Sunday, 30 September 2012

Cinta tak semestinya bersatu


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Pagi tadi, ana sempat baca 1 kisah yang benar-benar membuatkan diri untuk mengambil ibrah darinya.

Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar.

“Perempuan perempuan yang keji untuk laki laki yang keji, dan laki laki yang keji untuk perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan perempuan yang baik untuk laki laki yang baik dan laki laki yang baik untuk perempuan perempuan yang baik (pula). mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).” Surah An Nur, ayat 26.



Allah.....

Zinnirah menyebut asma yang Maha Agung itu buat kesekian kalinya. Sekali lagi Allah menguji cintanya. Tatkala dirinya diasak keghairahan menuntut dan berjuang dalam suasana pembelajaran yang baru, sekali lagi dirinya kehilangan sesuatu. Ya, sesungguhnya dia sudah berusaha untuk menjaga harta tersebut sebaiknya. Pesanan para sahabat usrahnya menjadi penguat di kala dia lemah. Cuma, pencuri itu yang mengubah sedikit kehidupannya. Bisakah dia menebus kembali hak miliknya yang telah dihilangkan?

Tit tit tit...

Tatkala lama mengelamun, telefon bimbit Zinnirah berbunyi. Dia tersentak seketika, namun wujud sedikit keriangan di dalam hati. Adakah ini pesanan yang dinanti?? Astaghfirullah al adzim, jauhkan semua ini ya Allah...

1 Pesanan Ringkas

Bismillahirahmanirahim

“Tautan Hati malam ini seperti biasa, InsyaAllah lepas isyak, bertempat di rumah Ummu. Hadirlah dengan hati yang indah, kerana malaikat pasti memayungi setiap derapan langkah calon bidadari syurga ^_^”  Ummu Yusra

Hati Zinnirah berbunga riang. Biarpun pesanan itu tidak seperti yang diharapkannya, namun pesanan cinta atas nama perjuangan cukup menjadi pengubat hatinya. InsyaALLAH, dia ingin sekali membincangkan hal itu bersama naqibahnya kerana dia tidak mahu masalah yang dihadapi menjadi genjatan dalam perjuangan dakwah. Teringat akan pesanan Mustafa Masyur dalam buku 'Bekalan di jalan dakwah:

“Sesungguhnya ikatan aqidah Islam adalah ikatan yang paling kuat secara mutlaq. Orang - orang yang hidup di bawah naungan cinta dan ukhuwwah kerana ALLAH merasakan kebahagiaan dan ketenangan jiwa yang tidak pernah dirasakan oleh orang orang yang berkumpul kerana urusan dunia.”

Zinnirah percaya ikatan atas perjuangan Islam pasti akan memberi kekuatan. Biar sehebat manapun ombak menghembas pantai, pepasir putih masih lagi teguh untuk bertebaran di segenap arah kerana itu adalah fitrahnya untuk menemankan pantai. Allah, sumber kekuatan dariMu disalurkan kepadaku melalui insan ciptaanMU. SubhanAllah!

 Mengimbas memori beberapa hari lalu....

Perbualan di Yahoo Messenger

Umar: Salam, ukhti boleh berbicara sebentar

Zinnirah: Wasalam, insyaALLAH, hal apa yang ingin dibicarakan??

Umar: Sebenarnya, ana ingin memperkatakan tentang sesuatu

Zinnirah: Sesuatu? Penting?

Umar: Sangat penting

Zinnirah: Berkaitan urusan gerak kerja, ana sedia menerima sebarang teguran atas kelemahan diri

Umar: tidak sama sekali

Zinnirah: Jika begitu, tentang apa? jika ada sebarang masalah, mungkin ana boleh rujuk kepada naqibah ana

Umar: Ia hanya mampu diucap dengan satu patah perkataan

Zinnirah: Ana kurang mengeti, mungkin enta bisa perjelaskan dengan lebih lanjut, lagipun ana tidak suka dengan perbualan yang melalut tidak berkisar mengenai gerak kerja. Ana takut syaitan akan mengotori hati ana

Umar: Ana tidak bermaksud yang bukan bukan sehingga membawa fitnah

Zinnirah: Ana tidak berburuk sangka kepada enta namun ana inginkan penjelasan

Umar: Khitbah...

Zinnirah: Khitbah???

Umar: Ya, khitbah!

Zinnirah: Ada apa dengan khitbah?

Umar: Sesungguhnya Allah berfirman dalam surah Ar Rum ayat 21 bahawa:

“Dan antara tanda tanda kekuasaanNYA adalah Dia menciptkana untukmu isteri isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNYA antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar benar terdapat tanda tanda bagi kaum yang berfikir”

Zinnirah: Maksud enta??

Umar: Ana ingin melamar enti menjadi suri hidup ana

Dia Zinnirah, sungguh tidak bersedia untuk semua ini. Tatkala usianya masih setahun jagung, dia merasakan ujian hati yang Allah berikannya terlalu berat. Umar! Engkaulah pencuri itu. Pencuri yang membuatkan dia tidak tidur lena, pencuri yang membuat rutin waktunya terganggu dan menyesakkah dadanya. Dialah Umar yang berjaya mencuri hatinya. Namun, bukankah terlalu awal ntuk mereka yang masih muda remaja untuk berbicara soal khitbah. Terasa baru seketika dirinya berbaiah dengan seluruh getaran di jiwa untuk memikul amanah perjuangan Allah dan Rasul. Adakah sudah sampai masanya untuk dia memikirkan soal baitul muslim dakwah yang sering didengarinya. Allah... berikanlah jawapan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sesi Tautan hati di rumah naqibah tercinta begitu indah. Apatahlagi dengan melayan karenah anak anak naqibahnya. Di samping itu, dia dan juga cermin ajaibnya yang lain (gelaran yang diberikan kepada sahabat usrahnya), akan mengambil waktu terluang untuk membantu naqibah mereka membuat kerja kerja rumah. Ujian yang dihadapi naqibahnya terlalu hebat namun dia masih istiqomah dalam perjuangan untuk membuat pengislahan. Penyakit 'prolapse lumbar disc' yang dihadapi sejak zaman anak gadisnya menjadi semakin kritikal setelah dia melahirkan anaknya yang pertama. Maka, keupayaannya untuk berjalan menjadi sedikit terhad. Namun, Ummu Yusra bersyukur atas kurniaan ALLAH iaitu suaminya serta anak anaknya. Merekalah penguatnya untuk terus bergerak kerana ALLAH kerana sesungguhnya berdiam itu bisa mematikan langkah.

Dan tika itu....

Ummu Yusra: Adikku Zinnirah, kelihatan resah, mungkin ada sedikit yang ingin dikongsikan.

Zinnirah: Bagaimana ummu bisa membacanya??

Ummu Yusra: Ya Allah, kasih sayangku kepadamu, inginku contohi ibarat kasihnya Rasulullah SAW kepada Abu Bakar As Siddiq. Baginda bisa membacakan keluh kesah sahabat sahabat baginda.

Zinnirah: Apa pendapat ummu tentang cinta??

Ummu Yusra: Cinta, ummu suka sekali memetik kata kata ulama mujtahid, Imam Hasan Al Banna tentang cinta

Imam Hasan Al Banna menyampaikan ceramah mengenai AL Quran pada setiap hari Rabu di kawasan Al Hilmiyah. Pernah seorang pemuda bertanyakan satu soalan yang menarik.

Adakah bercinta itu halal atau haram?
Hasan Al Banna tersenyum lama dan kemudian menjawab:

“Cinta yang halal itu halal dan cinta yang haram itu haram.”

Zinnirah: Cinta yang halal dengan ikatan pernikahan?

Ummu Yusra: Ya, adikku, pembuktian cinta yang suci hanyalah melalui pernikahan dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Seketika Ummu Yusra tersenyum dan mengambil sesuatu dari celahan diari kesayangannya iaitu sehelai sampul surat berwarna ungu dan menyerahkan kepada Zinnirah

Ummu Yusra: Diriku ini sudah dapat membaca keluhan hati mu wahai adikku, maka ku serahkan sesuatu kepadamu. Sesungguhnya, cinta tidak semestinya bersatu

Zinnirah: Cinta tidak semestinya bersatu???

Ummu Yusra hanya tersenyum dan mengarahkan Zinnirah untuk kembali ke asramanya. Dia meminta Zinnirah untuk membaca surat itu apabila sudah sampai masanya kelak. Zinnirah semakin keliru dengan sikap naqibahnya. Dan pesanan naqibahnya begitu terpahat di jiwanya

Cinta tidak semestinya bersatu

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Dua minggu berlalu

Zinnirah dan cermin cermin ajaibnya dikejutkan dengan berita pemergian naqibah yang dikasihi dijemput ilahi. Air mata terus terus membasahi pipi dan doa dipanjatkan mengiringi pemergian. Sesungguhnya penyakit tulang belakang yang dihadapi naqibahnya sudah ditahap kritikal namun naqibahnya tidak pernah berkongsi bersama mereka.

Hari hari yang dilalui terasa begitu sukar sekali kerana perginya seorang insan yang menjadi pelindung. Sesungguhnya janji Allah itu benar, setiap yang bernyawa pasti akan mati. Umar terus menagih jawapan darinya namun dia tidak bisa memberikan jawapan. Saat ini jiwanya perlu direhatkan seketika. Allah, dia perlu beruzlah, dia bersyukur kerana Allah memberikan dia peluang merasai ujian yang berat, agar bisa ujian itu menaikkan darjatnya di sisi Allah, setaraf dengan para rasul yang memperjuangkan agamaNya.

Zinnirah berazam untuk pulang seketika ke kampuang halamannya, sebelum memberi jawapan yang pasti kepada Umar. Dia ingin membincangkan hal tersebut bersama kedua ibubapanya kerana mereka adalah syurga untuk dirinya. Tatkala dirinya memperkemaskan pakaian untuk dibawa pulang, dia teringat surat yang diberikan oleh naqibahnya yang tercinta.

Ummu Yusra.... kerinduan ku padamu pasti tidak pernah terpadam...maka dengan cermatnya, dia membaca coretan naqibahnya itu...

Cinta tidak semestinya bersatu

Bismillahirahmanirahim
Dengan penuh rasa kehambaan, ku sebut nama Mu ya ALLAH
Engkaulah pemilik segala cinta
selama ini aku tidak pernah tahu bagaimana rasanya bercinta
namun ku berharap, bila cinta hadir menyapaku
aku tidak akan kehilangan Engkau Ya Allah

Ya Allah,
sesungguhnya aku sudah punya rasa untuk bercinta
izinkanku memiliki rasa ini
sehingga ia menjadi sungguh indah di dadaku
namun tidak ku igin sekali, rasa ini mengurangi rasa cintaku padaMU

ALLAH,
sesekali aku diburu ketakutan kerana aku tahu
hakikatnya aku pasti akan kehilangan rasa cinta ini
apabila sampai waktunya, cinta Mu yang menjemput ku
aku redha atas ketentuanMu

Aku belajar sesuatu...
sedalam mana pun mencintai
cinta tidak semestinya bersatu jika bukan atas restuMU
Dalamnya cinta Rasulullah SAW kepada Khadijah ...
penyatuannya hanya di syurga yang hakiki...
rindunya Aishah kepada Rasulullah SAW...
Aishah juga perlu menanti ....
sehingga bertahun tahun lamanya
kerana cinta tidak semestinya bersatu

Adanya cinta bermakna perlunya pengorbanan
apatahlagi Engkau telah memilihku
menjadi jundiyatullah di jalan MU

Jundiyatullah juga seorang manusia biasa
pasti punya rasa ingin menyintai
namun aku sedar betapa perlunya cinta itu menjadi cinta yang luar biasa
Lalu ya Tuhanku,
aku tertanya, bagaimanakah cinta yang luar biasa itu?

Tika meniti hari hari yang indah bersama cinta
Allah menjentik hatiku dengan memberi jawapanNya
cinta itu tidak semestinya bersatu

ya ALLAH, aku menidakkan dan aku kehairanan
bukankah cinta itu fitrah dariMU?
Mengapakah cinta itu tidak semestinya bersatu?

Sejauh mana pun perjalanan hidup kita,
akan satu ketikanya kita pasti dijemput pulang
menemui cinta Allah
maka ketika itu, cinta yang rapuh pasti akan mudah goyah
kecuali cinta luar biasa yang terbina
atas restu Allah

Cinta tidak semestinya bersatu..
pada satu saat, terasa begitu dekat bersamanya
dan pada saat yang lain, Allah berkuasa untuk melahirkan rasa kejauhan
pada satu saat, punya waktu untuk merindui
dan pada saat yang lain, Allah membolakkan hati untuk melupakannya


Ya Allah,
Engkau berikan aku cinta
ku kembalikan CINTA itu dalam jagaanMU
kerana aku manusia biasa
aku tidak mahu CINTA itu lemah hanya keranaku
aku yakin ya Allah, ENGKAULAH sumber kekuatan CINTAku

waktu yang sedikit bukan bermakna tiada CINTA
kurangnya perhatian bukan bermakna tiada CINTA
diam itu bukan bermakna tiada CINTA
kelukaan hati bukan bermakna tiada CINTA

kerna
Cinta tidak semestinya bersatu............
hanya dengan restu ALLAH
penyatuan cinta hakiki, hanya di syurgaMU

Zinnirah menitiskan air mata, akhirnya dia bisa menangkap maksud naqibah kesayangannya. Ya, cinta tidak semestinya bersatu. Biarlah cinta bersatu atas nama perjuangan, biarlah cinta bersatu atas nama pengorbanan keranaNya, biarlah cinta bersatu kerana dia menanti mahar di syurgaNya kelak. Dia sudah punya jawapan untuk diberikan kepada Umar.... ALLAHUAKHBAR!

Waallahualam..

Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Friday, 28 September 2012

ALLAH sedang mendidikmu menjadi wanita hebat!


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas nikmat dan keizinan saat ini. Syukurku pada Mu atas segala yang telah Engkau anugerahkan buat hamba yang kadang-kala leka dan lalai dalam mengingatiMu.

Saban hari, hati ini juga sentiasa dilatih untuk sentiasa yakin dengan aturan dan bergantung sepenuhnya terhadap Allah tidak kira dalam apa jua situasi. Masih terus mencuba dan terus mencuba mentarbiyah diri walaupun jalan untuk mujahadah itu terlalu panjang dan sukar. 

Allahuakbar!, hati memuhasabah beberapa hari lalu, terlalu takut ana mendengar hadis Rasulullah SAW ini, terlalu gentar hati tatkala membicarakannya. Mampukah diri ini menjadi sehebat Srikandi-srikandi Islam? menjadi insan yang solehah dan sebaik-baik hamba buatMu? (T__T)


 Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku kepada kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita
(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tarmidzi, Nasa'i dan Ibn Majah)

Benarkah begitu sukar menjadi seorang wanita? Apatah lagi seorang wanita muslimah yang mukminah? Adakah dengan menjadi seorang mukminah, seorang muslimah itu perlu bersembunyi di dalam rumah, tidak bergaul dengan sesiapa serta menutup seluruh tubuhnya? Hanya perlu terlihat dua biji mata untuk mengelakkan fitnah?

Tidakkah wanita mukminah itu juga punya peluang? Berubah mengikut peredaran waktu. Zaman sekarang adalah zaman moden. Wanita sudah berdiri sama tarafnya dengan lelaki. Wanita juga perlu ditonjolkan kedepan. Malah, wanita punya hak untuk menjadi pemimpin.

Dr.Zainab Ridhwan telah menyebut dalam kitabnya Al Islam Wa Qadhaya Al-Mar'ah:

“Syariat Islam ini datang untuk menempatkan lelaki dan wanita ini pada satu lingkungan dan menjelaskan bahawa tabiat semula jadi manusia, lelaki dan wanita hampir sama. Sesungguhnya ALLAH mengurniakan kepada wanita apa yang dikurniakanNYA kepada lelaki dan menganurgerahkan kepada wanita keupayaan keupayaan yang cukup untuk memikul pelbagai tanggungwab. yang melayakkan kedua- dua jenis manusia ini melaksanakan tugas kemanusiaan yang umum dan khusus”

SubhanAllah, betapa hebatnya seorang wanita, tidak pernah sekalipun Islam meletakkan wanita keterbelakangan dari seorang lelaki. Islam adalah agama yang benar benar mengangkat martabat seorang wanita. Malah Allah telah berfirman dalam Surah An Nisa, ayat 124;

“Barangsiapa mengerjakan amal amal soleh, lelaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, mereka itu masuk syurga dan tidak dianiaya walau sedikit pun.”

Terbukti! Tidak pernah ada perbezaan dari segi penerimaan amalan kebaikan lelaki dan wanita. Sesiapa yang berlumba lumba melakukan kebaikan (fastobul khairat), maka dialah yang berhak mendapat pembelaan di sisi Allah SWT. Allah itu bersifat Al-Adl (Yang Maha Adil) terhadap hamba hambaNya.

Malah Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membelakangkan wanita dalam aspek perjuangan Islam. Menyebut kembali kisah Hudaibiah, ketika Nabi Muhammad S.A.W mengarahkan para sahabat bertahalul dan menyembelih korban, sedangkan mereka tidak dibenarkan memasuki Makkah untuk menunaikan umrah, kerana dihalang oleh kaum Quraisy. Kaum Muslimin merasa keberatan lalu mereka tidak berkorban. Nabi Muhammad S.A.W menjadi khuatir tentang hal ini tetapi baginda juga merasa keberatan untuk menyalahi para sahabat. Justeru itu, Ummu Salamah mencadangkan agar Rasulullah SAW keluar dari rumahnya tanpa memberitahu sesiapapun dan menyembelih korbannya. Nabi Muhammad S.A.W melaksanakan pandangan isterinya. Selepas itu, semua orang segera menyembelih korban mereka. Maka berakhirlah krisis ini dengan pandangan seorang wanita kepada Rasulullah SAW.

Sesuai dengan ciptaanya yang sungguh indah dan menjadi mawar yang didambakan sang kumbang, pengaruh wanita juga amat kuat untuk menaikkan dan menjatuhkan seorang lelaki. Jangan pernah sekali terlupa bahawa permulaan keruntuhan kerajaan Firaun adalah berpunca dari isterinya. Asiah mampu menggugat pendirian Firaun yang bertegas untuk membunuh semua anak anak Bani Israel kecuali Nabi Musa A.s. Firman Allah:

“Mudah mudahan dia berguna kepada kita atau jadikan dia anak”. ( Al-Qasas:9)

Namun yang paling istimewa lagi mengagumkan iaitu keteguhan Asiah beriman kepada Allah SWT yang Maha Esa dan mengingkari ketuhanan Firaun.

Sahabat sahabat yang dikasihi kerana Allah,

Bersyukurlah dengan sepenuh hati kerana dilahirkan sebagai wanita Islam kerana hakikatnya Islam adalah penyelamat kepada kemuliaan seorang wanita. Mengambil beberapa contoh kepercayaan kaum kaum tertentu terhadap wanita, kaum Yahudi memandang wanita sebagai laknat yang wajib dijauhi dan tidak dapat dipercayai untuk menjaga rahsia atau tugas tertentu. Kaum Yahudi percaya bahawa 'wanita itu lebih kejam daripada kematian' sebagaimana yang telah disebutkan dalam Kitab Taurat mereka.

Pandangan kaum Nasrani terhadap wanita juga lebih cenderung memberikan hukum yang menghina, melecehkan dan membenci kaum wanita. Malah peradaban Barat sendiri dipengaruhi oleh asas agama Nasrani. Jika tidak, masakan peradaban barat cenderung untuk memperagakan wanita mereka. Wanita dijadikan alat untuk menaik nafsu, mencari wang dan sebagainya. Bukankah ini sebenar benarnya diskriminasi terhadap wanita?

Di sebuah wilayah di Perancis tahun 1281, misalnya diadakan persidangan berkisar wanita dengan tema: Wanita, Manusia atau Bukan Manusia?. Persidangan itu malah melahirkan keputusan bahawa wanita adalah manusia yang sengaja diciptakan untuk melayani lelaki.

Malah bukti yang paling kukuh adalah kedudukan wanita yang begitu keterbawahan dalam masyarakat Arab Jahiliyyah sendiri sebelum kedatangan Islam seperti contoh contoh berikut:

1) Dilarang untuk mendapat hak waris
2)Tidak ada batasan jumlah isteri dalam pernikahan. Seorang lelaki boleh menikah lebih dari satu isteri tanpa batas
3)Isteri termasuk harta peninggalan suami. Ketika suami meninggal, isteri menjadi warisan bagi anak anaknya di mana si pewaris bebas menikahi atau menikahkannya dengan siapapun.
4) Mengubur hidup hidup anak perempuan. Kelahiran bayi perempuan merupakan aib.

Alangkah bertuahnya kerana dilahirkan dalam suasana wanita begitu diraikan dan diangkat martabatnya dalam Islam. Malah, wanita kini diberikan peluang untuk bekerjaya dan menerima pendidikan. SubhanAllah, dengan peluang sebegini sewajarnya seorang wanita bisa menjadi hebat untuk berbakti kepada agama dan bangsa.

Setelah segala kebaikan dan rahmat yang diberikan sebagai wanita Islam yang mukminah, apa lagi yang perlu dinantikan? Bukan sudah tiba masanya generasi wanita ISLAM untuk segera bangkit berjuang. Perbezaan gender bukanlah halangan besar untuk meraih gelaran bidadari syuhadah di sisi Allah.

Wanita memang terkenal dengan kelembutannya, tetapi yang sebenarnya lembut itu adalah sumber kekuatan bukan kelemahan. Cara dakwah yang terbaik juga melalui kelembutan. Bukankah Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 43-44:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata kata yang lemah lembut, mudah mudahan ia ingat ataupun takut.”

Allah SWT mengajarkan, untuk mendekati manusia seperti Firaun juga adalah menggunakan kaedah lemah lembut. Bukankah ini satu bonus istimewa buat wanita? Fitrah mu tercipta semulajadi dengan kelembutannya, maka seharusnya kau manfaatkan sebaiknya. Cuma awas, jangan disalahgunakan kelembutan itu untuk menarik yang tidak halal mendekatimu kerana itu bakal membawa bencana dan menjadikan dirimu itu sendiri sebagai bencana.

Sebagai wanita, mungkin kau juga tidak punya kudrat sehebat kaum pendampingmu seorang lelaki. Namun jangan pernah lupa, memori istimewa seorang lelaki adalah ketika dia pernah menumpangi rahim ibunya selama sembilan bulan. Disitulah terbuktinya kekuatan kudratmu. Janin yang dikandung itu berkongsi nyawa dengan mu. Maka, jangan sekali pernah putus asa, sebaliknya beriltizam lah untuk melahirkan mujahid dan mujahidah yang bakal meneruskan perjuangan.

Buat wanita yang tidak berpeluang keluar di medan jihad, jangan pernah sekali berasa gundah. Terdapat sebuah kisah menarik yang bisa menjadi pembakar semangat. Hadis riwayat Anas Bin Malik menceritakan perihal Salamah, ibu susuan Ibrahim, putera Rasulullah SAW dan Mariah al-Qibtiah, dia bertanya kepada Rasulullah SAW, 

"Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan khabar gembira dalam segala hal untu kaum lelaki tetapi tidak untuk kaum wanita."

Rasulullah SAW berkata,

"Adakah rakan rakanmu menghantarmu untuk bertanya seperti itu?"
“Tidaklah seorang antara kamu merasa reda jika dia hamil daripada benih suaminya dan suaminya bangga dengan kehamilannya itu. Wanita tersebut mendapat pahala sama dengan seorang berpuasa dan berdiri malam di jalan ALLAH dan apabila wanita itu menderita sakit sewaktu melahirkan, maka betapa kegembiraan yang dirasakan dengan lahir permata hatinya yang tidak diketahui penghuni langit dan bumi”

Jawabnya, "Benar, mereka menyuruhku."

Lalu baginda berkata:

“Biar tidak bergerak ke medan jihad, tetapi punya sesuatu untuk disumbangkan ke aras perjuangan. Malah kerelaan wanita itu sendiri mempersiapkan suami atau mahramnya bermujahadah di jalan Allah, pasti memberikan ganjaran yang sangat besar untuknya di syurga. Apatahlagi jika dirinya turut bersedia untuk menyediakan diri untuk turut berjuang.”

Semoga melalui perkongsian yang sedikit ini, mampu membakar semangat wanita wanita kerinduan pemuda syurga untuk terus berjuang menegakkan agama di jalannya. Sememangnya seorang wanita itu tidaklah sempurna, pasti ada kekurangannya. Tetapi percayalah bahawa dengan kekurangan itu sebenarnya, Allah sedang mendidikmu menjadi wanita hebat. Tak perlu resah dan gelisah jika berasakan diri tidak cukup cantik, tidak cukup ilmu, tidak cukup lembut, tidak cukup ayu dan sebagainya. Setiap kelebihan dan kekurangan seorang wanita adalah didikan Allah padanya.

Terima CINTA atas segalanya
Jangan gentar, jangan putus asa, teruskan melangkah!
Kerana kita memburu gelaran bidadari syurga! ^_^




Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^