Wednesday 5 December 2012

Hijrah seorang Syauqah


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Zikir,
Melembutkan hati,
Terasa damai setiap hari.

Alhamdulillah wa syukrillah atas nafas ini Ya Allah, moga hari ini lebih baik dari semalam. Selawat dan salam buat kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. 

Dah lama rupanya ana tak update blog, baru perasan.. hehe..hanya Allah yang tahu, kesibukan membataskan diri untuk menulis. Lepas bermulanya cuti sekolah akhir tahun, pada 9.11.2012(Jumaat) sebab ngajar kan kat Kedah, so cuti pun hari Jumaat la kan..:p  Kemudian, pada hari Ahad, ana terus masuk Institut Perguruan Pulau Pinang untuk memulakan sesi Kursus dalam cuti selama 4 minggu, bermula 11.11.12 hingga 9.12.12.. Allah, dapat jadual kuliah, pening tengok, sampaikan rasa macam nk pengsan..hehe.. Alhamdulillah, Allah tahu kemampuan hambanya.. Tengok2, dah nak habis pun interaksi kali ini, maka tahun depan bermulalah sesi Priktikum..Moga Allah permudahkan segala urusan kami dan seterusnya diberikan yang terbaik.. InsyaAllah..

Baiklah!!.. sebenarnya ana nak kongsikan satu kisah yang cukup memberi kesan pada diri.. Bacalah, hayatilah..

"Sungguh beruntung orang-orang beriman, iaitu orang yang khusyu' dalam solatnya, & orang yang menjauhkan diri dari perbuatan & perkataan yang tidak berguna, & orang yang menunaikan zakat, & orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela." [al-Mukminun : 1-6]

Ana percaya, setiap orang ada kisah hijrahnya masing-masing. Takdir indah yang membawa seseorang itu kembali ke pangkuan Dia yang paling dicintai..Apabila kaki terasa longlai meniti jalan cahayaNya, mari memandang ke belakang. Inilah masanya mengenang kembali & menghayati semula bagaimana sukarnya kita menggapai HidayahNya suatu ketika dahulu..Dan apabila terimbaunya kenangan manis itu, akan menimbulkan rasa kesyukuran, timbul kekuatan untuk kembali berjuang, insyaAllah..Maka, di sinilah tercoret sebuah kisah antara berjuta-juta kisah hijrah para hambaNya.Kisah hijrah seorang hambaNya yang bernama Syauqah.



Awal tahun 2008;

Hari itu, hari Sabtu, aku menyertai kawan-kawan serumah turun ke Pasar Jalan TAR yang terletak berhampiran Sogo, KL. Kami sepakat mahu makan mee sup panas hari itu. Lantas kami memilih salah satu gerai yang agak sesak, namun masih ada ruang kosong, cukup untuk kami semua. 

Ada seorang gadis rupawan duduk di sebelah mejaku. Jelas sekali, pekerja gerai itu seringkali kulihat mencuri-curi pandang wajahnya sambil tersenyum gatal.

Pemuda itu datang ke arah gadis di sebelahku sambil mula mengayat. Ayat-ayat manis yang dilemparkan. Pelik, entah bagaimana ayat-ayat palsu itu boleh mencairkan hati gadis rupawan itu dalam sekelip mata. Mungkin juga kerana pemuda itu berwajah agak tampan. 

Gadis itu tersenyum-senyum. Telefon bimbitnya dihulurkan kepada pemuda itu. Mereka bertukar nombor telefon. Selepas itu, gadis itu beredar.

Aku terkejut apabila pemuda itu tiba-tiba melabuhkan duduk di sebelahku. Agak menjengkelkan apabila pemuda tadi melakukan hal yang sama kepada aku pula. Dia cuba mengoratku pula bagi mendapatkan nombor telefonku.

Astaghfirullah al adzhim..
Aku rasa sesuatu. 

Bukan gembira. 
Bukannya suka. 
Bukan.

Apa dia... 

Semakin pemuda itu tersenyum-senyum, semakin kuat aku merasainya.

Benci.

Aku benci.

Ya, aku benci diperlakukan sebegitu.
Takkanlah aku semurah itu.

Apa pemuda itu menyangka dia boleh memiliki semua gadis dengan hanya melemparkan ayat-ayat manis yang palsu?

"Sombongnya awak ni..." 

Hujan turun renyai-renyai.

