Friday, 20 July 2012

Tetamu yang di nanti & di rindui


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau anugerahkan ini. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah jua kerna masih diberi keizinan untuk kita bernafas di Bumi Allah ini. Ramadhan tiba lagi, hari ini merupakan hari terakhir bulan sya’ban, dan esok kita akan berpuasa. Mudah-mudahan kita dapat merasai kehadiran Ramadhan yang bakal menjelma, kerana berapa ramai yang mengharapkan akan bertemunya dengan bulan yang penuh barakah ini, tetapi tidak dapat merasainya kerana dijemput untuk menemui Ilahi. InsyaAllah,doakan kita dikalangan yang terpilih untuk merasai kehadirannya.

Minda mengimbau kembali takkala ramadhan di kampus selama 3 tahun di Pantai Timur, dan barulah ana sedar bahawa inilah Ramadhan kedua, ana berpuasa bersama keluarga setelah tamatnya pengajian di Pantai Timur. Terasa rindu sekali mahu kembali merasai berpuasa, solat terawih dan lain-lain lagi bersama sahabat seperjuangan …(T_T) rindu kalian semua…rindu memori itu…Sahabat…hati ini benar-benar rindu sekali untuk bertemu kalian semua.!

Namun, pasti semua itu mengubat hati yang rindu ini takkala dapat berpuasa sepenuhnya di rumah bersama keluarga tersayang. Tahun ini, adik ana yang masih menuntut di Sebuah Pondok di Kedah, tidak menyambut Ramadhan bersama-sama kami, terasa jua sedihnya bila tidak dapat berkumpul, tetapi biarlah, dia mencari Ilmu untuk dijadikan bekalan. 

Dan Sahabat-sahabat blogger dan facebook kebanyakannya sudah update status tentang kehadiran bulan mulia ini. Masing-masing sudah tidak sabar untuk menunaikan ibadah puasa, tidak kurang juga ada yang mendoakan untuk sampai pada bulan yang penuh dengan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Sepertimana yang kita ketahui, pada bulan Ramadhan inilah pahala amalan kita berlipat ganda daripada sebelumnya sepertimana hadis ini, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Segala amalan kebajikan anak adam itu dilipatgandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda.”
(Riwayat Abu Hurairah)

Rebutlah peluang yang terbentang luas ini, pelihara dan tunaikanlah solat dengan sesuci dan seikhlas rasa, baik sunat mahupun fardhu. Ini kerana, orang yang solat pada bulan Ramadhan, pada setiap kali sujud dikurniakan 1300 kebajikan dan dibinakan mahligai di dalam syurga dari permata. Sesiapa yang kekal berjemaah pada bulan ini, didirikan padanya kota yang bercahaya indah cemerlang. Demikian sabda Rasul. Dari itu, janganlah kita tinggalkan solat fardhu dan sunat terutama solat tarawih yang khusus hanya pada bulan Ramadhan. Pertahankanlah solat sunat tarawih daripada ditinggalkan sehingga berakhirnya Ramadhan kali ini. insyaAllahSelain pahala yang berlipat ganda, Allah s.w.t. juga kurniakan kegembiraan kepada hambaNYA. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.

“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Pertama, ketika dia berbuka dan kedua, dapat bertemu Allah s.w.t. di akhirat nanti”
(Riwayat At-Tirmizi)

Didunia Allah s.w.t kurniakan kegembiraan tika berbuka puasa dan diakhirat kita dapat bertemu Allah s.w.t. Besarnya nikmat dan kegembiraan yang Allah s.w.t. kurniakan kepada mereka yang berpuasa. Alhamdulillah…

Malahan, didunia lagi kita sudah diberi kegembiraan tika berbuka puasa oleh Allah s.w.t.  Jika ditanya kepada orang lain, mereka juga merasai kegembiraan tersebut termasuk juga diri ana. Kegembiraan yang diberitahu dalam hadis tersebut bukan sahaja tika berbuka tapi sebelum berbuka lagi bilamana wujud ikatan silaturrahim diantara sesama manusia. 

Jadi, marilah kita sama-sama merebut peluang yang datang hanya setahun sekali ini. Janganlah dipersiakan semua keberkatan dan rahmat Ramadhan yang Allah s.w.t. kurniakan pada umat Muhammad yang mulia. Perbanyakkan ibadat terutama pada waktu malam agar kita dipertemukan malam yang dinantikan, malam penuh kemuliaan dan keberkatan, iaitu malam Lailatulqadar yang amat dirindui dan dicari oleh setiap muslim sejati yang bertakwa.

Semoga diperkuatkan iman, Diperteguhkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dalam menghadapi ujian pada bulan mulia ini. Berdoalah semoga dipanjangkan usia, semoga pada tahun hadapan Ramadhan al-Mubarak akan menjadi teman yang paling istimewa, dirindui dan dinanti. insyaAllah

“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat,aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...”
(Ustaz Asri Rabbani)

Dan Moga-moga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan lebih baik berbanding sebelumnya. Moga-moga juga hati kita lebih terpaut pada tawaran 10 ramadhan terakhir berbanding tawaran murah sempena Aidilfitri. Moga-moga kita dipilih oleh Allah s.w.t. untuk mendapat Malam Lailatul Qadar.

Ayuh….! tetapkan matlamat, atur strategi, raih keberkatan yang sudah ada di depan mata sebanyak-banyaknya. Gambar ini ana ambil dari seorang sahabat, mungkin berguna untuk kita nilai setakat mana tahap ibadah kita. Ambillah jika ianya terasa berguna.
Disini, ana mahu mohon ampun dan maaf sekiranya ada salah dan silap kepada semua yang mengenali diri ana, samada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Ketahuilah, ana hanya seorang insan biasa yang tidak akan terlepas dari salah dan silap, namun ana cuba menjadi sebaik-baik hamba buatNya. Semoga hati kita saling maaf memaafkan orang lain.

Dan juga buat sahabat seperjuangan ana, halalkan makan minum ana dan jika ada terhutang apa-apa, jika ada yang tidak berpuas hati, atau apa-apa sahaja, maafkan ana sekiranya masih ada tercalit di hati rasa tidak puas hati dengan sikap dan perwatakan ana.… wallahua’lam…

-->> Ya Allah, Ku memohon, agar Ramadhan tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya, kerana ku hanya insan biasa yang sentiasa mengharapkan keredhaanMu. Moga-moga hatiku ini sentiasa dijaga olehMu ya Allah. 

-->>Ikhlaskan niat kerana Allah s.w.t. 

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram…”
(Surah Ar-ra’d, ayat 28)



Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Sunday, 15 July 2012

Sebuah Kehidupan


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas segala pemberian yang telah Engkau berikan kepada hamba ini. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang teramat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Minggu lepas, takkala pergi ke pejabat pos untuk menghantar barangan penting yang ditempah oleh oleh seorang sahabat, ana dimuhasabah sendiri. Sewaktu sedang menunggu giliran ke kaunter, muncul seorang budak lelaki dan terus ke mesin untuk mengambil nombor giliran.

Lalu dia duduk sebaris dengan kerusi ana duduk. Usianya nampak begitu muda sekali, mungkin lebih kurang dalam 8-10 tahun. Tangannya memegang beberapa helai duit kertas dan juga sekeping kertas, mungkin untuk melunaskan bayaran barangkali. Sewaktu dia masuk, wajahnya berpeluh yang amat-amat dan uniknya, dia datang sendirian!

Ana katakan unik kerna jarang sekali ana jumpa kanak-kanak sepertinya sendirian tanpa ditemani oleh orang tua. Jika dilihat pada wajahnya, nampak begitu matang sekali…subhanallah…

Ana tersenyum sendiri dan hati bermonolog, “pandai sungguh Engkau memujukku Ya Allah….”

Sebelum itu, ana menangis sendiri..Entah kenapa, hati begitu sedih sekali. Sahabat seperjuangan telefon dan menceritakan masalah mereka kepada ana disamping meminta pendapat, sokongan dan doa semoga dikuatkan serta dipermudahkan segala urusan.

Dan sememangnya ana akan jadi selemah itu sekiranya diri tidak kuat. Masalah orang lain, tapi kita pula yang sedih…Biasa la, cubit paha kiri, paha kanan yang terasa. Mereka rapat dengan ana, kerna itu ana turut bersedih sekiranya mereka bersedih…itulah ukhuwah, kerna kita semua adalah bersaudara.

Teringat perbualan ana dengan seorang teman. Sampaikan ana boleh kata kepadanya, “why life…..it so complicated?” dan jawapannya mudah dan ringkas sahaja, “itulah kehidupan…”. 

Dan sebaik sahaja ana melihat budak itu, semasa di pejabat pos, hati ana terasa tenang yang teramat. Seolah-olah kekuatan itu datang semula tanpa ana sedari. sememangnya Dia pandai “pujuk” ana dengan caraNya yang tersendiri kerna itu ana sayang sangat-sangat kat Allah s.w.t.…(^_^)


Ana melihat hikmah dari budak tadi. Dia menerima kehidupan yang perlu dia lalui sehari-hari. Mungkin sahaja dia adalah abang sulung dalam keluarganya dan kerna itu dia rasa bertanggungjawab untuk pergi sendiri ke pejabat pos bagi melunaskan bil-bil yang ada.

Mungkin sahaja dia sudah kehilangan orang tuanya dan duduk bersama dengan datuk dan neneknya, kerna itu dia rasa bertanggungjawab untuk membantu datuk dan neneknya bagi melunaskan bil-bil yang ada.

Ia….itu semua kemungkinan yang ada. Dan dia menerima seadanya tanpa rasa terpinggir melihat kanak-kanak yang lain datang bersama ibu atau ayah mereka, juga tidak rasa terpinggir melihat yang ada dalam pejabat pos tersebut itu semuanya tua darinya berpuluh-puluh tahun!

Nah…itulah kehidupan…samaada kita bersedia atau tidak, kita tetap perlu tempuhinya. Sememangnya sesekali kita akan merasa begitu lemah dan tidak berdaya untuk teruskan kehidupan, terasa kepenatan yang teramat sangat.

Dan memang itu yang Dia mahukan, supaya kita merasa kerdil dan lemah dihadapanNya. Supaya dalam hati dan jiwa kita ini merasai bahawa kita sentiasa perlukan Dia dan tidak boleh hidup tanpa Allah s.w.t…!

Kerna segala hal perkara yang dilakukan diatas muka bumi ini adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk Dia…because of Allah….

Saat air mata gugur membasahi pipi, saat hati yang sakit terluka, saat badan lemah longlai dan tidak berdaya untuk melangkah, saat akal yang sudah buntu tanpa apa-apa solusi, saat mulut terkunci tanpa apa-apa bicara….Allah s.w.t. mengerti semua itu, Dia tahu apa yang ada dalam bisikan hatimu, Dia mendengar segala rintihan dan luahan hatimu, Dia melihat segala keperitan yang engkau lalui…Kerna Dia yang menciptakan kita, pasti Dia yang lebih memahami kita berbanding makhlukNya yang lain.

Pegang nadi mu dan tanya, “Aku ini milik siapa?”. Makanya, siapalah kita tanpa Allah s.w.t….? Rapat dan dekatilah Dia, pasti dikau akan temui kemanisan dalam keperitan, percayalah…..kerna ana juga merasai keperitan dalam kehidupan…wallahua'lam..

-->>Kuatkan untuk orang-orang disekeliling kita, adakalanya mereka memerlukan kekuatan kita.



Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Thursday, 12 July 2012

Proses Didikan/Tarbiyah


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

‘Apa yang dilakukan pada hari ini, ianya bermula dari masa lalu’

Saya teringat satu kisah benar yang diceritakan oleh penceramah jemputan tatkala membincangkan berkaitan isu anak-anak atau remaja dalam radio IKIM.fm. 

“Suami saya baru saja cerita kisah nie dekat saya. Dia pergi Mekah dengan seorang remaja lelaki yang umurnya dalam 18 tahun. Satu hari, suami saya nampak remaja lelaki ini berlari masuk ke lif dan segera ke bilik. Setelah itu, dia terus berlari keluar. Suami saya terus bertanya kepada remaja lelaki tersebut. ‘Saya nampak kamu berlari tadi, ada apa ya?’. Remaja ini menjawab ‘saya melihat seorang lelaki tua meminta derma. Apabila saya seluk poket, tidak ada satu sen pun duit. Saya jadi kesian dan tidak sampai hati untuk tidak memberi derma. Kerana itulah saya segera berlari dan naik ke bilik untuk mengambil duit”.

Subhanallah. Hati ana bergetar tatkala mendengar kisah ini. Apatah lagi akhlak remaja ini sepertimana akhlak Rasulullah s.a.w. Sekiranya ada tetamu yang datang ke rumah Rasulullah s.a.w. atau sesiapa yang ditemuinya dalam perjalanan yang meminta sedekah, pasti Baginda s.a.w. akan bagi sedekah walaupun Baginda s.a.w. sendiri tidak dapat menikmatinya.

Penceramah jemputan ini menyambung perkongsian beliau. “saya kagum dengan akhlak dan peribadi remaja lelaki ini tadi. Pasti hatinya sering disirami dengan kebaikan dan tarbiyah sejak dari kecil hingga dia boleh bertindak sehebat itu”.

Ana setuju dengan kata-kata penceramah tersebut. Seringkali kita dengar ayat ini, “melentur buluh biar dari rebungnya”. Kenapa? Jika kita perhatikan, buluh yang masih kecil begitu senang untuk dilenturkan dan dibentuk berbanding buluh yang sudah matang atau tua.

Mungkin juga ada yang sering mendengar kata-kata ini, “mahu lihat bagaimana pemimpin kita dimasa hadapan, lihatlah remaja kita hari ini”. 

Kenapa ana ungkitkan semua itu? Kerana ini semua proses dari awal sebelum menuju kemuncak atau kematangan hidup. Setiap darinya perlukan proses dan penjaga yang menentukan bagaimana proses ini perlu diterjemahkan diperingkat permulaan.

“Jika anak bercakap kasar dengan ibu bapa, lihatlah bagaimana ibu bapa bercakap dengan anak semasa mereka kecil. Jika orang bawahan mula membuat kerja sambil lewa dan curi tulang, lihatlah bagaimana orang atasan melayan mereka sejak diambil bekerja.”

Semua ini perlukan satu tempoh masa untuk melihat adakah proses atau tarbiyah atau didikan yang diberikan berjaya menghasilkan individu muslim yang hebat peribadi dan anggun sahsiahnya atau tidak. Ianya bukan mengambil masa satu hari atau satu bulan, tetapi mengambil masa bertahun-tahun.

“muhasabah masa lalu jika ada yang tidak kena pada masa kini”

Ana teringat perkongsian yang diberikan oleh Ustaz Syaari Ab Rahman ketika dijemput untuk memberi sedikit ilmu. Katanya, “kalian tahu kenapa para Nabi, contohnya Nabi Muhammad s.a.w. mengembala kambing semasa kecil? Kenapa pilih kambing dan bukan binatang lain? Hikmahnya, Allah s.w.t. mahu memupuk sifat sabar dalam diri Rasulullah s.a.w. kerana mengembala kambing tidak mudah.”

“Perlu pastikan ‘warga’ kambing ini tidak meragut rumput orang lain. Tidak dimakan oleh serigala dan binatang buas. Tidak masuk ke kebun atau kandang orang lain kerana kambing memang terkenal dengan kedegilannya”.

Ini juga proses dan persediaan yang diatur oleh Allah s.w.t. supaya Baginda s.a.w. benar-benar bersedia untuk menggalas amanah paling berat ketika diangkat dan ditabal menjadi Nabi.

Dan kita. Ia…kita semua. Apa yang kita lakukan pada hari ini untuk menggapai matlamat hidup dalam tempoh 5 tahun akan datang? Amat malang sekali jika insan yang sedar akan masa yang sudah dibazirkan tetapi tidak berusaha untuk mengubahnya ke arah lebih baik. Aturlah masa kita dengan sebaiknya sebelum dijemput pulang oleh Ilahi. wallahua’lam.



Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Sunday, 8 July 2012

''Beduk Diketuk"


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Puji-pujian hanya layak buat Mu, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam buat kekasih atas yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah wa syukrillah atas keizinanNya untuk hamba ini berkongsi sesuatu . Beberapa hari yang lepas, ada beberapa buah buku yang sudah ana khatam. iaitu Beduk Di Ketuk. 

Jika sebelum ini ana lebihkan waktu untuk membaca tulisan dan artikel yang ada laman web, blog peribadi dan artikel yang bermanfaat dalam facebook. Kali ini, buku-buku yang tersusun rapi dalam mini library dibaca satu persatu. Alhamdulillah.

Baiklah, kali ini ana mahu berkongsi sebuah buku yang begitu bermanfaat dengan pengisian yang mengetuk minda dan mampu membuatkan pembaca koreksi diri disamping tulisan ini digabungkan dengan lukisan kreatif dari seorang kartunis. Hasilnya cukup hebat! (^^,)


Inilah kulit hadapan buku yang ana maksudkan. Buku ini ditulis oleh penulis yang tidak asing lagi dalam kalangan pembaca iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan diselang-seli dengan ilustrasi yang mencuit hati daripada kartunis Nik Wafdi.

Mungkin ada yang beranggapan tajuknya sedikit aneh dan jarang didengar melalui muka hadapan yang kita lihat. Tetapi tatkala membaca sinopsis yang tertulis di kulit belakang buku, pasti tanggapan itu berlaku sebaliknya dan para pembaca akan mengerti mengapa buku ini dinamakan ‘Beduk Diketuk’.

“Apabila beduk diketuk, tentulah ada yang rasa terkejut, tak senang malah ada kalanya ‘bingit’, namun sebaik menyedari untuk apa beduk itu diketuk. Kita akan mula memberi perhatian, mendengarnya dengan teliti dan bertindak selaras dengan mesej yang dibawanya. Suara peringatan ada kalanya tidak perlu terlalu nyaring, namun cukup sekadar dapat didengar oleh telinga dan hati. Orang yang bijaksana akan lebih terkesan oleh bisikan berbanding jeritan.”

“Nilai tambah dalam buku ini adalah ilustarsi yang penuh makna daripada saudara Nik Wafdi. Ilustrasi mampu mengangkat mesej berbanding ratusan malah ribuan kata-kata. Dan kami yakin pembaca akan teruja oleh usikan nakal namun penuh makna daripada pelukis tersebut. Dengan ini bahagian otak kanan (ilustrasi) dan kiri (kata-kata) para pembaca akan diaktifkan secara optimum bagi memantapkan lagi kefahaman dan penghayatan.”

Itulah sinopsis yang tertulis di belakang buku tersebut. Ketika tangan menyelak setiap helaian bab yang ada. Mata ana terpandang lukisan yang ada dan kadang-kala ana tersenyum sendiri. Kreatif dan penuh dengan makna tersirat! (^^,)

Buku ini punya nilai tersendiri kerana ianya menggabungkan dua elemen serentak iaitu tulisan dan lukisan. Disamping setiap bab ditulis berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh penulis sendiri sekitar kehidupan yang dilalui oleh beliau dalam sehari-hari bersama ahli keluarga dan masyarakat setempat yang ditemuinya.

Setiap bab, pasti ada sahaja ilmu dan hikmah baru yang ana perolehi tatkala selesai membacanya. Tambahan pula huraian dan kupasan yang ditulis oleh penulis begitu halus dan mampu mengetuk minda yang membacanya.

 Tidak menyangka, hanya melalui buku ini, banyak sekali hikmah yang boleh di amalkan dalam kehidupan seharian disamping dapat aplikasikannya tatkala berhadapan dengan masyarakat sekeliling. insyaAllah.

“Menerusi buku ini, penulis telah memberi kritikan, teguran dan bujukan terhadap masyarakat agar benar-benar komited untuk menegakkan ajaran Islam”

Mungkin ada  yang sudah memiliki buku ini dan juga sudah khatam. Jadi, kepada yang belum membaca atau memiliki buku ini, ana sarankan untuk kalian menjadikan buku ini sebagai salah satu koleksi bacaan yang mesti dibaca. 

InsyaAllah, ilmu yang bakal diperolehi pasti banyak dan mantap. Sehebat penulis dan pelukisnya. wallahua’lam.



Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Wednesday, 4 July 2012

Muhasabah Diri


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah…ku panjatkan rasa syukur di malam nisfu syaaban ini, kerna masih diberi kesempatan untuk terus beribadat kepada_NYA. Selawat & salam buat Imam Umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa juga buat para sahabat & tabi’in sekalian.
Malam ini merupakan malam Nisfu Syaaban, tiba-tiba hati tersentap buat seketika, dan sejak akhir-akhir ini, hati ini mudah tersentuh (T__T).. Muhasabah dan terus bermuhasabah diri. Bak kata seorang akak ,“Muhasabah time”
“Pendekar yang hebat itu pun, ada masanya perlu berehat untuk mengumpul tenaga, mengasah kekuatan, agar tidak tumpul kehebatannya”
 (Hilal Asyraf)
Na’am..ada masanya tiap insan itu perlu berhenti seketika untuk melihat adakah dirinya berada di “zon tarbiyah” atau sudah hanyut dan lalai dari_NYA buat seketika. Begitu juga tiap kali kita buat program, atau sebagainya, selepas program tersebut tamat sudah semestinya akan ada “post_moterm”. Untuk apa?
Untuk mengetahui kelemahan dan kelebihan sewaktu melaksanakannya supaya segala kekurangan yang ada akan dapat diatasi dan tidak berulang untuk program yang bakal menyusul serta kelebihan yang ada akan diupgrade lagi.
Begitu juga kita yang bergelar hamba Allah s.w.t. ini. Segala gerak langkah kita tiap saat yang berlalu akan dihitung oleh teman setia kita di kanan dan kiri serta pada masa tertentu akan diziarahi pula oleh Malaikat Sakaratul Maut. Tidak terlintaskah dihati kita, apakah yang masa yang berlalu itu mendapat redha Allah s.w.t. atau tidak?
Itulah pentingnya muhasabah, untuk melihat sejauh mana perjalanan hidup kita ini benar-benar berada di landasan yang dihendaki_NYA. Ana tidak bermaksud mengatakan muhasabah sebelum tidur itu tidak cukup, cuma muhasabah kali ini memerlukan penelitian yang mendalam.
“Da’ie itu ada masanya kena berhenti untuk bermuhasabah, melihat belakang untuk mencari di mana salah, agar saat dia bergerak, dia hanya melakukan kesalahan baru bersama pergerakan yang berkadar terus dengan pengalaman”
(Hilal Asyraf)
Ya..tapi bagaimana? Cuba kita renung perubahan diri kita, adakah masih sama seperti dulu atau sudah ada peningkatan atau makin kebelakang? Bagaimana pula dengan ilmu yang kita miliki, sudah mencukupi atau masih berada di tahap yang sama? Dan bagaimana pula amalan ibadat kita sehari-hari, ikhlaskah kita melakukannya, masih tidak ada peningkatankah?
Itu semua perlu direnungkan semula...tapi yang paling penting, adakah dengan pertambahan umur kita dari sehari ke sehari menambahkan juga keimanan kita kepada Allah s.w.t.? tepuk dada, tanya hati...
Ana teringat kata-kata seorang hamba Allah,“hebatnya seorang pejuang Muslim itu bilamana, hatinya benar-benar “tertaut” kepada Allah s.w.t.. Sehebat mana gerakan da’wahnya dalam menegakkan agama_NYAsehebat itu jugalah ibadatnya kepada Allah s.w.t”.
Ana teringat kisah semasa zaman Salahuddin Al-Ayubi. Beliau meronda setiap khemah para tenteranya pada sebelah malam untuk melihat khemah manakah yang terang benderang dengan cahaya lampu. Ternyata, hampir keseluruhan khemah yang ada terang benderang dan cuma beberapa khemah sahaja gelap gelita.
Pada keesokan harinya tika berkumpul untuk ke medan perang, Salahuddin Al-Ayubi berkata,“khemah siapa  yang gelap gelita pada malam tadi, Sila bangun..”. beberapa orang tenteranya bangun.
“baik, yang berdiri itu keluar dari barisan...!”, selepas memberikan arahan, Salahuddin Al-Ayubi serta tenteranya yang masih tinggal terus meluru ke medan perang.
Salahuddin Al-Ayubi bertindak sedemikian kerana tenteranya yang berdiri itu tidak bangun untuk qiamullai sepertimana yang lain. Jadi, tidak hairanlah Salahuddin Al-Ayubi dan tenteranya mampu menawan kembali BaitulMaqdis suatu ketika dulu kerana tiap hati dari mereka sudah “tertaut” dengan Allah s.w.t... Subhanallah....
Inilah sebenar-benarnya hamba yang beriman, sepertimana firman Allah s.w.t. bermaksud,
“sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat_NYA kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal”
(Surah Al-Anfal, ayat 2)
Ku merenung….
adakah diri ini mampu menjadi sehebat mereka…
kerna diri ini hanyalah insan kerdil lagi hina,
yang tidak punya apa-apa melainkan Islam dalam diriku…

Muhasabah diriku: 
Mengaudit apa yang telah ku lakukan
mana yang rasa mengundang pintu fitnah, ditutup.
mana yang rasa sia-sia, maka dipadam.
Dulu, Kini dan akan datang semuanya dari Allah dan untuk Allah.


Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Monday, 2 July 2012

"Sama Tapi Tak Serupa"


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah, syukur ku ke hadrat Mu atas segala kurniaan nikmat Iman, Islam & Ihsan yang telah Engkau berikan kepada hamba ini. Selawat dan salam buat kekasih tercinta dunia & akhirat, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Minggu ni, merupakan minggu yang paling sibuk di Sekolah, mesyuarat, Latihan sukan, dan sebagainya, hinggakan balik rumah dengan kepenatan dan makanya, ''pengsan'' kejap.. hehe.. Esok juga, akan diadakan satu Kursus Pengurusan Jenazah di Sekolah, mudah-mudahan usaha kami yang sekecil ini, dapat memberikan manfaat yang cukup berguna buat mereka, dan mudah-mudahan jua segala urusan di permudahkan oleh Mu ya Allah. Ameen Ya Allah..

Hari nie sahabat sepondok mak dan mak saudara datang ziarah kerana sudah lama tak bertemu. Dalam keadaan masih sedar tak sedar, terus bersiap-siap dan ke dapur untuk sediakan air dan makanan untuk tetamu yang datang. Setelah selesai, duduk sekejap dengan para ibu sambil mendengar mereka berbual. Tiba-tiba, anak mata ana terpandang nie..hehe 


Hero yang mengada-gada, dan banyak cakap.. hehe. Elok je minum susu sambil tengok Tv, tak padan dengan kecil. ;p 

Setelah sahabat mak balik, datang pula mak saudara dengan anaknya. Adik ana masuk bilik dan bagitahu, “kak , ada orang datang. Mak suruh buat air..”.

Dan seperti tadi, ana keluarkan ais batu dari peti sejuk untuk buat air oren. Sebaik sahaja beberapa sudu gula dimasukkan dalam jug kaca, mak pun cakap, “kak , buat air panas ye..teh pun takpe..”.

Tangan ana yang tengah menceduk gula terus kaku, dalam hati terus kata “macam mana nie, kalau nak buat air panas kena dalam teko bukan dalam jug…tapi gula dah bubuh, nanti membazir air plak nak basuh bekas…”

“hmm…takpelah, mana-mana pun sama, boleh minum jugak…huhu..”

Dah siap, ana bawa air dan keropok ke ruang tamu. Tiba-tiba mak bersuara,“kenapa tak letak dalam cawan?”.

Ana pun diam, lepas tu tersenyum sendiri dalam hati. Ana mendapat suatu hikmah dari gelas dan cawan tersebut. Mungkin bagi sesetengah insan, ianya perkara kecil dan remeh sahaja. Tetapi tidak bagi ana. Lalu ku lafazkan alhamdulillah atas peringatan dan muhasabah yang Allah s.w.t. aturkan…(^_^)

Apa persamaan dan perbezaan antara gambar di bawah?



 Jika ditanya kepada ana, persamaan dua objek nie adalah untuk menakung air untuk memudahkan kita minum. Perbezaannya pula adalah, air yang diletakkan dalam dua objek ini perlu mengikut kesuaian.

Jika air tersebut panas, maka ianya mesti diletakkan dalam cawan kerna ada tempat untuk pegang disisi cawan tersebut supaya tangan tidak rasa panas. Jika air tersebut sejuk pula, ianya mesti diletakkan dalam gelas.

Jadi, ianya punya fungsi yang sama iaitu untuk memudahkan kita minum dan air yang diletakkan tidak serupa antara keduanya. Begitu juga dengan gambar ini.


Kedua-duanya sudah memakai tudung, juga sudah menutup apa yang sepatutnya ditutup. Tetapi sayangnya, tidak serupa dalam menutup aurat. Ada sesetengah wanita Islam yang meletakkan aurat hanya pada rambut dan kepala sahaja tetapi memakai lengan pendek dan menampakkan kaki.

“Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir”
(Surah An-Nur, ayat 31)


Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda: 
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)
  
Mereka dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)

‘Bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.

Disebalik keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini.
Dari laman web Ustaz Zaharuddin. (aurat wanita apa sudah jadi)

Amat rugi sekali sekiranya kita memakai pakaian yang disangka sudah menutup aurat sewaktu keluar dari rumah atau berada bersama dengan lelaki ajnabi sedangkan ianya mengundang azab Allah s.w.t…alangkah baiknya jika kita mahu buat sesuatu, buatlah betul-betul dan bukan sekadar tangkap muat.

Begitu juga para da’ie di luar sana, jika mahu menegur insan yang tidak menutup aurat, tegurlah dengan selembut dan sehikmah mungkin. Pastikan hati itu terlebih dahulu dimuhasabah dan ikhlas untuk menegur kerna Allah s.w.t…

Nasihatlah dia ketika dia bersendirian dan bukan dikhalayak ramai kerna itu hanya akan membuatkan dia makin jauh dan “panas”, apatah lagi mahu berubah kearah kebaikan. Begitu juga seperti cawan dan gelas tadi.

Antara menegur selembut air dengan menegur sekeras batu. Ianya sama-sama sudah memberi nasihat, tetapi pendekatan dan gaya yang tidak serupa. Pasti akan memberi kesan yang berbeza kepada yang mendengarnya. Tidak rugi sedikit pun jika kita berkata dengan baik dan lemah lembut.

“gaya bahasa dan percakapan seseorang menggambarkan peribadi dan akhlaknya”

.:: Tertutup Itu Indah::.






Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^