercinta dan berhubungan dengan bukan mahram adalah satu dosa, dan mengisytiharkan dosa itu dengan bangga di khalayak ramai menambahkan satu lagi dosa. Di sebaliknya, maruah anda sebagai wanita sedang terhina.

Kembalilah pulang.

Masih belum terlambat untuk beralih memperbaiki kesilapan. Buang lah kesemua gambar teman lelaki anda kerana tidak ada apa yang hendak dibanggakan. Bangga sangatkah mempamerkan perlanggaran hukum Tuhan? Di facebook juga begitu, berhentilah dari status ‘ in a relationship ‘ dengan kaum adam yang bukan mahram. Lebih parah jika sampai tahap status ‘ married to ‘ yang tergamak dipaparkan dengan lelaki yang tiada ikatan.

Ana kasihan, kerana ana yakin, dalam diri mereka ada kecintaan kepada Islam. Dan mudah-mudahan, artikel ini mampu menyuntik sedikit kesedaran. Sayangilah diri anda sebagai kaum hawa yang dimuliakan Tuhan. Moga Allah memberi kekuatan untuk melakukan perubahan.




Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Wednesday 23 January 2013

Allahu Allah, Kekasih yang di rindui


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah…syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerna masih memberi kesempatan untuk terus beribadat kepada_NYA. Selawat & salam buat kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga buat para sahabat dan tabi’in yang amat ku kagumi.

Esok merupakan hari lahir kekasih yang amat-amat ana rindui. Teramat cinta dan kasih kepadanya, benar-benar ingin bertemu dengannya. Ya Allah…ku begitu mencintainya, begitu kasih kepadanya. Ana benar-benar berharap dapat bertemu dengannya tika “di sana” nanti. insyaAllah..ameen..

Kelahirannya dinantikan oleh penduduk langit dan bumi. Membawa berjuta rahmat dan cahaya kebenaran saat masyarakat jahiliah berada dalam kegelapan dan kesesatan yang nyata. Namanya meniti di bibir Umat Islam seluruh dunia, dari mula kelahirannya sehingga kini. Menjadi contoh dan teladan kepada Umat Islam.

Walaupun tidak pernah bersua dengannya, tidak pernah mendengar suaranya, tidak pernah menatap wajahnya, hati ini benar-benar terpautnya. Sukar ku ungkapkan dengan kata-kata, hanya Allah s.w.t. yang tahu betapa ku merindui untuk bertemu dengannya.Tiap kali tiba hari lahirnya, sejarah kelahiran dan kerasulannya kedengaran di segenap majlis ilmu juga selawat keatasnya berkumandang di corong-corong radio dan televisyen. Kisah perjalanan hidup Baginda diceritakan semula bagi mengenang kembali betapa besarnya pengorbanan yang telah Baginda s.a.w. lakukan buat umatnya. Subhanallah..

Terkenang sewaktu di zaman persekolahan, sambutan untuk menyambut kelahirannya menjadi acara wajib. Penceramah diundang ke sekolah untuk memberikan ceramah berkaitan perjalanan hidup Baginda. Diceritakan dari awal kelahiran dan kerasulannya, tentangan hebat yang diterimanya serta kewafatannya.

Air mata ana pasti mengalir saat mendengar Baginda s.a.w. dikasari, dihina, dicaci, dimaki, difitnah, malah mahu dibunuh walaupun sudah banyak kali ana dengar. Ingin sahaja ana bangun dan menyatakan pada tuan penceramah,

cukuplah ustaz, usah diceritakan lagi penderitaan yang Rasulullah s.a.w. terima..walaupun sudah banyak kali saya membaca dan mendengar kisahnya, saya tetap tidak sanggup untuk mendengarnya lagi”

Dan ingin sahaja ana keluar daripada majlis ilmu tersebut kerna tidak sanggup mendengar lagi kekasih Allah s.w.t. disakiti dan dikasari sebegitu rupa. MasyaAllah… Maka, ana memahami kenapa ada sahabat sanggup bermati-matian melindungi Rasulullah s.a.w. seperti mana Abu Bakar as-Siddiq.

XXXXXXXXXXXX

Peristiwa Abu Bakar ra. Menemani Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah di abadikan dalam Al-Qur’an . Rasulullah s.a.w. diminta untuk menunggu sejenak, sebelum masuk ke gua. Abu Bakar masuk terlebih dahulu untuk memeriksa keadaan di dalam gua. Beliau takut kalau-kalau di dalam gua itu terdapat ular dan kalajengking yang dapat menggigit dan mematuk Rasulullah s.a.w.  Abu Bakar memasukkan tangannya ke sela-sela rongga yang terdapat di dalam gua, tanpa memikirkan keselamatan dirinya.

Cuba bayangkan, bagaimana jadinya di saat sedang memasukkan tangan ke sela-sela rongga tersebut, terdapat ular atau kalajengking. Tentu, tangannya itu akan dipatuk oleh ular dan kalajengking. Hal ini terus dilakukan olehnya, hingga beliau merasa yakin keadaan gua itu selamat

Tapi ternyata tidak sampai disitu, Abu Bakar mengoyak bajunya hingga menjadi beberapa potong kain dan kain itu digunakan untuk menutup rongga-rongga yang ada di sana. Baru setelah itu beliau memanggil Rasulullah Saw untuk masuk ke dalam gua.

Di dalam gua, Rasulullah tidur di atas paha Abu Bakar ra.. Tiba-tiba datang seekor kalajengking dan menggigit Abu Bakar. Beliau merasakan sakit yang teramat sangat, sampai-sampai air matanya jatuh di atas Rasulullah. Abu Bakar tidak berteriak kesakitan, tidak mengaduh dan tidak menggerakkan kakinya sedikitpun (karena sakit). Ini dia lakukan agar tidur Rasulullah tidak terganggu. Rasulullah Saw bangun karena air mata Abu Bakar yang menitis padanya.  Subhanallah..

XXXXXXXXXXXX

Diceritakan juga betapa kasih dan sayangnya Rasulullah s.a.w. pada umatnya sehinggalah pada akhir hayatnya.Saat Malaikat maut datang menghampiri, Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. "Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. 

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril. Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan saja semua seksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku. "Badan Rasulullah mulai sejuk, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis solati, wa maa malakat aimanuku - peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangisan mula terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.
 

Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. "Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku"

XXXXXXXXXXXX

Semaklah...
Lembaran-lembaran kisah nan indah
Bertutur tentang perjalanan hidup Rasul termulia Nabi Muhammad SAW
Beliau adalah pembawa panji Islam
Utusan Allah penyampai wahyu Ilahi.
Menebarkan petunjuk, mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya.
Menyebarkan tauhid, membanteras kesyirikan.
Perjuangannya menegakkan agama Allah dipenuhi dengan tentangan dan rintangan.
Keberaniannya menjadi teladan bagi ummatnya, dalam menghadapi musuh-musuh Allah sang durjana pembawa angkara murka.
Kesabarannya dalam mengembangkan risalah, mengantarkannya pada kemenangan dan pertolongan Allah
Nabi yang penuh kasih sayang terhadap ummatnya, lagi penuh semangat dalam mendakwah kaumnya.
Nabi yang diutus sebagai rahmat bagi semesta alam.
Menebarkan perdamaian, ketenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Akhlaknya yang begitu agung diakui sahabat dan lawan serta dipuji oleh Allah
Musuh yang penuh dengan kekejaman dibalas dengan kearifan
Sehingga ramai manusia masuk ke dalam agamanya.
Kenalilah beliau, nescaya engkau akan mencintainya melebihi cintamu kepada anak, suami, isteri, orang tua dan seluruh manusia.
Pelajarilah perjalanan hidupnya nescaya engkau akan berjiwa teguh menghadapi cubaan yang menerpa.
Hanyalah orang yang tidak mengenalnya akan membencinya.
Menjadi hinalah manusia yang mencelanya , apalagi mempermainkan ajarannya dan menuduhnya dengan tuduhan-tuduhan dusta.

Ya Allah…aku merinduinya…benar-benar rindu…




Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Sunday 23 December 2012

WARKAH CINTA BERBAU SYURGA


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Moga nafas ini sentiasa memuji dan menyebut nama Mu. Selawat dan salam buat pembawa rahmat ke seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat kaum kerabat Baginda s.a.w., kaum muslimin dan muslimat.

MasyaAllah, ramai yang teruja dengan barisan pelakon "Warkah Cinta Berbau Syurga". Namun, setelah kenali penulis skrip dan penulis novel asal tersebut, ana lebih kagumi penulisnya berbanding barisan pelakonnya. Itulah dirinya yang sebenar,tetapi wataknya dibawakan oleh orang lain. Allahu Allah..

Baiklah, ana ingin kongsikan sedikit sinopsis dari novel tersebut.. Banyak iktibar yang boleh kita ambil daripadanya.. (^^,)  

SINOPSIS "WARKAH CINTA BERBAU SYURGA"



Amir Mukhlis adalah penuntut di Maahad Tahfiz Al-Quran dan ditakdirkan berkenalan dengan pelajar Naim Lilbanat iaitu Wardah dalam satu sesi pertemuan antara redaksi sekolah. Amir dibesarkan dalam keluarga yang subur dengan atmosfera agama. Beliau dididik dan dibesarkan oleh ibubapa yang faham asas-asas agama dengan baik. Malah, ibubapa Amir sering berbicara dan memberitahu bahawa Amir perlu menjadi pemimpin apabila beliau besar nanti. Disebabkan itu, Amir sangat fokus pada pengajian dan komitmennya amat tinggi terhadap pelajaran.

Wardah pula berasal dari keluarga yang agak kucar-kacir disebabkan bapanya mempunyai beberapa karekter yang negatif. Bapa Wardah seorang yang materialistik dan tidak menyukai karekter agamawan. Dia juga tidak mahu Wardah belajar di sekolah agama kerana memandangkan jaminan kerjaya yang kurang cerah. Bagi bapa Wardah, belajar agama adalah membazir masa dan wang, kerana tiada pulangan besar yang diperolehi daripada ilmu agama. Berbeza dengan ilmu profesional yang lain. Wardah cuba menyedarkan bapanya bahawa tanggapan seperti itu adalah salah. Atas dasar itu, beliau mahu mencari bakal suami yang berprinsip dan boleh menjadi tauladan kepada keluarganya.

Dari konflik keluarga itu membuatkan Wardah sentiasa mencari-cari lelaki ideal yang sesuai dijadikan tempat sandaran. Akhirnya, pertemuan secara tidak sengaja dengan Amir membuahkan cetusan rasa kagum dalam diri Wardah. Wardah mengambil langkah pro aktif dengan meminta sepupunya iaitu Rahim yang belajar di sekolah yang sama dengan Amir Mukhlis. Wardah cuba mencuri perhatian Amir melalui bantuan sepupunya Rahim, namun Amir tidak mahu memberikan respon. Dia berkeras tidak mahu bercinta demi menjaga kesucian agama dan status penghafaz al-Quran.

Dalam diam, Amir menghormati Wardah dan mengkaguminya disebabkan Wardah dalah antara pelajar terbaik sekolah Naim Lil Banat. Secara berhati-hati Amir cuba memberi nasihat dan peringatan kepada Wardah agar tidak bercinta dan mengikut gelora emosi remaja yang mudah dibuai kasmaran. Wardah menjadi keliru adakah Amir menyukainya atau tidak? Beberapa kali Wardah cuba mendapatkan kepastian, namun Amir tetap menggantung jawapan.

Amir pernah memberitahu kepada Wardah “Kalau ada jodoh, tidak ke mana. Takkan lari gunung dikejar” Dengan harapan Wardah mengerti bahawa dia akan setia. Malah, Amir juga cuba untuk tidak mencari orang lain. Namun, ungkapan seperti itu tidak mampu meyakinkan Wardah.

Beberapa minggu sebelum Amir ke Mesir, beliau terlibat dengan satu kemalangan kecil. Iaitu dia terlanggar seorang pelajar maahad sewaktu mengundurkan kereta. Pelajar itu luka di tangan dan Amir memberikan sapu tangan kepadanya. Gadis yang luka itu adalah BALQIS. Dari insiden itu, Balqis terlupa memulangkan sapu tangan dan menyimpannya dengan baik. Pertemuan ini berlaku seketika sahaja (Bahagian ini sengaja tidak diketengahkan, hanya pembaca yang tekun akan menyedarinya)

Beberapa tahun Wardah menggantung harapan dan berkomunikasi dengan Amir melalui surat dan telefon. Biarpun begitu, Amir tetap dengan sikapnya. Sehinggalah mereka menjejakkan kaki ke menara gading. Wardah ke Universiti Malaya dan Amir pula ke Universiti Al-Azhar, Kaherah. Wardah yang merasakan dirinya bertepuk sebelah tangan semakin tertekan dengan keegoan Amir. Ketika itu, Wardah pula dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya iaitu Syamsul.

Bapanya memilih Syamsul dengan niat memisahkan anaknya daripada mengahwini Amir. Juga disebabkan Syamsul adalah seorang pemuda yang bergaji besar serta mempunyai pekerjaan yang mantap. Sedangkan Amir masih lagi bergelar mahasiswa dan belum tentu mendapat pekerjaan yang selesa. Akhirnya Wardah kecewa dengan sikap Amir dan merelakan dirinya dilamar. Akhirnya Wardah berkahwin dengan Syamsul.

Sebaik menerima berita perkahwinan Wardah, Amir mula menyedari ada sesuatu kehilangan dalam dirinya. Dia mula merasakan kerinduan yang amat. Barulah dia sedar apa itu mencintai dalam diam. Namun, cintanya sudah dimiliki orang. Amir mula menyesal dengan sikapnya sendiri. Dia cuba mencari dimanakah kesilapannya? Dia sedar, selama ini dia terlalu rigid dan langsung tidak meluahkan perasaan sebenarnya. Disebabkan itu, dia berazam untuk bersikap dengan lebih matang dan rasional.

Sewaktu Amir sedang meneruskan pengajian di Al-Azhar, Mesir. Amir menyimpan luka kesedihan yang dalam itu. Dia mahu mempastikan bahawa persepsi bapa Wardah adalah silap. Agamawan tidak akan merempat sekalipun mereka tidak menjadi seorang yang kaya raya. Dari situ, Amir memaksa dirinya bekerja keras, dia mula membina karisma seorang pemimpin. Dia terus mengaplikasikan ilmu-ilmu yang pernah dipelajari oleh guru-guru dan ustaz-ustaznya di maahad dahulu.

Secara tidak langsung, Amir memasang cita-cita untuk menjadi penulis dan pendakwah. Dia memasuki team editorial dan menjadi pengarang utama di majalah mahasiswa Mesir. Dia mula menulis dan mengarang untuk melepaskan perasaannya itu secara estetika. Dia menulis catatan untuk memberikan motivasi dalam dirinya sendiri dan orang lain. Dia mahu sedarkan agamawan bahawa golongan ilmuan harus berjuang terus-terusan menyampaikan ilmu dalam semua bidang mahupun lapangan. Khususnya bidang seni serta penulisan.

Beberapa tahun berlalu dan pengambilan mahasiswa-mahasiswi baru dari malaysia ke universiti Al-Azhar berlangsung. Suatu hari, satu insiden telah berlaku membabitkan Amir dengan seorang siswi baru yang bernama Balqis. Beliau telah menyelamatkan Balqis dari situasi genting. Disebabkan itu, Balqis yang baru kematian ibubapa cuba mencari seseorang untuk dijadikan sumber inspirasi. Dalam masa yang sama, secara kebetulan berlaku beberapa insiden ke atas diri Balqis, dan ternyata Amir juga yang mampu menyelesaikan kesemua masalah itu.

Dalam diam, Balqis meminati Amir dan cuba mendekatinya. Melihat perwatakan dan mengenali prinsip diri beliau. Balqis mula meyakini bahawa Amirlah orang yang mampu menjaganya dunia dan akhirat. Amir masih cuba menjaga status pelajar agama dan seorang penghafaz Al-Quran, Amir tetap menjaga kesucian diri sekalipun Balqis mengharapkan perhatian darinya. Memandangkan beliau pernah bersikap ‘keras’ terhadap Wardah, Amir mahu membawa pendekatan baru dalam dirinya terhadap Balqis.

Amir pernah menyelamatkan Balqis daripada terkena satu kemalangan, dia juga pernah mendapatkan semula beg duit Balqis yang pernah diragut seorang pencopet. Tetapi, semua jasanya itu sengaja ditutup serta dia meminta Izzuddin agar memberitahu secara umum. Secara tidak langsung balqis akhirnya mengetahui kebenaran, dia kagum dengan keikhlasan Amir. Beberapa kali dia cuba memberitahu perasaannya, namun Amir seakan menolak.

Satu eksepedisi ke Jabal Musa atau Bukit Tursina telah berlangsung. Amir, Izzuddin dan Balqis turut serta dalam eksepedisi itu. Kali ini berlaku satu lagi insiden dan akhirnya Balqis benar-benar tidak dapat menahan perasaanya terhadap Amir. Balqis juga menunjukkan sapu tangan yang pernah diberikan oleh Amir ketika dia terlanggar Balqis. Amir baru tersedar, Balqis adalah gadis yang pernah ditemui secara tidak langsung di Malaysia dahulu. Tercetus dari situ, Amir mula berazam untuk menerima Balqis dengan baik.

Malangnya, sebelum ekspedisi itu berakhir, Amir jatuh pengsan dan dibawa ke hospital. Lalu dia didapati menghidap tumor di kepala. Dia diramalkan oleh doktor akan mati tidak lama lagi.

Hasrat Amir untuk menerima Balqis akhirnya menjadi kabur semula. Dia tidak mahu menerima Balqis seandainya dia terpaksa meninggalkan gadis itu sendirian selepas ini. Pasti situasi itu akan menyebabkan Balqis menderita. Dalam masa beliau membawa dilema yang besar. Ketika itu, dia mula berhadapan satu konflik dengan Izzuddin yang mempunyai perasaan terhadap Balqis. Amir cuba memberi jalan kepada Izzuddin yang mempunyai perasaan terhadap Balqis. Amir memilih untuk beralah. Namun, salah faham telah wujud antara mereka berdua. Ketika konflik kian meruncing, Amir ditimpa sakit yang kronik. Dia kian terbeban dengan harapan Balqis, tekanan sahabatnya dan masalah kesihatan.

Amir perlu membuatkan keputusan besar dalam hidupnya. Sama ada di mahu pulang ke Malaysia dan menjalankan pembedahan, atau dia perlu meneruskan serta menamatkan pengajian tanpa memikirkan lagi soal hidup atau mati. Akhirnya dia memutuskan untuk terus belajar, sebaik keputusan akhir peperiksaan hampir diumumkan. Amir diterbangkan ke Malaysia. Ibubapa Amir baru mengetahui penyakit yang dihidapinya dan membuat keputusan agar Amir menjalani pembedahan.

Balqis dan Izzuddin baru menyedari bahawa selama ini Amir berperang dengan perasaan sendiri demi menjaga perasaan orang lain. Malah Amir berperang dengan kesakitan dan penyakitnya, demi untuk tidak membebankan orang lain. Balqis masih berdoa agar jodoh antara mereka masih ada. Manakala Izzuddin hanya mampu merasa kesal dengan kebodohan sikapnya.

Amir menjalani pembedahan. Dia selamat. Keputusan peperiksaan akhir juga diumumkan, Amir mendapat keputusan cemerlang sekalipun beliau menduduki peperiksaan dalam keadaan berperang dengan kesakitan. Semua sahabat Amir beranggapan bahawa Amir sudahpun meninggal dunia. Termasuk juga Balqis.

Amir memilih untuk merahsiakan bahawa dirinya masih hidup.Sekian..

Allahu Allah, hanya ini yang dapat ana kongsikan, dan kalau nak tahu apa kesudahannya, boleh beli ya..hehe. Sebenarnya Novel ini ada sambungannya, iaitu ''Kala Cinta dan Wahyu Bersatu" 



Ingatlah, Kita melihat seseorang itu hebat,tetapi lupa siapa disebaliknya yang mengizinkan semua itu berlaku. Tiada yang lain,hanyalah Allah s.w.t..


"Selama-lamanya kelembutan tidak akan pernah tewas dengan kekerasan"



Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^