"....kamu tidak seperti perempuan-perempuan yang lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kamu melemah lembutkan suaramu) dalam berbicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, & ucapkanlah perkataan yang baik.." [al-Ahzab : 32]

Demi Allah...
Inilah kali terakhir aku dipikat dengan cara yang keji & murah seperti itu. 

Demi Allah...
Aku tidak semurah ini ya Allah...

Jika aku ingin mencintai seorang lelaki..
Bukan lelaki jenis macam ini ya Allah..

Ya Allah..
Aku bukan perempuan jahat kan...?
Masih ada waktu untukku kan...?

Hatiku meratap pilu nasib diri.
Hanya kepada Allah aku mengadu..

----------------------------


Muslimah Solehah Di Dalam Tren.

Sebulan selepas itu;


Tren KTM pada petang itu agak sesak... ketika itu mula berkumandang suara seorang staf KTMB mengumumkan tren sudah tiba di stesen UKM melalui pembesar suara. 

Pintu koc terbuka. Aku lihat beberapa orang wanita & lelaki keluar dari koc. Sementara itu ada beberapa muslimat bertudung labuh memasuki ruang tengah koc. Aku menelah mereka adalah pelajar UKM barangkali. 

Salah seorang daripada mereka mengambil tempat di ruang antara tempat aku duduk. Berhadapan dengan aku ketika itu adalah seorang pemuda berbangsa cina. 

Tren pun mula bergerak. 

Kebetulan mataku tertancap pada wajah pemuda cina itu yang ketika itu sedang memerhatikan muslimat yang bertudung labuh tadi, termasuklah muslimah yang berdiri di hadapannya.

Tren bergerak agak laju. Entah bagaimana, muslimah di hadapanku itu gagal mengawal kedudukannya lalu dia terempuh kaki pemuda cina itu. Dia terus meminta maaf berkali-kali. 

Menariknya, pemuda itu cuma tersenyum lalu mengangguk sambil mulai berdiri, dia mengisyaratkan agar muslimah itu duduk, menggantikan tempat duduknya sebentar tadi.

Awalnya muslimah itu enggan duduk. Namun, akhirnya dia duduk juga apabila pemuda cina itu mengatakan;

"You duduklah.. You perempuan, nanti you jatuh..." sambil kepalanya menunduk hormat kepada muslimah itu.

MasyaAllah... hatiku tersentuh.
Muslimah itu dihormati.

Apabila muslimah itu sudah mengambil tempat duduk, aku berpeluang menatap wajahnya. 
Nampak berseri-seri. 
Wajahnya tanpa make-up. 
Hanya wajahnya yang asli beserta senyuman nipis.

MasyaAllah, cantiknya muslimah ini..
Selepas itu aku lihat dia membuka tafsir al-Qurannya yang berwarna turqoise muda & mula membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Sukar untuk ku gambarkan perasaanku waktu itu.
Namun, nyatanya mataku berkaca melihat figura indah itu.

Di dalam hatiku sayu berdoa;

"Ya Allah... jadikanlah aku hambaMu yang lebih baik daripadanya ya Allah... berilah HidayahMu kepadaku..."

Selepas insiden itu, setiap kali aku menaiki bas, menaiki tren atau sewaktu keluar bersama kawan-kawan serumah, mataku seringkali mencari figura wanita bertudung labuh. 

Untuk aku teliti akhlaknya.
Untuk aku teliti gelagatnya.
Jika bernasib baik, untuk aku dengar apa yang diperkatakannya. 
Dengar bagaimana cara seorang muslimah bertudung labuh menuturkan kata-katanya.

Jarang aku lihat wanita bertudung labuh diganggu oleh lelaki-lelaki di tepi jalan. Malah, sewaktu di dalam pusat membeli belah, aku sendiri melihat lelaki-lelaki jenis tersebut seakan segan untuk menatap wajah-wajah muslimat yang berpakaian sedemikian, apatah lagi untuk mengoratnya.

Aku rasa terusik.

Di dalam sudut hatiku yang paling dalam..
Timbul satu rasa pelik.
Bukan satu. Banyak.
Ianya bercampur baur.

"...katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu & setiap isteri orang mukmin, "Hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka menutupi dada mereka; ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu.Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." [al-Ahzab : 59]

Mataku berkaca-kaca.

Semua perempuan itu tidak ternilai harganya. Dan harga seorang muslimah itu bergantung kepada dirinya sendiri. 

Bagaimana dia mahu dihormati jika dia sendiri tidak menghormati dirinya sendiri? 
Bagaimana dia mahu dilayan seperti perempuan mahal jika dia sendiri kelihatan seperti perempuan murah?

Harga diri.
Maruah.

Air mataku menitis ke pipi.
Ya. Aurat seorang muslimah adalah maruahnya. 
Semakin banyak auratnya terdedah, semakin murahlah maruah dirinya.

Bunyinya kasar tetapi itulah kenyataannya.
Dipandang murah. 
Dipandang hina oleh mata-mata jahat.

Aku tidak mahu!

Ya Allah...
Baru kini kusedar..
Auratku adalah maruahku.


"Seorang muslimah menjaga auratnya dengan sempurna kerana Allah, lalu Allah memelihara maruahnya dengan sebaik-baiknya.."


----------------------------------


Mimpi Indah Yang Menyentuhi Hati.

Di keheningan suatu penghujung malam;

Dalam suasana gelap itu, aku nampak seorang muslimah bertudung labuh dengan berpakaian serba putih. Dia menunduk sambil membaca al-Quran sambil duduk bersimpuh. Tubuhnya seakan bercahaya kerana cahaya terang menyuluh dari atasnya. Suaranya perlahan membaca satu persatu ayat al-Quran.

Aku yang berada di dalam gelap ini bergerak perlahan-lahan ke arahnya. Anehnya, aku seakan cam ayat yang sedang dibacakannya.

Surah an-Nur... 

Aku mengamati wajah muslimah itu.
Aku amati betul-betul.
Lalu, menitislah air mataku.

Muslimah itu memandangku.
Dia tersenyum.
Maha Suci Allah.
Air mataku semakin galak menitis ke wajah.

Ternyata muslimah bertudung labuh & berpakaian serba putih itu adalah aku!

Aku teresak-esak.
Dan esakan itu menyedarkan aku daripada mimpi indah itu.

Dengan air mata yang bersisa di hujung mata.
Aku mencari al-Quran.
Aku menyemak setiap ayat surah an-Nur.
Mengamati ayat yang manakah yang aku bacakan di dalam mimpi itu.

Alhamdulillah.
Aku bertemu maknanya.

"Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi.Perumpamaan cahayaNya, seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam tabung kaca, dan tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkahi, iaitu pohon zaitun yang tidak tumbuh di timur dan tidak pula di barat, yang minyaknya saja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api...."

Mata & hatiku, kedua-duanya meniti setiap tafsir makna ayat itu.
Hingga menimbulkan rasa sebak yang sangat dalam. 

"......Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah Memberi petunjuk kepada cahayaNya bagi orang-orang yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."[an-Nur; ayat 35]

Wajahku basah dengan air mata.
Aku tidak mampu lena sampai ke Subuh kerana tangisanku yang berlarutan.

Aku rasa Allah itu sungguh dekat.
Aku rasa aku ingin menyentuhiNya dengan taubatku yang bersungguh-sungguh.

Demi Allah.. Aku ingin kembali kepadaMu..
Ya Allah.. pimpinlah aku ke jalan yang Kau redhai..

------------------------------

Hijrah Bukan Mudah.

"Ibu... kalau Nur pakai tudung labuh macam mana?" soalku kepada ibu.
Ibu ternyata hanya senyum.
"Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu."

"Ibu... Nur nak pakai tudung labuh...."


Tudung labuh warna ungu itu aku pegang.
Aku mencubanya.
Hatiku rasa berdebar-debar.

'Ya Allah... labuhnya. Betulkah aku nak pakai tudung ni?'

Aku laju melipatnya & menyimpannya semula ke dalam laci.
Aku rasa ragu-ragu. Aku seakan tidak mempunyai kekuatan untuk memakai tudung selabuh itu.

Namun sekali lagi... malam itu aku bermimpi yang sama.
Untuk kali ke-3.

Aku bangun.
Aku menangis lagi.

"Syauqah... Allah memanggilmu.." bisikku kepada diri sendiri.

Aku teresak.

"Ya Allah... jangan Kau ambil kembali hidayah yang telah Kau sentuh kepadaku. Aku ini hina & lemah ya Allah... Bimbinglah aku... bantulah aku... aku memerlukan belas kasihanMu..." aku mengongoi dalam tangisan panjang.

Hijrah.

Kiranya ia semudah itu.
Tidak.
Banyak halangan ku tempuhi.

Keluarga.
Kawan-kawan.
Masyarakat sekeliling.
Hatta halangan daripada diriku sendiri.

Adakalanya aku rasa seperti ingin berputus asa sahaja dengan niatku untuk berhijrah.
Banyak yang terpaksa aku korbankan, lupakan & perjuangkan.
Namun, demi Allah, semestinyalah ia berbaloi..

Aku berazam untuk berdikit-dikit.
Secara perlahan-lahan mengikut langkah-langkahnya ke arah penyempurnaan penutupan aurat.

Tudung yang tidak sempurna ku labuhkan.
Pergelangan tangan & aurat kaki yang yang selaluku terlepas pandang juga kini ku ambil berat.

Aku sungguh takut memikirkan bagaimanalah hinanya aku di sisi Allah disamping para hambaNya yang lain; yang jauh lebih solehah, baik, taat & berakhlak mulia..

Banyak masaku yang terluang dihabiskan dengan bermuhasabah diri.
Menilai semula siapa diriku. 
Aku nilai semula semua keburukan akhlak & peribadiku.
Aku cuba memperbaikinya.

Kata-kataku yang kasar cubaku lembutkan.
Panas baranku yang selalu menyinga aku cuba sejukkan.
Egoku yang melangit tinggi cuba kulenturkan.
Semuanya kerana aku ingin bertemu Allah.

Aku ingin sekali Allah memandangku dengan pandangan & kasih sayangNya.
Sebagaimana dilimpahkan kepada para hambaNya yang beriman..

Perjalanan hijrah menuju Allah ini panjang...
Namun, dalam perjalanan menujuNya itulah aku mengenali siapakah diriku yang sebenarnya.
Dari mana aku datang.
Mengapa aku didatangkan.
Dan ke mana kelak aku bakal dikembalikan...

"Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu yang dijanjikan Allah pasti akan datang.Dan Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui." [al-Ankabut : 5]

------------------------------------

Usrah Pertama, Manisnya Tarbiyyah.

Pertengahan 2009;

Aku bersyukur Allah memilihku untuk menyambung pengajianku di tempat yang lebat dengan majlis ilmu, tarbiyyah melata, ramai pemuda soleh & pemudi yang solehah. Ramai muslimat bertudung labuh yang kujumpai.

Hati aku rasa tenang melihat mereka.

Aku mencari-cari dahan berpaut; yakni sahabat-sahabat solehah yang mampu menasihatiku, membimbingku, menyayangiku & mengingatkan aku kepada Allah...

Tatkala aku bertemu dengan seorang dua muslimah bertudung labuh yang kukenal sebagai lebih senior, aku akan bertanya jika masih ada usrah yang  boleh kusertai.

Alhamdulillah.
Allah memudahkan hasrat hatiku.

Bertemunya aku dengan seorang naqibah usrah yang solehah dan menganggap aku seperti adik sendiri yang akhirnya menemukan pula aku dengan ahli-ahli usrah yang dahagakan ilmu & tarbiyyah seperti aku.

Hati aku dilanda cinta...
Cinta yang sebenar-benar cinta..

Aku selalu menangis kesyukuran apabila aku mengenang waktu aku mula-mula disapa tarbiyyah. Melalui usrah aku merasakan semua itu, termasuklah menikmati erti ukhuwah kerana Allah.

Seperti watak-watak wanita solehah yang kujumpai di dalam bacaan tarbiyyah pertamaku; Novel Tautan Hati karya Ustazah Fatimah Syarha, aku bagaikan berada di alam mimpi. 

Aku kini dikelilingi oleh ramai wanita solehah.. Subhanallah, ternyata aku berada di alam nyata!


Ya Allah..
Betapa bersyukurnya aku...
Allah memilih aku untuk berubah menjadi hambaNya yang lebih baik di kala Allah membiarkan segolongan hambaNya yang lain terus bermaksiat, melakukan kemungkaran & melupakanNya..

Alhamdulillah..
Sujud syukur hanya padaMu ya Robbi..
Kerdilnya diriku ini terasa..

------------------------------

Cahaya Mawar Berduri.

'Oleh kerana begitu payah untuk mencuri hatimu, semua perempuan  yang mahal harga dirinya layak diberi gelaran syauqah wardah.'

'Syauqah wardah?'

'Mawar berduri. Seperti mawar berduri. Cantik dipandang, namun sukar untuk disentuhi... apatah lagi untuk dimiliki.'

Gelaran itu lekat terus di dalam hati. 
Aku merasakan gelaran itu sebagai peransang & kata semangat untuk aku menjadi lebih baik lagi.

"Mengapa namamu Syauqah Nur? Bukankah syauqah itu maknanya duri? Duri Cahaya? Mengapa pelik benar?"

Hatiku tersenyum.

"Ia tidak pelik. Syauqah itu untuk sesiapa yang tidak halal bagiku. Nur itu hanya untuk mereka yang mencintaiku kerana Allah.."

Aku juga suka namaku itu.
Syauqah Nur.

Ya Allah..
Berikanlah aku kekuatan untuk terus menghunus duri bagi mereka yang bukan halal untukku agar maruahku ini terus dipertahankan.. Dan permudahkanlah jalan bagiku untuk menjadi Nur cahaya buat insan-insan yang halal & telah banyak mendoakan, membimbing & mencintaiku keranaMu..

------------------------

Hijrahkan Dirimu!

Ketahuilah... tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan dosa.

Kita akan sentiasa lalai & leka.
Namun, itu bukanlah petanda kita harus terus hanyut dibawa arus dunia.
Kesilapan, dosa-dosa yang telah dilakukan, pasti tetap akan berbekas, sebagai pengajaran & pedoman di masa mendatang. Maka, peluang dihadapan jangan pula dipersia & dimusnahkan. Perbaiki diri, perbanyakkan amalan, taati perintah Allah & jauhilah laranganNya dengan bersungguh-sungguh. 
Kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas & istiqomah, melalui masa, Allah pasti akan membantu merawat luka yang lepas & memudarkan parut yang berbekas.

Apabila HidayahNya telah mengetuk pintu hati..
Bersegeralah membuka pintu & biarkanlah cintaNya menghuni segenap hatimu itu...


Ingatlah bagaimana sirah melakarkan para sahabat meninggalkan harta yang bakal dituai semata-mata kerana mahu menurut perintah Allah & Rasulullah untuk berjuang di dalam Perang Tabuk. 
Lihatlah bagaimana Allah menggantikan semua yang telah mereka tinggalkan kerana ingin meraih redha Allah dengan nikmat yang berganda-ganda lebih baik. Harta rampasan perang yang bertimbun-timbun dimiliki tanpa perlu berperang! Subhanallah.

Beri peluang kepada diri sendiri. Kita mampu menjadi jauh lebih baik daripada kita hari ini & semalam. Sahutlah Hidayah Allah & hijrahlah. Kita tidak akan menyangka ke mana Allah akan membawa kita ke darjat yang lebih baik disisiNya..

"Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah Memilih kamu, & Dia tidak Menjadikan kesukaran untukmu dalam agama....... Maka laksanakanlah solat & tunaikanlah zakat, & berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah Pelindungmu, Dia sebaik-baik Pelindung & sebaik-baik Penolong." [al-Hajj : 78]

Mana mungkin semua lumpur-lumpur dosa yang menebal dapat dibersihkan dalam masa sehari.

Mana mungkin untuk menyapu dosa-dosa hitam di dalam hati hanya dalam masa yang singkat...

Proses hijrah & memperbaiki diri memang panjang. Ia tidak akan mampu menjadi sempurna dalam masa sehari, bahkan ia adakalanya memerlukan kerja keras memakan masa bertahun..

Namun, jangan sesekali berpaling semula ke arah jahiliyyah & kemaksiatan. Kuatkanlah semangat & berpegang teguhlah kepada tali yang paling ampuh; iaitu Allah.
Jangan putus asa... Allah sentiasa ada di sisi menemani.

Hijrah kita tidak akan pernah berakhir.
Setiap hari kita berhijrah.
Setiap hari kita berazam untuk menjadi lebih baik.
Setiap hari kita usahakan untuk menjadi hambaNya yang Dia redhai..
Kita hanya berhenti apabila kita mati & di akhirat kelak tempat kita diperhitungkan kembali.


Carilah Allah... 
Usahakanlah caranya, jalannya..
InsyaAllah.. Pasti akan bertemu.

"Dan sungguh beruntung orang yang memelihara amanat-amanat & janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi yakni yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya." [al-Mukminun : 8-11]

Taqabballahu minna wa minkum..
Taqabballahu minna ya Allah...
Sesungguhnya memang benar, tiada perkara yang lebih indah selain daripada jatuh cinta kepada & kerana Allah..

Alhamdulillah..

Inilah kisah hijrahku. 
Kisah Hijrah Seorang Syauqah.

Bagaimana dengan kisah hijrahmu? 
Kongsikanlah catatan hatimu. 
Aku ingin sekali membacanya... :)

Allahua'lam..



Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

No comments: