“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau anugerahkan ini. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Alhamdulillah jua kerna masih diberi keizinan untuk kita bernafas di Bumi Allah ini. Ramadhan tiba lagi, hari ini merupakan hari terakhir bulan sya’ban, dan esok kita akan berpuasa. Mudah-mudahan kita dapat merasai kehadiran Ramadhan yang bakal menjelma, kerana berapa ramai yang mengharapkan akan bertemunya dengan bulan yang penuh barakah ini, tetapi tidak dapat merasainya kerana dijemput untuk menemui Ilahi. InsyaAllah,doakan kita dikalangan yang terpilih untuk merasai kehadirannya.
Minda mengimbau kembali takkala
ramadhan di kampus selama 3 tahun di Pantai Timur, dan barulah ana sedar bahawa inilah Ramadhan kedua, ana berpuasa bersama keluarga setelah tamatnya pengajian di Pantai Timur. Terasa rindu sekali mahu kembali merasai berpuasa, solat terawih dan lain-lain lagi bersama sahabat seperjuangan …(T_T) rindu kalian semua…rindu memori itu…Sahabat…hati ini benar-benar rindu
sekali untuk bertemu kalian semua.!
Namun, pasti semua itu mengubat hati
yang rindu ini takkala dapat berpuasa sepenuhnya di rumah bersama keluarga
tersayang. Tahun ini, adik ana yang masih menuntut di Sebuah Pondok di Kedah, tidak menyambut Ramadhan bersama-sama kami, terasa jua sedihnya bila tidak dapat berkumpul, tetapi biarlah, dia mencari Ilmu untuk dijadikan bekalan.
Dan Sahabat-sahabat blogger dan facebook kebanyakannya sudah update status tentang kehadiran bulan mulia ini. Masing-masing sudah tidak sabar untuk menunaikan ibadah puasa, tidak kurang juga ada yang mendoakan untuk sampai pada bulan yang penuh dengan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
Sepertimana yang kita ketahui, pada bulan Ramadhan inilah pahala amalan kita berlipat ganda daripada sebelumnya sepertimana hadis ini, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Segala amalan kebajikan anak adam itu dilipatgandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda.”
(Riwayat Abu Hurairah)
Rebutlah peluang yang terbentang luas ini, pelihara dan tunaikanlah solat dengan sesuci dan seikhlas rasa, baik sunat mahupun fardhu. Ini kerana, orang yang solat pada bulan Ramadhan, pada setiap kali sujud dikurniakan 1300 kebajikan dan dibinakan mahligai di dalam syurga dari permata. Sesiapa yang kekal berjemaah pada bulan ini, didirikan padanya kota yang bercahaya indah cemerlang. Demikian sabda Rasul. Dari itu, janganlah kita tinggalkan solat fardhu dan sunat terutama solat tarawih yang khusus hanya pada bulan Ramadhan. Pertahankanlah solat sunat tarawih daripada ditinggalkan sehingga berakhirnya Ramadhan kali ini. insyaAllah. Selain pahala yang berlipat ganda, Allah s.w.t. juga kurniakan kegembiraan kepada hambaNYA. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.
“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Pertama, ketika dia berbuka dan kedua, dapat bertemu Allah s.w.t. di akhirat nanti”
(Riwayat At-Tirmizi)
Didunia Allah s.w.t kurniakan kegembiraan tika berbuka puasa dan diakhirat kita dapat bertemu Allah s.w.t. Besarnya nikmat dan kegembiraan yang Allah s.w.t. kurniakan kepada mereka yang berpuasa. Alhamdulillah…
Malahan, didunia lagi kita sudah diberi kegembiraan tika berbuka puasa oleh Allah s.w.t. Jika ditanya kepada orang lain, mereka juga merasai kegembiraan tersebut termasuk juga diri ana. Kegembiraan yang diberitahu dalam hadis tersebut bukan sahaja tika berbuka tapi sebelum berbuka lagi bilamana wujud ikatan silaturrahim diantara sesama manusia.
Jadi, marilah kita sama-sama merebut peluang yang datang hanya setahun sekali ini. Janganlah dipersiakan semua keberkatan dan rahmat Ramadhan yang Allah s.w.t. kurniakan pada umat Muhammad yang mulia. Perbanyakkan ibadat terutama pada waktu malam agar kita dipertemukan malam yang dinantikan, malam penuh kemuliaan dan keberkatan, iaitu malam Lailatulqadar yang amat dirindui dan dicari oleh setiap muslim sejati yang bertakwa.
Semoga diperkuatkan iman, Diperteguhkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dalam menghadapi ujian pada bulan mulia ini. Berdoalah semoga dipanjangkan usia, semoga pada tahun hadapan Ramadhan al-Mubarak akan menjadi teman yang paling istimewa, dirindui dan dinanti. insyaAllah
“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat,aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...”
(Ustaz Asri Rabbani)
Dan Moga-moga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan lebih baik berbanding sebelumnya. Moga-moga juga hati kita lebih terpaut pada tawaran 10 ramadhan terakhir berbanding tawaran murah sempena Aidilfitri. Moga-moga kita dipilih oleh Allah s.w.t. untuk mendapat Malam Lailatul Qadar.
Ayuh….! tetapkan matlamat, atur strategi, raih keberkatan yang sudah ada di depan mata sebanyak-banyaknya. Gambar ini ana ambil dari seorang sahabat, mungkin berguna untuk kita nilai setakat mana tahap ibadah kita. Ambillah jika ianya terasa berguna.
Disini, ana mahu mohon ampun dan maaf sekiranya ada salah dan silap kepada semua yang mengenali diri ana, samada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Ketahuilah, ana hanya seorang insan biasa yang tidak akan terlepas dari salah dan silap, namun ana cuba menjadi sebaik-baik hamba buatNya. Semoga hati kita saling maaf memaafkan orang lain.
Dan juga buat sahabat seperjuangan ana, halalkan makan minum ana dan jika ada terhutang apa-apa, jika ada yang tidak berpuas hati, atau apa-apa sahaja, maafkan ana sekiranya masih ada tercalit di hati rasa tidak puas hati dengan sikap dan perwatakan ana.… wallahua’lam…
-->> Ya Allah, Ku memohon, agar Ramadhan tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya, kerana ku hanya insan biasa yang sentiasa mengharapkan keredhaanMu. Moga-moga hatiku ini sentiasa dijaga olehMu ya Allah.
-->>Ikhlaskan niat kerana Allah s.w.t.
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram…”
(Surah Ar-ra’d, ayat 28)
No comments:
Post a Comment