Wednesday 13 June 2012

KENANGAN PRIKTIKAL


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah, puji-pujian hanya layak buat Mu. Pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat kekasih hati yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Apa khabar Iman kita? Semoga ianya terus mumtaz dan mampu mendidik nafsu untuk tunduk kepada Iman. InsyaAllah…ameen…(^^,)

11 mei 2010 (Kenangan priktikal)



 Dari tarikh itu, bermulalah priktikal ana serta dua orang sahabat. Seorangnya dari UM, bidang akauntan & seorangnya lagi dari universiti yang sama dengan ana, malah merupakan sahabat lama ketika berada di sekolah rendah.  Cuma kami berbeza bidang di Kampus, ana di bidang Dakwah, manakah dia di bidang Usuluddin & kaunseling.. bila bergabung Dakwah & Usuluddin Kaunseling, maka akan jadi bagaimana ye?? hehe. kami di wajibkan menjalani priktikal selama 2 bulan sahaja, sekejap je tu, kalau dipanjangkan tempoh, mesti lagi best dan sudah tentunya  banyak pengalaman yang akan kita dapat. Suatu pengalaman yang cukup berharga yang perlu kita kutip dan sampaikan pada orang di luar sana yang perlukan bimbingan .

Latihan Industri ini berlangsung selama lebih kurang dua bulan iaitu bermula dari 11 Mei 2010 hingga 1 Julai 2010 sebenarnya banyak memberi input berguna kepada kami khususnya untuk diaplikasikan. Sepanjang menjalani Latihan Industri di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah pelbagai pengetahuan yang telah kami diperolehi.

 Antara tugas-tugas yang  kami laksanakan adalah:

BAHAGIAN PENTADBIRAN

Antara tugas yang kami lakukan di bahagian pertadbiram adalah Memasukkan maklumat pendaftaran perkahwinan dalam sistem e-nikah. Berkaitan dengan itu, kami telah membantu memasukkan maklumat peribadi pasangan yang ingin berkahwin dengan menggunakan sistem e-nikah yang merupakan perisian enakmen sistem maklumat perkahwinan Islam yang dilakukan secara online. Setiap maklumat yang dimasukkan perlu dipastikan terlebih dahulu agar tidak mempunyai kesalahan dari segi ejaan kerana sistem tersebut tidak dapat dikemaskini setelah proses penghantaran dan pengesahan maklumat tersebut dilaksanakan. Malah setiap kesilapan yang berlaku boleh menyebabkan sijil nikah yang akan dicetak turut mengalami kesilapan dan mungkin menyebabkan pasangan yang ingin mengambilnya tidak akan berpuas hati. 

Selain itu, kami turut membuat semakan borang permohonan nikah yang diterima dengan lengkap dan sempurna daripada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan termasuk salinan kad pengenalan pemohon, wali, saksi serta surat pengesahan perubatan mengenai saringan ujian HIV, sijil kursus kahwin, surat akuan bujang dan sebagainya. Manakala bagi pemohon yang telah kematian wali bapa perlu disertakan dengan surat kematian wali tersebut. Begitu juga dengan pasangan yang berstatus duda, janda atau balu perlu melampirkan surat cerai atau surat kematian pasangan masing-masing. Setiap penghantaran borang nikah tersebut akan dikenakan bayaran sebanyak RM5.00 yang hanya diwajibkan kepada pemohon wanita bagi proses penghasilan sijil nikah.

Pada hari Jumaat setiap minggu pula, kami akan mendengar dan mengikuti kuliah atau tazkirah Jumaat yang diberikan oleh Ustaz Manolito. Semua staf-staf pejabat juga turut diwajibkan untuk mengikuti kuliah tersebut pada setiap pagi sebelum urusan pentadbiran pejabat bermula. Ustaz Manolito telah menggunakan kitab yang bertajuk ‘Munyatul Musolli’ sebagai rujukan dalam kuliah beliau yang dilakukan di bilik mesyuarat 2. Kuliah berkenaan telah dapat memberi pendedahan dan pembelajaran kepada semua staf untuk menambahkan ilmu di dada serta membersihkan jiwa dan bukan hanya melakukan tugasan-tugasan rasmi di pejabat sahaja.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat."

Hadis di atas merupakan ingatan daripada Baginda s.a.w. kepada umatnya supaya menyampaikan apa sahaja daripada Baginda s.a.w. yang diketahui kepada masyarakat. Mereka yang diberi kelebihan oleh Penciptanya dengan sedikit ilmu pengetahuan yang bermanfaat, diminta berkongsi kemanisan itu dengan saudaranya yang lain. Walaupun hanya sepatah perkataan, namun sekiranya dilihat mampu memberi kebahagian kepada seseorang, sebarkanlah. Betapa indahnya persaudaraan dalam Islam, perasaan individualistik dan egois dikikis daripada hati umatnya bagi menjamin kebaikan dan kesejahteraan seluruh umat manusia.

BAHAGIAN PENGUATKUASAAN

Unit ini merupakan satu unit yang berkaitan dengan undang-undang jenayah syariah yang mempunyai pelbagai urusan yang melibatkan dengan enakmen dari undang-undang jenayah syariah negeri Perak. Unit ini sering aktif melakukan pelbagai aktiviti antaranya mengadakan operasi pencegahan maksiat, program bersama masyarakat, menguruskan kes bersama mahkamah syariah dan sebagainya.

Antara tugasan yang sering kami lakukan dalam unit penguatkuasa ini ialah Memasukkan maklumat bagi sebarang kes jenayah syariah. Dalam tugasan ini, kami telah mempelajari cara-cara untuk memasukkan maklumat di dalam komputer dengan menggunakan sistem perisian dalam jabatan penguatkuasaan. Pelbagai maklumat setiap tangkapan dan kes perlu dimasukkan termasuk maklumat peribadi. Selain itu, kami turut diarahkan bagi memasukkan maklumat-maklumat berkenaan kes-kes jenayah syariah mengikut enakmen tertentu berdasarkan kepada laporan yang telah diterima untuk direkodkan di dalam fail penguatkuasaan mengikut tahun-tahun yang ditetapkan. Fail-fail tersebut yang telah penuh perlu diasingkan dan diikat dengan kemas. Setelah penutupan fail berkenaan, fail-fail yang baru akan dibuka mengikut seksyen masing-masing bagi dimasukkan segala rekod-rekod baru yang berkaitan jenayah syariah.

Seterusnya dibahagian ini, kami ditugaskan untuk mengedarkan risalah-risalah serta membantu menguruskan program ceramah agama. Dan pada bulan Mei yang lalu, kami telah diarahkan untuk menyusun risalah-risalah yang telah dikepilkan setiap satu dan diletakkan di dalam kotak yang telah disediakan. Risalah-risalah tersebut diedarkan kepada orang ramai termasuk penduduk-penduduk kampung, pelanggan pejabat dan juga orang yang telah ditangkap dalam pelbagai kes oleh pejabat agama. Seterusnya, kami dan juga staf dari pihak penguatkuasa telah beramai-ramai mengedarkan risalah-risalah tersebut di setiap rumah mengikut kumpulan di lokasi-lokasi yang berlainan bagi memudahkan dan melancarkan lagi urusan pengedaran risalah. Di samping menyebarkan risalah tersebut, kami turut memberi makluman kepada semua penduduk bahawa sebuah program ceramah akan diadakan di surau kampung yang berdekatan pada dua minggu yang akan datang.

Sebelum hari yang akan diadakan program ceramah tersebut, kami telah ditugaskan untuk memasukkan barang-barang keperluan seperti beras, minyak, susu, gula dan sebagainya di dalam kotak-kotak kosong yang dilabelkan dengan nama pejabat agama yang telah disediakan. Semua barang keperluan tersebut diletakkan secara tersusun di dalam kotak tersebut untuk diagihkan dalam acara cabutan bertuah dalam majlis ceramah berkenaan yang bertajuk ‘Penderitaan Gaza’ yang telah diadakan pada 24 Mei 2010 bertempat di Surau Kuala Bagan Tiang

Pengalaman yang cukup dan paling berharga adalah bila, kami diberi kebenaran untuk Mengikuti operasi pencegahan maksiat dan tindakan yang dikenakan ke atas suspek tangkapan. Sebelum operasi dijalankan, kami telah mendengar arahan daripada Ketua Pegawai Penguatkuasa terhadap semua pegawai penguatkuasa yang terlibat untuk menjalankan operasi penguatkuasaan serta beliau telah membahagikan mereka tersebut kepada beberapa kumpulan untuk diagihkan setiap tugasan. Setiap kumpulan tersebut akan melakukan operasi pencegahan maksiat di tempat-tempat yang berlainan seperti yang telah ditentukan oleh ketua pegawai penguatkuasa termasuk di lokasi Taman Rekreasi Sungai Kerian, taman-taman perumahan serta kedai-kedai judi seperti Damacai, Magnum dan Sport Toto. Ia meliputi operasi judi, perbuatan tak sopan dan mabuk. Justeru itu, kami telah diajak untuk mengikuti beberapa orang pegawai penguatkuasa ke Taman Rekreasi Sungai Kerian bagi operasi pencegahan maksiat dalam seksyen 57 iaitu Perbuatan Tak Sopan (PTS). Dalam operasi yang dijalankan tersebut, kami telah mempelajari dan mengetahui langkah-langkah yang berkesan untuk menangkap suspek yang terlibat di tempat kejadian seperti memerhati, mengekori, mengambil gambar sebagai bukti kes. 

Setelah tangkapan pasangan suspek dibuat, maklumat peribadi perlu diambil dengan meminta kad pengenalan mereka seterusnya suspek-suspek tersebut akan dibawa ke pejabat dengan menaiki van rasmi pihak penguatkuasa untuk diambil laporan selengkapnya. Kami juga turut berpeluang untuk menulis surat saman yang dikeluarkan oleh unit penguatkuasa dengan bayaran denda sebanyak RM1,000.00 atau penjara selama 2 bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

 Kemudian, ana dan sahabat ana, ditugaskan untuk memberi tazkirah dan kesedaran agama kepada suspek atau Orang yang Kena Tuduh (OKT yang telah ditangkap dalam Seksyen 57 iaitu Perbuatan Tak Sopan. Setiap pelajar praktikum telah mendapat seorang daripada pasangan bagi Orang yang Kena Tuduh (OKT) dan melaksanakan tugasan yang diberi dengan sebaiknya bagi mempraktikkan semua hasil pembelajaran dan pengajian kami yang sangat menjurus kepada kursus yang diikuti oleh kami. Tempat berlangsungnya sesi tazkirah tersebut adalah di dalam bilik yang berasingan bagi OKT lelaki dan juga perempuan. Apa yang dapat ana katakan, ketika sesi kaunseling tersebut dijalankan, ana sedih dengan keadaan anak remaja yang kian rosak akhlaknya. Mereka seakan-akan leka dengan dunia remaja yang hanya inginkan keseronokkan. Bila diberikan sedikit nasihat, lantas remaja tersebut menitiskan airmata bersama ibunya. 

Ana Cuma berikan kata-kata nasihat supaya dia merenungkan kembali langkahnya yang mungkin akan tersasar lebih jauh andaikata nafsu tidak dapat dikawal. Ketahuilah, orang yang ketiga pastilah akan cuba merosakkan kalian, Allah masih sayangkan kalian, dan sebab itulah kalian diberikan peluang kedua ini. Jadi, berjanjilah pada diri masing, berjanji dengan Allah, Ibubapa, yang kalian akan terus menjaga diri dengan sebaik-baiknya.

Selain menerima tugasan yang diberi oleh penyelia dan pihak penguatkuasa, kami juga turut menerima aduan jenayah syariah daripada beberapa orang pengadu mengenai kes khalwat, sumbang mahram dan lain-lain lagi yang berlaku di sekitar daerah Parit Buntar. Semua aduan itu ada yang diadukan melalui panggilan telefon, surat, faks dan juga pengadu hadir sendiri ke pejabat. Lantaran itu, kami terus melaporkan aduan itu kepada pihak pengutkuasa dan tindakan segera telah diambil oleh pihak penguatkuasa bagi membuat pencegahan maksiat tersebut. Bantuan polis juga turut membantu operasi tangkapan maksiat bagi mengukuhkan dan mengesahkan lagi bukti tangkapan berkenaan dengan laporan yang telah dibuat oleh mereka untuk menghadapkan suspek di muka pengadilan kelak.

Kemudian, kami ditugaskan untuk menjayakan program Kem Pembinaan Jati Diri Remaja Muslim. Sebelum program tersebut diadakan, kami telah menyemak semula senarai nama yang digelar sebagai ‘Orang yang Kena Tuduh’ (OKT) yang telah keciciran daripada menerima surat untuk menghadirkan diri ke program ‘Kem Pembinaan Jati Diri Remaja Muslim’. Justeru itu, kami telah menulis alamat surat-menyurat mereka yang telah keciciran untuk dihantar surat tersebut dengan segera. Tambahan pula, kami turut ditugaskan untuk membuat modul-modul berkenaan kewajipan bersolat dan menutup aurat, hukum berjudi dan berzina dan sebagainya sebagai satu pengisian ilmu dalam program berkenaan. Untuk itu,  kami telah dilantik oleh pegawai penguatkuasa untuk menjadi fasilitator bagi semua suspek tangkapan atau Orang yang Kena Tuduh (OKT) yang dibuat dalam rekod yang terbaru. Kami telah menjadi fasilitator dalam kumpulan yang berasingan dan terdiri daripada 9 orang sekitar umur 15 hingga 25 tahun. Antara program yang dikelolai oleh kami ialah latihan dalam kumpulan yang dapat memberikan modul-modul yang telah kami sediakan dan juga peringatan serta kesedaran kepada mereka untuk menjadi muslim sejati tanpa melakukan maksiat dengan bersandarkan kepada ‘amar maa’ruf nahi munkar’.

Ana cuba menyelami hati &, jiwa muda mereka yang memerlukan bimbingan dari kita. Ana katakana kepada mereka “ Bila kita ditangkap begini, bukan bererti Allah tidak sayangkan kita, tetapi sebenarnya Dia sangat sayangkan kita, sebab itulah kita berada dalam bilik untuk membetulkan diri kita dan kembali semula kepada Dia. Allah tidak pernah jauh dari kita, tidak pernah lupakan kita, tapi kita yang selalu lalai dari ingat pada Dia. Tidak ada insan suci yang tidak punya masa silam, tidak ada insan yang berdosa yang tidak punya masa depan

“Ummah kini sudah berpecah belah dan seringkali berselisih pendapat sesama mereka. Maksiat pula semakin berleluasa dan melakukan dosa setiap hari sudah menjadi darah daging mereka sehingga akhirat mereka lupa. Roh Islam yang sebenar perlu dikembalikan, pimpin dan bawalah saudara seIslam kita untuk kembali kepada fitrah Islam, kembali sujud kepada Allah s.w.t…”



UNIT RUNDINGCARA

Di pejabat agama tersebut terdapat unit rundingcara atau kaunseling yang bernaung di bawah Jabatan Agama Islam Perak. Unit berkenaan hanya memberikan perkhidmatan kepada pasangan yang telah berkahwin dan mengalami masalah dalam pengurusan rumahtangga. Setiap pengadu yang ingin mendapatkan khidmat kaunseling tersebut mesti menulis aduan mereka di dalam buku aduan rumahtangga sebelum menerima surat temujanji mereka bersama kaunselor yang bertauliah.Dalam unit tersebut, kami membantu menguruskan beberapa masalah mengenai isu pergolakan rumahtangga daripada pelanggan yang ingin meminta bantuan untuk mendapatkan khidmat kaunseling. Malah ada juga pelanggan yang ingin menyelesaikan masalah perceraiannya tanpa melibatkan urusan melalui prosedur mahkamah.

UNIT MUBALLIGH

Sebarang urusan yang berkaitan dengan penglibatan ‘Saudara Baru’ akan ditadbir oleh Unit Muballigh ini. Malah unit ini juga aktif dalam menjalankan pelbagai program dalam usaha untuk memberi pendedahan dan penghayatan dalam beragama kepada ‘Saudara Baru’. Ana dan sahabat ditugaskan untuk menguruskan pendaftaran ‘Saudara Baru’.Dalam unit ini, kami telah merekodkan maklumat-maklumat peribadi ‘Saudara Baru’ di dalam buku rekod sebagai rujukan pejabat dan setiap penyertaan yang telah disahkan oleh Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah mengenai status agama asal mereka yang telah bertukar kepada agama Islam akan diberikan satu surat pengesahan pertukaran agama. Ini bagi memudahkan urusan pengendalian sebarang perkara yang berkaitan dengan maklumat peribadi mereka dalam urusan rasmi mahupun tidak rasmi. Kemudiannya kami jugam mengikuti kelas ‘Saudara Baru’yang diajarkan kepada mereka mengenai asas dan prinsip agama Islam termasuk aspek akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya. Menjadi tugas kita untuk mengajarkan kepada mereka, tanpa kita, kemanalah hala tuju mereka.

berdakwahlah dengan penuh hikmah, dan sampaikanlah kepada mereka yang memerlukan bimbinganmu’’

Banyak lagi tugas-tugas yang kami lakukan, namun hanya ini yang dapat ana kongsikan.. hehe, kalau nak tahu dengan lebih lanjut, kena cuba merasainya sendiri. =p  benarlah, secebis pengalaman itu cukup berharga andai niat kita ikhlas untuk mencarinya.

Ambillah iktibar & lakarkan lah secebis pengalaman yang ada pada kita untuk dijadikan modal dalam meneruskan langkah kejalan yang diredhai Allah. ikhlaskan hatimu takkala berkata-kata agar dapat melunakkan hati mereka yang keras seperti batu. Hikmahlah dalam berkata-kata agar hati mereka hidup dan sentiasa mengingati Allah s.w.t
Benar…apabila seorang penceramah berkata-kata dengan nada ikhlas, hati kita tersentuh dan serentak dengan itu hati kita terdetik untuk berubah disamping untuk terus mendengar butir bicara yang disampaikan. 

Sebaliknya, apabila kita mendengar penceramah berkata dengan nada riak, hati kita terasa jauh dan mendengar sambil lewa. Habis sahaja hadiri majlis ilmu tersebut, kita pulang tanpa mendapat apa-apa.

Itulah besarnya peranan seorang da’ie atau pendakwah. Ianya boleh mengajak kalian untuk melangkah setapak mendekati Allah s.w.t. atau tetap berada di tempat yang sama.

Seringkali hati ini berkata-kata, “Allah s.w.t. hanya akan pilih insan yang benar-benar ikhlas sahaja berada dijalanNya, dan selebihnya pula akan dibiarkan futur dan berundur dari jalan dakwah”.



Satu pesanan yang ku terima sebelum memulakan priktikal

“bilamana sesuatu itu dilakukan bukan kerna Allah s.w.t….tunggulah saat  kejatuhannya…”

ya, memang benar, apabila kita melakukan sesuatu bukan kerana Allah, maka, tunggulah sesuatu yang bakal di uji oleh Allah.. 


“jika kamu melakukan sesuatu atas nama program, kelab, persatuan, jawatan atau pangkat dan bukan kerna Allah s.w.t. dan Islam…nescaya kamu akan futur dan berundur dalam dunia da’wah”

Wallahua’lam.

Ilmu adalah warisan para Nabi dan Rasul,
sedangkan harta adalah warisan Qarun dan Fir’aun.
Ilmu akan menjagamu,
sementara harta, engkau yang perlu menjaganya.
Ilmu tidak ada pencuri,
sedangkan harta banyak pencurinya.

(Saidina Ali bin Abi Thalib)







Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

No comments: