Saturday, 27 April 2013

Tudung Labuh

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Moga nafas ini sentiasa memuji dan menyebut nama Mu. Selawat dan salam buat pembawa rahmat ke seluruh alam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat kaum kerabat Baginda s.a.w., kaum muslimin dan muslimat.

Baiklah, ana ingin kongsikan satu kisah seorang sahabat ana yang ana kenal melalui Facebook, mudah-mudahan kisah ini memberikan manfaat buat semua. 

XXXXXXXXXXXXXX

Insan sekeliling sangka saya jumud bila tetap bertudung labuh walaupun sedang buat aktiviti lasak (jungle trekking, berkayak, dan seangkatan dengannya).Insan sekeliling sangka saya syadid bila tetap berniqab walaupun memanah.

Sebelum saya buka kedai kebab di Cafe Petronas (kalau ada yang masih ingat) semasa belajar , saya belajar cara-cara memasak dan bungkus kebab dari seorang guru yang saya hormati. Rasanya sangat enak sampai ada yang mengidam :p

Mungkin 'kesian' melihat saya dengan tudung 'besar' dalam keadaan berpeluh membuat kerja-kerja memasak, beliau berkata sesuatu "Islam nie fleksibel, asalkan menutup aurat, bolehlah pakai tudung kecil sikit untuk mudahkan kamu bergerak".

Saya senyum :)

"Erm...takpalah, saya selesa begini", jawab saya yakin.

Sebenarnya ramai yang tidak tahu (Lagipun jarang yang tanya), saya juga 'berhijrah' dalam tudung labuh. Walaupun sudah istiqomah memakai tudung labuh seawal usia 12 tahun, ada suatu peristiwa yang buatkan cinta saya terhadap tudung labuh sangat mendalam hingga tidak sanggup untuk menukarnya walaupun seketika.

Semasa di Kolej Matrikulasi Perlis (KMP), Allah 'test' niat saya bertudung labuh. Diawal kemasukan semester 1, saya setia dengan tudung labuh. Di pertengahannya, hati saya mula berubah. Minat pakai tudung segi 3 akel bidang 60 dan pakai kerongsang yang bermanik di pin dikanan dan kiri bahu.

Mula la syok sendiri sambil hati berbisik, "cantik juga pakai macam nie".

Maka, mulalah kumpul berbagai jenis kerongsang dan tudung segi akel bidang 60.

Satu hari, ada satu majlis besar-besaran yang diadakan di KMP dan semua pelajar berkumpul dalam dewan. Saya duduk di satu kerusi yang mana mejanya sudah diatur mengikut kelas masing-masing.

Ada seorang kenalan lelaki tegur saya, "cantik awak pakai macam nie".

Saya senyum tanpa kata apa-apa. Perempuan, memang pantang dipuji, mulalah hati berbunga-bunga.

Ketika itu, ada satu lintasan hati menegur Iman saya "suka la tu orang puji. Engkau pakai tudung kerana Allah atau kerana orang lain?".

Astagfirullah...

Masa tu mata mula berair dan saya mula tersedar betapa mudah dan halusnya 'bisikan' syaitan yang membuai dalam hati agar terpesona dengan keindahan dan perhiasan duniawi.

Selepas daripada hari tu, saya balik ke rumah dan cari semula tudung labuh yang saya pakai semasa di Mahaad dan sekolah harian biasa. Hati terasa tenang dan semakin tenang apabila pakai tudung labuh semula. Alhamdulillah atas izin Allah ♥

Sebab itu saya tak hairan bila ada muslimat bertudung labuh atau berniqab yang gedik (maaf, terpaksa tulis), suka pujian manusia, couple, mengumpat dan banyak lagi akhlak buruk akan 'luruh' (tanggal) sendiri atau tidak istiqomah bertudung labuh atau berniqab.

Sebab apa? sebab niat dah terpesong. Percayalah, jika buat sesuatu dan berusaha untuk buat kerana Allah, jarum atau bisikan syaitan sangat mudah untuk kita patahkan.

Bila ada yang tanya saya bagaimana untuk istiqomah dengn kebaikan, saya akan jawab "istiqomah dengan tudung labuh". Mungkin ramai terasa mudah, tapi sukar untuk lakukannya.

Bagi saya, tudung labuh dan niqab bukan setakat pakaian. tetapi juga adalah perisai Iman buat diri. Malu rasanya kalau bertudung labuh dan berniqab tetapi akhlak peribadi sangat buruk dan tak tahu hukum hakam agama.

Bila dah berubah dari luar, usahalah untuk perbaiki pula dari dalam. Kan sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa (Indah dari luar dengan pakaian menutup aurat, dan pesona dari dalam dengan akhlak mulia)..





Itulah perkongsian dari sahabat ana..Mudah-mudahan Allah tetapkan hatinya agar sentiasa istiqomah dalam apa jua keadaan..

Jika ditanya kepada ana, apa yang ada pada tudung labuh? Ianya adalah perisai iman dan amanah buatku. Apabila terasa mahu buat benda lagha dan keburukan, terasa malu sangat dengan tudung labuh yang dipakai. 

Sedikit demi sedikit, ianya berjaya mentarbiyah hati dan iman ini dalam diam untuk sentiasa perbaiki diri dan hubungan dengan Allah serta manusia. Cinta ana juga terhadap tudung labuh sangat mendalam.

Apabila ada yang minta untuk ana tukar tudung apabila mahu ikuti sesuatu latihan, ana berkeras untuk tetap setia dengannya dan berjaya buktikan insan bertudung labuh mampu lakukannya.

Paling terkesan apabila layanan masyarakat sekeliling. Ada yang melayan bak sang puteri. Apabila berjalan di jalan dan bertembung dengan lelaki, pasti dia akan berhenti dan memberi ruang sebesarnya agar tidak tersentuh.

Tidak kurang juga ada yang menghina dan mencaci. Itu layanan tarbiyah yang Allah hadirkan untuk melihat setakat mana Iman mampu bertahan dalam mengejar redha Allah.

“jika terlalu senang, murah pula harganya.
Yang susah itulah mahal harganya”

.:: Jom Labuhkan tudung kita wahai wanita Islam…(^^,) ::.






Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Wednesday, 24 April 2013

Maruah Kamu


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

سبحان الله وبجمده سبحان الله العظيم
اللهم صل على محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Salam kasih sayang buat para pembaca, muslimin dan muslimat sekalian. Moga dalam jagaan dan rahmat Allah s.w.t. selalu..

Alhamdulillah, masih diberikan keizinan oleh Allah untuk mencoretkan sesuatu setelah sekian lama blog ini dibiarkan sepi beberapa dek kerana urusan yang menggunung..(kalah PM kot.. ;p) Baiklah, ana ingin kongsikan sesuatu..Mudah-mudahan ianya bermanfaat buat semua..




Pakwe. Boyfriend. Teman lelaki. Marka. 


Namakan apa saja. Ia tetap bukan seorang lelaki yang sah, bergelar suami. Tahap, taraf dan martabatnya seinci pun tidak sampai ke kedudukan itu. Untuk ditaati, dihormati, disayangi, dirindui, langsung tidak berkelayakan. Itu syariatullah yang harus diakui oleh semua orang.

Ana kadangkala rajin juga melakukan blogwalking, samada dalam list sedia ada, ataupun daripada komen pembaca, ataupun daripada pautan lain di blog-blog mereka. Kebanyakan ‘perjalanan’ ana itu ana fikir mereka masih berada dalam circle yang sama, iaitu pembaca atau bloggers yang punya minat pada agama. Dalam jiwa mereka, ada Islam.

Sebahagian besar mereka adalah remaja dan berjantina hawa. Isi kandungan blog pula lebih berkisar tentang kehidupan mereka serta apa sahaja yang dilalui. Sesekali diselit dengan tazkirah, dan kerap kali juga dipaparkan pelbagai artikel yang disalin daripada blog ilmuan lain. Kesimpulan mudah yang ana buat adalah, mereka ada jiwa untuk memberi, mempelajari dan mahu menjadi muslimah sejati.

Namun ana perlu akui, sebahagian besar mereka itu sedang asyik dalam kesilapan yang menjatuhkan maruah diri, dan lebih malang jika perkara itu tidak disedari.

Dalam blog, selain pelbagai widget di kiri atau kanan, gambar sendiri diedit cantik dan dipamerkan. Ditambah lagi satu, gambar kekasih hati turut sama terpampang. Gambar ‘budak lelaki’ itu juga diedit cantik dan ditulis pelbagai kata cinta di atasnya. Sangat gedik dan geli. Gejala sama turut menimpa para facebookers. Gambar profil berpurdah hitam dengan paparan mata yang konon menawan. Berpurdah katanya. Di bawahnya pula, status ‘in a relationship’ tertera penuh bangga dengan lelaki yang bukan suaminya.



SYARI’ATULLAH

Dikisahkan, wanita itu sifat malunya lebih tebal berbanding lelaki. Fitrah penuh hikmah yang diciptakan Allah. Islam datang mengangkat martabat mereka dengan pelbagai peraturan dalam syariat. Dan Islam terbukti sebagai sistem paling unggul dalam memuliakan wanita.

Ada perintah berhijab, merendahkan suara, menjaga pergaulan dan tutur kata. Secara tersirat, elemen-elemen itulah yang menambahkan lagi harga dan maruah seorang wanita. Mereka menjadi mulia dan mereka dimuliakan.

Tetapi apa akan terjadi, jika kesemua peraturan itu diabaikan?

Analogi yang selalu kita dengar, syariat itu umpama papan tanda di lebuh raya. Bayangkan apa akan terjadi, jika lori balak sama-sama bersaing di laluan kanan bersama motosikal dan kereta? Bayangkan pula, jika semua orang bebas memandu ke arah mana yang mereka suka, tanpa ada lampu isyarat ataupun papan tanda?

Begitu juga. Bayangkan bagaimana jika wanita yang seharusnya lebih mahal dan lebih tinggi sifat malunya, membakulsampahkan kesemua sifat tersebut di hadapan lelaki? Dan situasi ini sebenarnya telah banyak terjadi dan terus terjadi, terutama di kalangan gadis remaja kita.

Gejala mempamerkan wajah sendiri telah banyak diingatkan sebagai membahayakan maruah. Pelbagai bukti printscreen ditunjukkan bagaimana gilanya manusia yang mencuri dan membuat editing pada gambar-gambar kaum hawa. Namun kedegilan yang sama terus dipertahankan. Bahkan bertambah, dengan trend meletakkan bersama gambar teman lelaki masing-masing.

Apakah mereka fikir, itu suatu bentuk kebanggaan?



MARUAH


          ” Sayang papa sampai mati “

          ” My beloved one..forever n ever “

          ” Cayang kamuuu ..”


Ya. Itu antara ayat-ayat cinta ciptaan mereka. Pernah ana cuba menyelidik, adakah si lelaki turut melakukan perkara yang sama. Dan menyedihkan, kerana banyak yang saya lihat, si lelaki tidak pun meletakkan gambar teman wanita mereka bahkan seboleh-bolehnya kelihatan seperti mahu berlagak single dan belum berpunya.

Pernah juga ana lihat di facebook. Gadis muslimah tersebut, beriya-iya menukilkan madah cinta di wall teman lelakinya. Bahkan menggunakan aplikasi tulisan yang pelik-pelik penuh warna warni semata-mata untuk menyatakan ‘ saya sayang pakwe saya ‘. Di wall si lelaki, berderet ucapan yang sama, setiap hari. Tetapi aneh, si lelaki langsung tidak membalas. Si lelaki seolah ‘rimas’ dan seboleh-bolehnya mahu ‘berlepas diri’ dari kesemua perkara tersebut. Hanya post dari rakan-rakannya sahaja yang dibalas dengan ‘rela’.

Ana terfikir, si gadis seperti itu sebenarnya mengapa? Sakit jiwakah dia? Sudah hilang rasa malukah dia?

Oh, gambar profil facebook gaya arab. Pakai niqab hitam. Status-status yang ditulis, mengajak cinta kepada Allah. Ajak berburu Lailatul Qadr. Tetapi dia sanggup menghabiskan masa yang banyak ( pada hemat saya ) untuk membuat editing gambarnya dan dicantum dengan gambar si lelaki. Ditambah dengan pelbagai effect dan tulisan. Berhabis masa pula untuk membuat tulisan kelip-kelip , dedikasi untuk orang yang dia sayang. Apa sebenarnya yang dia cari?

Apa sekalipun rasa hati, mereka yang berada dalam situasi seperti ini harus segera sedar. Anda sedang menjatuhkan maruah diri anda sendiri.


MULIANYA ANDA

Jangan jadi gula-gula yang terdedah tanpa balutan plastik, kerana tiada orang akan memilih gula-gula itu berbanding yang masih tertutup dan tersimpan rapi di dalam bekas. Gula-gula yang terdedah, samalah seperti ucapan dan perbuatan yang menjatuhkan maruah. Pakaian anda, tudung atau jubah, tidak memberi sebarang makna jika anda sanggup merendahkan darjat anda ke tahap itu di alam maya.

Tidak ada sesiapa yang akan berbangga dengan status ‘ in a relationship ‘ anda  di facebook, walaupun anda dan dia sudah bertunang. Kalau pertunangan itu pun disuruh rahsiakan, apatah lagi jika anda dan dia langsung tidak ada apa-apa ikatan dan sekadar bermain perasaan?

Menjadi trend, di usia remaja wajib punya pasangan. Seawal tingkatan satu, sudah punya teman istimewa dan diisytihar merata-rata. Bahkan ada juga yang memanggil budak lelaki mereka sebagai‘hubby‘ atau suami. Kemudian, putus di tengah jalan. Lalu ditulis pula status-status penuh kesedihan.

” Saya relakan awak pergi. Mungkin kita tiada jodoh. Saya redha dengan suratan Ilahi. Kalau kita cintakan seseorang, kita pasti akan sanggup lepaskan dia untuk melihat dia bahagia..”

Gurindam putus cinta dari anak remaja yang baru tingkatan tiga.

Tidak berapa lama, gambar berganti. Dapat pula teman lelaki yang lain. Dapat boyfriend baru. Cinta berputik kembali. Gambar ditayang lagi. Hanyut kembali dalam ombak perasaan yang tidak bertepi.

Muliakah anda dalam situasi itu? Tinggikah nilaian anda dengan melakukan perkara seperti itu? Tenang dan damaikah jiwa anda dengan mainan perasaan seperti itu?


JALAN PULANG

Mungkin masih ramai menganggap, gambar teman lelaki kesayangan mereka itu sumber inspirasi. Dan kisah cinta mereka adalah pencetus motivasi. Tetapi sebenarnya, anda sedang bermain dengan harga diri. Islam mengangkat anda ke tempat yang cukup tinggi semata-mata untuk memuliakan anda sebagai wanita. Islam prihatin dengan sifat malu yang menjadi benteng maruah diri anda.

Jangan biarkan Syaitan terus-terusan menghiasi amalan anda. Hayati kembali keindahan syariat Islam. Perhalusi kembali hikmah di sebalik larangan.

Bercinta dan berhubungan dengan bukan mahram adalah satu dosa, dan mengisytiharkan dosa itu dengan bangga di khalayak ramai menambahkan satu lagi dosa. Di sebaliknya, maruah anda sebagai wanita sedang terhina.

Kembalilah pulang.

Masih belum terlambat untuk beralih memperbaiki kesilapan. Buang lah kesemua gambar teman lelaki anda kerana tidak ada apa yang hendak dibanggakan. Bangga sangatkah mempamerkan perlanggaran hukum Tuhan? Di facebook juga begitu, berhentilah dari status ‘ in a relationship ‘ dengan kaum adam yang bukan mahram. Lebih parah jika sampai tahap status ‘ married to ‘ yang tergamak dipaparkan dengan lelaki yang tiada ikatan.

Ana kasihan, kerana ana yakin, dalam diri mereka ada kecintaan kepada Islam. Dan mudah-mudahan, artikel ini mampu menyuntik sedikit kesedaran. Sayangilah diri anda sebagai kaum hawa yang dimuliakan Tuhan. Moga Allah memberi kekuatan untuk melakukan perubahan.




Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^