Sunday, 30 September 2012

Cinta tak semestinya bersatu


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Pagi tadi, ana sempat baca 1 kisah yang benar-benar membuatkan diri untuk mengambil ibrah darinya.

Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar.

“Perempuan perempuan yang keji untuk laki laki yang keji, dan laki laki yang keji untuk perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan perempuan yang baik untuk laki laki yang baik dan laki laki yang baik untuk perempuan perempuan yang baik (pula). mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).” Surah An Nur, ayat 26.



Allah.....

Zinnirah menyebut asma yang Maha Agung itu buat kesekian kalinya. Sekali lagi Allah menguji cintanya. Tatkala dirinya diasak keghairahan menuntut dan berjuang dalam suasana pembelajaran yang baru, sekali lagi dirinya kehilangan sesuatu. Ya, sesungguhnya dia sudah berusaha untuk menjaga harta tersebut sebaiknya. Pesanan para sahabat usrahnya menjadi penguat di kala dia lemah. Cuma, pencuri itu yang mengubah sedikit kehidupannya. Bisakah dia menebus kembali hak miliknya yang telah dihilangkan?

Tit tit tit...

Tatkala lama mengelamun, telefon bimbit Zinnirah berbunyi. Dia tersentak seketika, namun wujud sedikit keriangan di dalam hati. Adakah ini pesanan yang dinanti?? Astaghfirullah al adzim, jauhkan semua ini ya Allah...

1 Pesanan Ringkas

Bismillahirahmanirahim

“Tautan Hati malam ini seperti biasa, InsyaAllah lepas isyak, bertempat di rumah Ummu. Hadirlah dengan hati yang indah, kerana malaikat pasti memayungi setiap derapan langkah calon bidadari syurga ^_^”  Ummu Yusra

Hati Zinnirah berbunga riang. Biarpun pesanan itu tidak seperti yang diharapkannya, namun pesanan cinta atas nama perjuangan cukup menjadi pengubat hatinya. InsyaALLAH, dia ingin sekali membincangkan hal itu bersama naqibahnya kerana dia tidak mahu masalah yang dihadapi menjadi genjatan dalam perjuangan dakwah. Teringat akan pesanan Mustafa Masyur dalam buku 'Bekalan di jalan dakwah:

“Sesungguhnya ikatan aqidah Islam adalah ikatan yang paling kuat secara mutlaq. Orang - orang yang hidup di bawah naungan cinta dan ukhuwwah kerana ALLAH merasakan kebahagiaan dan ketenangan jiwa yang tidak pernah dirasakan oleh orang orang yang berkumpul kerana urusan dunia.”

Zinnirah percaya ikatan atas perjuangan Islam pasti akan memberi kekuatan. Biar sehebat manapun ombak menghembas pantai, pepasir putih masih lagi teguh untuk bertebaran di segenap arah kerana itu adalah fitrahnya untuk menemankan pantai. Allah, sumber kekuatan dariMu disalurkan kepadaku melalui insan ciptaanMU. SubhanAllah!

 Mengimbas memori beberapa hari lalu....

Perbualan di Yahoo Messenger

Umar: Salam, ukhti boleh berbicara sebentar

Zinnirah: Wasalam, insyaALLAH, hal apa yang ingin dibicarakan??

Umar: Sebenarnya, ana ingin memperkatakan tentang sesuatu

Zinnirah: Sesuatu? Penting?

Umar: Sangat penting

Zinnirah: Berkaitan urusan gerak kerja, ana sedia menerima sebarang teguran atas kelemahan diri

Umar: tidak sama sekali

Zinnirah: Jika begitu, tentang apa? jika ada sebarang masalah, mungkin ana boleh rujuk kepada naqibah ana

Umar: Ia hanya mampu diucap dengan satu patah perkataan

Zinnirah: Ana kurang mengeti, mungkin enta bisa perjelaskan dengan lebih lanjut, lagipun ana tidak suka dengan perbualan yang melalut tidak berkisar mengenai gerak kerja. Ana takut syaitan akan mengotori hati ana

Umar: Ana tidak bermaksud yang bukan bukan sehingga membawa fitnah

Zinnirah: Ana tidak berburuk sangka kepada enta namun ana inginkan penjelasan

Umar: Khitbah...

Zinnirah: Khitbah???

Umar: Ya, khitbah!

Zinnirah: Ada apa dengan khitbah?

Umar: Sesungguhnya Allah berfirman dalam surah Ar Rum ayat 21 bahawa:

“Dan antara tanda tanda kekuasaanNYA adalah Dia menciptkana untukmu isteri isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNYA antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar benar terdapat tanda tanda bagi kaum yang berfikir”

Zinnirah: Maksud enta??

Umar: Ana ingin melamar enti menjadi suri hidup ana

Dia Zinnirah, sungguh tidak bersedia untuk semua ini. Tatkala usianya masih setahun jagung, dia merasakan ujian hati yang Allah berikannya terlalu berat. Umar! Engkaulah pencuri itu. Pencuri yang membuatkan dia tidak tidur lena, pencuri yang membuat rutin waktunya terganggu dan menyesakkah dadanya. Dialah Umar yang berjaya mencuri hatinya. Namun, bukankah terlalu awal ntuk mereka yang masih muda remaja untuk berbicara soal khitbah. Terasa baru seketika dirinya berbaiah dengan seluruh getaran di jiwa untuk memikul amanah perjuangan Allah dan Rasul. Adakah sudah sampai masanya untuk dia memikirkan soal baitul muslim dakwah yang sering didengarinya. Allah... berikanlah jawapan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sesi Tautan hati di rumah naqibah tercinta begitu indah. Apatahlagi dengan melayan karenah anak anak naqibahnya. Di samping itu, dia dan juga cermin ajaibnya yang lain (gelaran yang diberikan kepada sahabat usrahnya), akan mengambil waktu terluang untuk membantu naqibah mereka membuat kerja kerja rumah. Ujian yang dihadapi naqibahnya terlalu hebat namun dia masih istiqomah dalam perjuangan untuk membuat pengislahan. Penyakit 'prolapse lumbar disc' yang dihadapi sejak zaman anak gadisnya menjadi semakin kritikal setelah dia melahirkan anaknya yang pertama. Maka, keupayaannya untuk berjalan menjadi sedikit terhad. Namun, Ummu Yusra bersyukur atas kurniaan ALLAH iaitu suaminya serta anak anaknya. Merekalah penguatnya untuk terus bergerak kerana ALLAH kerana sesungguhnya berdiam itu bisa mematikan langkah.

Dan tika itu....

Ummu Yusra: Adikku Zinnirah, kelihatan resah, mungkin ada sedikit yang ingin dikongsikan.

Zinnirah: Bagaimana ummu bisa membacanya??

Ummu Yusra: Ya Allah, kasih sayangku kepadamu, inginku contohi ibarat kasihnya Rasulullah SAW kepada Abu Bakar As Siddiq. Baginda bisa membacakan keluh kesah sahabat sahabat baginda.

Zinnirah: Apa pendapat ummu tentang cinta??

Ummu Yusra: Cinta, ummu suka sekali memetik kata kata ulama mujtahid, Imam Hasan Al Banna tentang cinta

Imam Hasan Al Banna menyampaikan ceramah mengenai AL Quran pada setiap hari Rabu di kawasan Al Hilmiyah. Pernah seorang pemuda bertanyakan satu soalan yang menarik.

Adakah bercinta itu halal atau haram?
Hasan Al Banna tersenyum lama dan kemudian menjawab:

“Cinta yang halal itu halal dan cinta yang haram itu haram.”

Zinnirah: Cinta yang halal dengan ikatan pernikahan?

Ummu Yusra: Ya, adikku, pembuktian cinta yang suci hanyalah melalui pernikahan dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Seketika Ummu Yusra tersenyum dan mengambil sesuatu dari celahan diari kesayangannya iaitu sehelai sampul surat berwarna ungu dan menyerahkan kepada Zinnirah

Ummu Yusra: Diriku ini sudah dapat membaca keluhan hati mu wahai adikku, maka ku serahkan sesuatu kepadamu. Sesungguhnya, cinta tidak semestinya bersatu

Zinnirah: Cinta tidak semestinya bersatu???

Ummu Yusra hanya tersenyum dan mengarahkan Zinnirah untuk kembali ke asramanya. Dia meminta Zinnirah untuk membaca surat itu apabila sudah sampai masanya kelak. Zinnirah semakin keliru dengan sikap naqibahnya. Dan pesanan naqibahnya begitu terpahat di jiwanya

Cinta tidak semestinya bersatu

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Dua minggu berlalu

Zinnirah dan cermin cermin ajaibnya dikejutkan dengan berita pemergian naqibah yang dikasihi dijemput ilahi. Air mata terus terus membasahi pipi dan doa dipanjatkan mengiringi pemergian. Sesungguhnya penyakit tulang belakang yang dihadapi naqibahnya sudah ditahap kritikal namun naqibahnya tidak pernah berkongsi bersama mereka.

Hari hari yang dilalui terasa begitu sukar sekali kerana perginya seorang insan yang menjadi pelindung. Sesungguhnya janji Allah itu benar, setiap yang bernyawa pasti akan mati. Umar terus menagih jawapan darinya namun dia tidak bisa memberikan jawapan. Saat ini jiwanya perlu direhatkan seketika. Allah, dia perlu beruzlah, dia bersyukur kerana Allah memberikan dia peluang merasai ujian yang berat, agar bisa ujian itu menaikkan darjatnya di sisi Allah, setaraf dengan para rasul yang memperjuangkan agamaNya.

Zinnirah berazam untuk pulang seketika ke kampuang halamannya, sebelum memberi jawapan yang pasti kepada Umar. Dia ingin membincangkan hal tersebut bersama kedua ibubapanya kerana mereka adalah syurga untuk dirinya. Tatkala dirinya memperkemaskan pakaian untuk dibawa pulang, dia teringat surat yang diberikan oleh naqibahnya yang tercinta.

Ummu Yusra.... kerinduan ku padamu pasti tidak pernah terpadam...maka dengan cermatnya, dia membaca coretan naqibahnya itu...

Cinta tidak semestinya bersatu

Bismillahirahmanirahim
Dengan penuh rasa kehambaan, ku sebut nama Mu ya ALLAH
Engkaulah pemilik segala cinta
selama ini aku tidak pernah tahu bagaimana rasanya bercinta
namun ku berharap, bila cinta hadir menyapaku
aku tidak akan kehilangan Engkau Ya Allah

Ya Allah,
sesungguhnya aku sudah punya rasa untuk bercinta
izinkanku memiliki rasa ini
sehingga ia menjadi sungguh indah di dadaku
namun tidak ku igin sekali, rasa ini mengurangi rasa cintaku padaMU

ALLAH,
sesekali aku diburu ketakutan kerana aku tahu
hakikatnya aku pasti akan kehilangan rasa cinta ini
apabila sampai waktunya, cinta Mu yang menjemput ku
aku redha atas ketentuanMu

Aku belajar sesuatu...
sedalam mana pun mencintai
cinta tidak semestinya bersatu jika bukan atas restuMU
Dalamnya cinta Rasulullah SAW kepada Khadijah ...
penyatuannya hanya di syurga yang hakiki...
rindunya Aishah kepada Rasulullah SAW...
Aishah juga perlu menanti ....
sehingga bertahun tahun lamanya
kerana cinta tidak semestinya bersatu

Adanya cinta bermakna perlunya pengorbanan
apatahlagi Engkau telah memilihku
menjadi jundiyatullah di jalan MU

Jundiyatullah juga seorang manusia biasa
pasti punya rasa ingin menyintai
namun aku sedar betapa perlunya cinta itu menjadi cinta yang luar biasa
Lalu ya Tuhanku,
aku tertanya, bagaimanakah cinta yang luar biasa itu?

Tika meniti hari hari yang indah bersama cinta
Allah menjentik hatiku dengan memberi jawapanNya
cinta itu tidak semestinya bersatu

ya ALLAH, aku menidakkan dan aku kehairanan
bukankah cinta itu fitrah dariMU?
Mengapakah cinta itu tidak semestinya bersatu?

Sejauh mana pun perjalanan hidup kita,
akan satu ketikanya kita pasti dijemput pulang
menemui cinta Allah
maka ketika itu, cinta yang rapuh pasti akan mudah goyah
kecuali cinta luar biasa yang terbina
atas restu Allah

Cinta tidak semestinya bersatu..
pada satu saat, terasa begitu dekat bersamanya
dan pada saat yang lain, Allah berkuasa untuk melahirkan rasa kejauhan
pada satu saat, punya waktu untuk merindui
dan pada saat yang lain, Allah membolakkan hati untuk melupakannya


Ya Allah,
Engkau berikan aku cinta
ku kembalikan CINTA itu dalam jagaanMU
kerana aku manusia biasa
aku tidak mahu CINTA itu lemah hanya keranaku
aku yakin ya Allah, ENGKAULAH sumber kekuatan CINTAku

waktu yang sedikit bukan bermakna tiada CINTA
kurangnya perhatian bukan bermakna tiada CINTA
diam itu bukan bermakna tiada CINTA
kelukaan hati bukan bermakna tiada CINTA

kerna
Cinta tidak semestinya bersatu............
hanya dengan restu ALLAH
penyatuan cinta hakiki, hanya di syurgaMU

Zinnirah menitiskan air mata, akhirnya dia bisa menangkap maksud naqibah kesayangannya. Ya, cinta tidak semestinya bersatu. Biarlah cinta bersatu atas nama perjuangan, biarlah cinta bersatu atas nama pengorbanan keranaNya, biarlah cinta bersatu kerana dia menanti mahar di syurgaNya kelak. Dia sudah punya jawapan untuk diberikan kepada Umar.... ALLAHUAKHBAR!

Waallahualam..

Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

No comments: