Monday 3 January 2011

Rasional atau Emosi?

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas kurniaan nikmat Iman dan Islam yang telah Engkau berikan, moga hamba yang kerdil ini sentiasa bersyukur kepada Mu. Hanya kepada Mu ku bersujud. Selawat dan salam buat kekasih tercinta yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Sedang tercari-cari kata-kata hikmah untuk dikongsi bersama sahabat di facebook, ana terjumpa kata-kata ini. Pada mulanya tidak mengerti apa yang mahu diperkatakan. Setelah direnung sedalamnya, banyak pula hikmah yang ana perolehi.

“Lebih baik berusaha menyalakan lilin dari menyumpah kepada kegelapan”

Apa pandangan dan tafsiran kalian takkala membacanya? Sewaktu membacanya buat kali pertama, ana melihat hikmahnya. Daripada membuang masa menunggu eletrik berfungsi kembali, daripada merungut dan menyumpah seranah kerana berada dalam kegelapan, ada baiknya berusaha untuk mencari cahaya dengan menyalakan lilin dan meneruskan kerja yang tergendala.

Namun, setelah direnung berkali-kali. Ana peroleh tafsiran yang berbeza iaitu rasional dan tidak kalah pada emosi.


Kenapa ana berkata sedemikian? kita sebagai manusia punya berbagai perasaan. Punya perasaan marah, geram, gembira, sedih, cemburu, dengki dan banyak lagi. Kita juga diberi akal untuk berfikir. Itulah uniknya manusia.

Adakah kalian setuju sekiranya ana katakan, kadang-kala manusia kalah dengan perasaan atau emosi? Ia…bertindak mengikut emosi dan bukan bertindak mengikut rasional.

Cuba lihat pada kata-kata tersebut. Berusaha menyalakan lilin itu adalah tindakan rasional manakala menyumpah kepada kegelapan itu adalah tindakan mengikut emosi. Ana bawakan satu kisah sebagai contoh.

Ada seorang pelajar yang harinya begitu sibuk dengan kelas, tugasan, program dan usrah. Jadualnya begitu padat, sekiranya tidak diatur dengan baik akan menyebabkan semuanya menjadi kucar kacir. Sedang menyiapkan kerja yang seterusnya di malam hari, eletrik tiba-tiba sahaja terputus menyebabkan segala kerja yang ingin dilakukan mengikut jadual tergendala.

Di sini ada dua tindakan yang bakal dia pilih dan laksanakan. Pertama, emosi menguasi diri membuatkan dia begitu marah kepada pegawai eletrik kerna tidak mampu menangani masalah tersebut. Dalam kegelapan, dia menyumpah seranah menyalahkan orang lain.

Akhirnya, dia tertidur dalam keadaan marah ketika menunggu eletrik kembali berfungsi. Dan kerjanya tertangguh sehinggalah keesokan hari. Apabila sudah menangguhkan kerja, harinya akan lebih padat dengan aktiviti dan membuatkan dia semakin tertekan dan stress jika tidak diatasi.

Keduanya, dia bertenang dan berfikir jalan untuk mengatasi masalah tersebut supaya dia dapat meneruskan kerjanya. Lantas, dia berusaha mencari cahaya. Samaada berusaha menyalakan lilin, mencari lampu suluh, menghidupkan pelita dan sebagainya.

Walaupun dalam serba kekurangan, dia tetap dapat meneruskan kerjanya. Bak kata pepatah, pelajar rajin akan mencari jalan dan pelajar malas mencari alasan. Di situ dia akan mendapat dua kepuasan iaitu dapat siapkan kerja seperti yang dirancang dan puas kerna dapat mengatasi masalah tersebut.

Jika kita emosi, apa sahaja yang mahu kita lakukan tidak akan sempurna malah akan ada tempangnya. Jika tidak percaya, boleh cuba…(“,)


XXXXXXXXXXXXX

Begitulah juga dalam kehidupan kita. Pilihan ditangan kita samaada mahu menyalahkan diri sendiri atau orang lain, atau mahu berusaha mencari solusi untuk selesaikan masalah tersebut.

Ana teringat sikap seorang sahabat ana. Seorang yang cukup tenang takkala mehnah dan tribulasi bertalu-talu datang kepadanya. Sewaktu sibuk menguruskan program, berbagai masalah muncul. Setelah selesai satu masalah, datang pula masalah yang lain.

Jawapannya simple sahaja. “okey…tak pa, kita cuba yang lain”. Bila di cuba, gagal juga. Jawapannya tetap sama. “okey…tak pa, kita cuba yang lain”. Ana yang mendengar jawapannya terdiam. Sungguh tenang dan tidak kalah pada emosi, tidak juga menuding jari kepada orang yang gagal melaksanakan tugas tersebut.

Setelah direnung kata-kata ini, “Lebih baik berusaha menyalakan lilin dari menyumpah kepada kegelapan”.

Inilah huraian ana setelah merenung sedalamnya iaitu kerasionalan berfikir menumpaskan emosi yang mahu menjatuhkan. Tindakan yang rasional membuahkan solusi, manakala tindakan yang emosi memberi jalan buntu malah mungkin akan merumitkan lagi keadaan yang sudah pun rumit.

Ana pegang kata-kata seorang teman, jangan pernah kalah dengan emosi...insyaAllah...

Jadi, pilihan di tangan kita. Selesaikan sesuatu masalah itu dengan penuh rasional atau membiarkan emosi menguasi diri yang bakal “menjemput”masalah lain pula. Ayuh sama-sama kita bertenang…just smile…(^_^)

Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

No comments: