Alhamdulillah…syukur ke hadrat ilahi kerna masih diberi kesempatan
bernafas untuk beribadat kepada Maha
Penciptaku yang amat-amat ku cintai sepenuh jiwa. Selawat & salam buat
junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga
buat para sahabat & anbiya’ sekali.
Bulan syawal, pastinya ramai yang mahu mengejar untuk berpuasa sunat
syawal, tetapi yang mana perlu kita dahulukan, adakah puasa “ganti” ataupun
puasa “sunat”? Minggu lepas, di sekolah, ana diutarakan tentang masalah menggabungan
puasa ganti dan sunat syawal. Realitinya masyarakat sekarang ini, mempunyai
satu trend iaitu menggabungkan kedua-dua puasa tersebut. Allahuakbar, Kenapa
kita terlalu kedekut dengan Allah, hinggakan hendak menggabungkan kedua-duanya,
sedangkan nikmat yang Allah berikan kepada kita tak terhingga untuk di kira. Muhasabah
kembali diri kita. (T__T)
Ana ingin kongsikan tentang permasalahan berikut, ana harap artikel dari
ustaz Dr. Zaharuddin ini dapat menjawab segala persoalan mengenai masalah
tersebut. insya-Allah.
Puasa Sunat Syawal, Ganti &
Ziarah
Oleh
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Puasa sunat Syawal sememangnya
amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka
menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati
dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang
berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.
" kau , dah hari ker
berapa dah?"
"aku dah 5 hari dah ni"
"esok aku raya (sunat syawal)"
Ini adalah antara kata-kata
yang kerap didengari di bulan syawal ini. Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa
enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat
tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'. Amat dibimbangi, tindakan ini
bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan
seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang
sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.
Ziarah & Puasa Sunat
Saya tidak nafikan ada yang
terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah
rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab
menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut. Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima
jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.
Isu Keutamaan Antara Sunat
Syawal & Qadha
Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini
adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana
satu lebih perlu diutamakan.
Jika ada yang bertanya manakah
yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya
sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي
مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : "..dan tidaklah
hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai
adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah
mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat
sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut
praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang. Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama
30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan
Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat.
Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini
adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha
(sepanjang tahun).
Bagaimanapun harus di ingat,
walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah
kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu. Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi
sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih
berhutang dengan Allah SWT. Bagaimanapun seseorang yang
mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat
Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin
boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW
إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم
بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها
فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم
بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله
له سيئة واحدة
Ertinya " ... barangsiapa
yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan
oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian
melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat
Al-Bukhari, no 6010)
Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi
dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat
Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang'
ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan
pahala.
Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular,
pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu
(dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana
sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah
melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf
soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan
terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga
hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan
‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-
1.
Jika seseorang mengatakan boleh
gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah
tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib
dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh
dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat
dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain
timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh
campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik
as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan)
mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa
amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus
yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat
tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan
kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.
3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah
bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang
terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya)
. Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر
رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku
untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga
datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)
4.
Amalan wajib (qadha) memerlukan
niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan
mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya
kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat
puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah
menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang
mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap
mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan
sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary,
1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
5.
Malah ada pula yang berhujjah
bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian
menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi
dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh
Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من
شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: "Barangsiapa
telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa)
maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat
Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il
madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja
boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah
melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan
pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadis:
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi
seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah
penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya
seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa
lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk
Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul
Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka
hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini
: Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha)
daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya
anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai
kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang
membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie
(Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh
Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment