Thursday 14 June 2012

WARKAH KE SYURGA


"Dengan nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani"

Segala puji hanya untuk Mu, Cinta pertamaku, Pemilik segala isi dunia dan akhirat, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam buat Imam seluruh umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Sering ku titipkan doa agar kita semua sentiasa berada di bawah payungan Rahmat dan HidayahNya Yang Maha Esa,

“Hati adalah khalifah anggota badan. Baiklah hati, maka baiklah ‘arahannya’.”

Dalam kekalutan dunia pada ketika ini…

 Amatlah berharap agar Allah sudi mengampunkan kita semua…

Dalam keadaan ramai manusia sudah tidak lagi takut kepadaNya…

Dalam keadaan manusia tidak lagi dapat membezakan antara yang hak dan yang batil…

Dan dalam keadaan manusia tidak lagi dapat membezakan yang mana pahala dan yang mana dosa…

Moga-moga doa yang selalu kita pohon dimakbulkan olehNya…

Walaupun dalam kehidupan seharian kita kadangkala kita lupa kepadaNya dan kadang kala kita ingat…

Tapi apa yang pasti terlalu banyak masa kita habiskan bukan untukNya…


Buat Permata Islam,

Yang sudah tentu dikasihi Allah dan dirindui Nabi…

Sesungguhnya Islam bukan sekadar agama, tetapi ia adalah cara hidup kita…

Sama ada cara kita berpakaian, bertutur, belajar, berkerja, atau dengan perkataan yang lebih mudah adalah apa yang bermula dalam kehidupan kita daripada bangun tidur sehingga kita tidur kembali…

Semuanya telah Allah gariskan untuk kita…Hatta sebelum kita lahir sehinggalah kita ditempatkan di dalam liang lahad, Islam juga telah mengajarkan caranya…

Seringkali kita mendengar Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi darinya."

Tapi sayang sama sekali,

Kita yang merendah-rendahkannya, Kita yang menjauhkan diri daripadanya, bahkan kita malu apabila Islam itu menjadi identiti kita. Kita lalai dengan kehidupan kita, Sehingga kita menyangka dunialah syurga yang kekal abadi untuk kita. Sehingga kita lupa Allah S.W.T., Tuhan yang Maha Esa sedang memerhatikan kita…

Kita tahu adanya Allah,

Tapi kita melanggari perintahNya. Sombongnya kita kerana kita lupa kepada Pemberi segala nikmat. Sehingga kita menjadi orang yang kufur (ingkar) kepadaNya. Kita tahu benarnya al-Quran, tetapi kita tidak mengambil pengajaran daripadanya. Kita juga tahu adanya dosa dan pahala, bahkan juga tahu adanya Syurga dan Neraka...Tapi kita masih tidak mempedulikan perintah Allah S.W.T. Yang Maha Kuasa…


Buat Mutiara Islam…

Yang InsyaAllah akan terus bergemerlapan di bumi Allah…

Prof. Dr. Hamka pernah berkata :

"Kita boleh menghitung usia kita yang telah kita gunakan, tetapi kita tidak boleh menghitung berapa lagi usia kita yang masih tinggal."

Persoalannya …?

Bagaimana persediaan kita apabila usia yang terkandung di dalam jasad kita sudah habis digunakan…

Masihkan kita ingat akan firman Allah S.W.T. dalam Hadith Qudsi yang bermaksud :

Daripada Abu Hurairah r.a…

"Aku sesuai dengan dugaan/sangkaan (Zann) hamba Ku kepada Ku…Dan Aku bersama dengannya ketika dia ingat kepada Ku…

“ Jika dia ingat kepadaku di dalam hatinya, nescaya Aku akan mengingatinya dalam hati Ku. Dan jika dia ingat kepada Ku dalam lingkungan khalayak ramai, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam lingkungan khalayak ramai yang lebih baik. Dan jika dia mendekati Ku sejengkal, nescaya Aku pula akan mendekatinya sehasta. Dan jika dia mendekati Ku sehasta, nescaya Aku pula akan mendekatinya sedepa. Dan jika dia datang kepada Ku berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari…”

(HR. Syaikhani dan Tirmidzi)


Ingatlah!...

Walaupun sebesar bukit Uhud sekalipun dosa yang telah kita lakukan. Sesungguhnya Allah S.W.T. masih mengampunkan dosa kita. Oleh itu, kembalilah kepadaNya, andaikata hidup ini telah jauh dari landasan yang ditentukan olehNya. Sesungguhnya Kasih sayang Allah membatasi kasih sayang seluruh makhlukNya…

----
Mutiara kata:
"Manusia yang mempunyai arah akan menguasai nasib & gaya hidupnya..."

Berfirman Allah s.w.t. Yang bermaksud: 


"Wahai anak adam, Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kematian tetapi masih bergembira"


"Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap hari perhitungan tetapi dia masih mengumpulkan harta"



"Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kubur, tetapi masih tertawa"


"Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kehidupan di akhirat tetapi dia masih beristirehat"



"Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap dunia & kemusnahannya, tetapi dia masih tenang dengannya"


"Aku hairan kepada mereka yang alim pada lidahnya tetapi jahil dengan hatinya"

"Aku hairan kepada mereka yang sibuk bersuci dengan air tetapi hatinya tidak suci"

"Aku hairan kepada mereka yang sibuk dengan keaiban orang lain tetapi dia lupa terhadap diri sendiri"

Aku hairan kepada mereka yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu mengawasinya tetapi dia masih boleh melakukan maksiat atau mereka yang mengetahui sesungguhnya dia akan mati keseorangan, akan memasuki kubur keseorangan dan akan dihitung keseorangan tetapi masih jinak bersama manusia
Ketahuilah, tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Aku dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Ku....

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa'is Fil Ahadis al-Qudsiah)



JOM KITA MENGEMBARA LAGI, BAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI ^^,

Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

No comments: