Sunday, 17 June 2012

Kerna Kau Menjadi PilihanNya…


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah, semalam di berikan keizinan oleh Allah untuk turun kelapangan markaz Bagan Serai, melihat gerak kerja yang dilakukan, malah satu perasaan yang tak dapat digambarkan, bilamana dapat melihat Tuan Guru Nik Aziz dengan lebih dekat lagi. Allahu Allah syukur padaMu. Satu pesanan yang disampaikan oleh Tuan Guru dalam ceramah beliau, yang ana rasa cukup memberi kesan pada diri
'' jangan takut mati, tapi takut ke nerakaNya''
Ya, memang benar, ramai manusia yang takut untuk mati, tapi berapa ramai yang takut untuk ke nerakaNya. Hisab dan hitunglah diri kita, muhasabah kembali, kita berada dalam golongan yang mana? tepuk dada, tanyalah iman kita (-_-)
Alhamdulillah jua, Ya Allah kerna masih diberi peluang kepada insan kerdil lagi hina ini untuk terus rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam buat idola hati ku, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
Beberapa hari yang lepas, meronda sambil ziarah ke facebook sahabat-sahabat kenalan. Status mereka kebanyakannya meletakkan supaya Allah s.w.t. bantu dan memberikan kekuatan supaya tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan yang telah ditetapkan buat diri mereka.
Ana suka membaca kisah-kisah kehidupan orang lain kerna ia juga merupakan “guru” kehidupan buat diri ana secara tidak langsung. Ana selak satu persatu kisah perjalanan hidup mereka, merenung dan mentafsir apa yang berlaku kerna mana mungkin Allah s.w.t. jadikan sesuatu dengan sia-sia tanpa hikmahnya yang tersendiri.
punya cerita duka, punya cerita luka,
Itulah namanya arca manusia….
Punya hati suka, namun sakit saat terluka,
Itulah namanya jiwa manusia…
Mengukir saat bahagia, menatap waktu sengsara,
Itulah takdir cinta Yang Esa…

Takdir itu mana mungkin menzalimi,
Tetapi itu adalah tarbiyah Ilahi…
Suka..duka..sengsara..bahagia..
Nikmat Tuhan buat sang hamba..
Cuma manusia harus cerdik menilainya….
Buatmu orang muda,
Acara kamu masih menunggu puncaknya,
Walau terkadang salah bicara,
Namun Dia tetap cinta….
Walau terkadang tersasar gayanya,
Dia tetap menunggumu berbicara…

Bicara cinta antara kamu dan Dia,
Bicara cinta yang pasti tiada taraNya..
Berbahagialah orang muda,
Yang pasti tahu datang dan perginya,
Hanyalah disisi Allah s.w.t. Yang Esa…
Benar, mana mungkin takdir itu menzalimi kita kerna ia adalah tarbiyah buat sang hamba. Bertuahlah bagi sesiapa yang memperolehi cinta dari Yang Esa. Semua ujian itu pasti berlaku kepada tiap hamba yang mengaku beriman kepadanya. Bertuahlah bagi sesiapa yang diujiNya kerna kau menjadi pilihanNya….
Kata-kata indah ini ana ambil dari blog sahabat ana. Mantap juga penulisannya, isinya padat tapi penuh dengan pengisian yang mentarbiyah.                           
BICARA ALLAH S.W.T.

Bersyukurlah andai terbit rasa ketidakmampuan,
Itu tandanya hamba sentiasa perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai diri merasa keletihan,
Itu tandanya hamba sentiasa perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai hatimu diterjah kekecewaan,
Itu tandanya hamba perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai hatimu diamuk kesepian,
Iitu tandanya hamba perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai dirimu terasa sendirian mengharungi segala tanpa teman,
Itu tandanya hamba perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai kehilangan sebuah kekuatan,
Itu tandanya hamba perlukan tuhan...

DIA sedang berbicara denganmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah andai jiwamu merintih untuk sebuah ketabahan,
Itu tandanya hamba perlukan tuhan...

Bersyukurlah atas segala keperitan dan kepayahan yang disalurkan,
Kerna di situ lahirnya jiwa rasa hidup berTUHAN!

DIA sedang mentarbiyyahmu dengan caraNya tersendiri!

Bersyukurlah!
Bersyukurlah!
Bersyukurlah!

Kerna kau menjadi pilihanNya!

Biar segunung ujian didatangkan,
Kentalkan jiwa dengan haruman ketaqwaan,
Moga ianyakan menjadi saksi di hari pertemuan!



Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Friday, 15 June 2012

SEBUAH HATI YANG BAIK ^^,


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah kerna masih memberi peluang kepada hamba ini untuk terus rukuk dan sujud kepada Mu. Selawat dan salam buat kekasih yang amat-amat diri ini rindui dan cintai serta kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah masih diberi peluang kepada hamba ini untuk terus bernafas di bumi Allah ini Semalam, sambil menunggu masuknya waktu isya’, ana membuka siaran radio IKIM dan mendengar sesuatu yang bermanfaat.

Alhamdulillah Allah s.w.t. gerakkan hati untuk membuka siaran radio IKIM dan dikala itu kuliah sedang berlangsung. Terasa damai dalam hati selepas mendengar kuliah yang disampaikan oleh seorang ustaz.

Moga peroleh manfaatnya ….insyaAllah…(^_^)

Tajuk yang dikupaskan adalah hati yang baik. Menarik sekali perkongsian yang diberikan, ditambah pula dengan sebuah kisah yang cukup memberi pedoman buat pendengarnya. 

Hati yang baik itu sudah semestinya akan sentiasa menyukai hal kebaikan dan membenci hal keburukan. Malah hati yang baik itu juga boleh dilihat atau dinilai melalui akhlak, peribadi dan tutur katanya.

Hati adalah tempat terpancarnya perasaan suka, duka, benci, marah, gembira, sedih dan sebagainya. Hati ibarat raja yang mengarahkan seluruh anggota tubuh untuk mengikut perintah hati. Apabila hati dikuasai oleh iman, amal yang dilahirkan adalah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai oleh nafsu, maka amal yang muncul adalah keburukan.

“sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota, dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah, itulah hati”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Hati adalah umpama raja dan anggota tubuh badan sebagai pengawalnya. Apabila raja memerintah dengan baik, pengawalnya tentulah bertugas dengan baik juga. Apabila rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, sudah tentu pengawalnya juga begitu”

(Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)


Ini pula kisah tersebut. Ada sebuah kerajaan yang diperintahkan oleh seorang sultan dan mempunyai seorang penasihat yang juga merupakan panglima perang. Setiap hal yang berlaku terhadap negera yang diperintahnya pasti akan ditanyakan sebabnya kepada penasihat tersebut.

Contohnya, sekiranya berlaku banjir hingga menyebabkan tanaman-tanaman rosak, musim kemarau yang melanda hingga banyak haiwan ternakan mati kebuluran, tidak kurang juga wabak penyakit yang merebak menyebabkan ramai rakyatnya mati. Setiap kejadian yang berlaku, Sultan tersebut bertanya kepada penasihatnya, “kenapa kejadian ini boleh berlaku?”.

Jawapan yang diberikan oleh penasihatnya cukup mudah, “sabarlah tuanku, pasti ada hikmahnya…”

Setiap kali ada musibah yang melanda dan setiap kali itu juga Sultan bertanya kepada penasihatnya, itulah juga jawapan penasihat kepadanya.

Suatu ketika, sedang Sultan berlatih bermain pedang dengan saudara kandungnya. Kaki baginda ditusuk pedang hingga luka. Lalu Sultan tersebut berjumpa dengan penasihatnya, dan bertanya kepadanya, “apakah pula yang berlaku ini?”.

Dan jawapan penasihat tersebut tetap sama, “sabarlah tuanku, pasti ada hikmahnya…”.

Akhirnya, Sultan tersebut marah dan murka kepadanya kerana tiap kali ditanya apa yang berlaku, hanya itu jawapannya. Lalu, penasihatnya dipenjarakan. Dua hari selepasnya, Sultan bersama dengan beberapa orang tentera bersiap untuk pergi berburu di hutan.

Sedang dalam perjalanan, Sultan dan tentera yang mengiringinya terpisah. Gerak geri Sultan tersebut yang sibuk mencari jalan keluar diperhatikan oleh sekumpulan orang asli. Akhirnya, Sultan tersebut ditangkap dan dibawa ke perkampungan orang asli.

Mereka sibuk membuat persiapan memasak untuk menjadikan Sultan tersebut sebagai hidangan mereka pada hari itu. Salah seorang dari mereka yang berpengetahuan memeriksa badan Sultan tersebut dan menjumpai kesan luka berbalut dikakinya akibat ditusuk pedang.

Orang asli itu tahu, syarat makanan yang ingin disembelih mesti sihat dan tidak boleh ada kecacatan dimana-mana bahagian. Akhirnya, Sultan tersebut dibebaskan kerna Baginda tidak cukup syarat untuk menjadi santapan mereka.

Setelah dibebaskan, Sultan segera kembali ke istana dan berjumpa dengan penasihat yang dipenjaranya lalu menceritakan apa yang telah berlaku. Penasihatnya berkata kepada Baginda, “tuanku, sekiranya tuanku tidak penjarakan patik dan patik turut bersama tuanku berburu dihutan tadi, sudah semestinya patik mati dimakan oleh orang asli tersebut dan tuanku pula dibebaskan. Jadi, terima kasih tuanku kerna penjarakan patik…”

Kisah ini menunjukkan bagaimana jernihnya hati seseorang yang baik. Mungkin apabila ditimba musibah, hatinya marah, geram, sakit hati dan seangkatan dengannya kerna tiap hal yang dia mahukan berlaku sebaliknya. Namun, sekiranya hati itu baik pasti hati tersebut akan mengarahkan akal untuk berfikir tentang hikmah yang berlaku disebaliknya.

Hatinya akan sentiasa tenang, redha dan ikhlas untuk menghadapi tiap hal yang berlaku tidak kira hal tersebut adalah kesenangan atau kesukaran. insyaAllah…ameen…

“Barangsiapa yang jernih hatinya, akan diperbaiki Allah pula pada yang nyata di wajahnya”.

(Saidina Umar bin Al-Khatab)

Masih dalam proses mentarbiyah hati dan cuba menjadi sebaik-baik mukmin buatNya…ayuh muhasabah diri….(“,)





Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Thursday, 14 June 2012

WARKAH KE SYURGA


"Dengan nama Allah s.w.t Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani"

Segala puji hanya untuk Mu, Cinta pertamaku, Pemilik segala isi dunia dan akhirat, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam buat Imam seluruh umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Sering ku titipkan doa agar kita semua sentiasa berada di bawah payungan Rahmat dan HidayahNya Yang Maha Esa,

“Hati adalah khalifah anggota badan. Baiklah hati, maka baiklah ‘arahannya’.”

Dalam kekalutan dunia pada ketika ini…

 Amatlah berharap agar Allah sudi mengampunkan kita semua…

Dalam keadaan ramai manusia sudah tidak lagi takut kepadaNya…

Dalam keadaan manusia tidak lagi dapat membezakan antara yang hak dan yang batil…

Dan dalam keadaan manusia tidak lagi dapat membezakan yang mana pahala dan yang mana dosa…

Moga-moga doa yang selalu kita pohon dimakbulkan olehNya…

Walaupun dalam kehidupan seharian kita kadangkala kita lupa kepadaNya dan kadang kala kita ingat…

Tapi apa yang pasti terlalu banyak masa kita habiskan bukan untukNya…


Buat Permata Islam,

Yang sudah tentu dikasihi Allah dan dirindui Nabi…

Sesungguhnya Islam bukan sekadar agama, tetapi ia adalah cara hidup kita…

Sama ada cara kita berpakaian, bertutur, belajar, berkerja, atau dengan perkataan yang lebih mudah adalah apa yang bermula dalam kehidupan kita daripada bangun tidur sehingga kita tidur kembali…

Semuanya telah Allah gariskan untuk kita…Hatta sebelum kita lahir sehinggalah kita ditempatkan di dalam liang lahad, Islam juga telah mengajarkan caranya…

Seringkali kita mendengar Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi darinya."

Tapi sayang sama sekali,

Kita yang merendah-rendahkannya, Kita yang menjauhkan diri daripadanya, bahkan kita malu apabila Islam itu menjadi identiti kita. Kita lalai dengan kehidupan kita, Sehingga kita menyangka dunialah syurga yang kekal abadi untuk kita. Sehingga kita lupa Allah S.W.T., Tuhan yang Maha Esa sedang memerhatikan kita…

Kita tahu adanya Allah,

Tapi kita melanggari perintahNya. Sombongnya kita kerana kita lupa kepada Pemberi segala nikmat. Sehingga kita menjadi orang yang kufur (ingkar) kepadaNya. Kita tahu benarnya al-Quran, tetapi kita tidak mengambil pengajaran daripadanya. Kita juga tahu adanya dosa dan pahala, bahkan juga tahu adanya Syurga dan Neraka...Tapi kita masih tidak mempedulikan perintah Allah S.W.T. Yang Maha Kuasa…


Buat Mutiara Islam…

Yang InsyaAllah akan terus bergemerlapan di bumi Allah…

Prof. Dr. Hamka pernah berkata :

"Kita boleh menghitung usia kita yang telah kita gunakan, tetapi kita tidak boleh menghitung berapa lagi usia kita yang masih tinggal."

Persoalannya …?

Bagaimana persediaan kita apabila usia yang terkandung di dalam jasad kita sudah habis digunakan…

Masihkan kita ingat akan firman Allah S.W.T. dalam Hadith Qudsi yang bermaksud :

Daripada Abu Hurairah r.a…

"Aku sesuai dengan dugaan/sangkaan (Zann) hamba Ku kepada Ku…Dan Aku bersama dengannya ketika dia ingat kepada Ku…

“ Jika dia ingat kepadaku di dalam hatinya, nescaya Aku akan mengingatinya dalam hati Ku. Dan jika dia ingat kepada Ku dalam lingkungan khalayak ramai, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam lingkungan khalayak ramai yang lebih baik. Dan jika dia mendekati Ku sejengkal, nescaya Aku pula akan mendekatinya sehasta. Dan jika dia mendekati Ku sehasta, nescaya Aku pula akan mendekatinya sedepa. Dan jika dia datang kepada Ku berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari…”

(HR. Syaikhani dan Tirmidzi)


Ingatlah!...

Walaupun sebesar bukit Uhud sekalipun dosa yang telah kita lakukan. Sesungguhnya Allah S.W.T. masih mengampunkan dosa kita. Oleh itu, kembalilah kepadaNya, andaikata hidup ini telah jauh dari landasan yang ditentukan olehNya. Sesungguhnya Kasih sayang Allah membatasi kasih sayang seluruh makhlukNya…

----
Mutiara kata:
"Manusia yang mempunyai arah akan menguasai nasib & gaya hidupnya..."

Berfirman Allah s.w.t. Yang bermaksud: 


"Wahai anak adam, Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kematian tetapi masih bergembira"


"Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap hari perhitungan tetapi dia masih mengumpulkan harta"



"Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kubur, tetapi masih tertawa"


"Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kehidupan di akhirat tetapi dia masih beristirehat"



"Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap dunia & kemusnahannya, tetapi dia masih tenang dengannya"


"Aku hairan kepada mereka yang alim pada lidahnya tetapi jahil dengan hatinya"

"Aku hairan kepada mereka yang sibuk bersuci dengan air tetapi hatinya tidak suci"

"Aku hairan kepada mereka yang sibuk dengan keaiban orang lain tetapi dia lupa terhadap diri sendiri"

Aku hairan kepada mereka yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu mengawasinya tetapi dia masih boleh melakukan maksiat atau mereka yang mengetahui sesungguhnya dia akan mati keseorangan, akan memasuki kubur keseorangan dan akan dihitung keseorangan tetapi masih jinak bersama manusia
Ketahuilah, tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Aku dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Ku....

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa'is Fil Ahadis al-Qudsiah)



JOM KITA MENGEMBARA LAGI, BAGI MENCARI BEKALAN KE DESTINASI ABADI ^^,

Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Wednesday, 13 June 2012

KENANGAN PRIKTIKAL


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah, puji-pujian hanya layak buat Mu. Pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat kekasih hati yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Apa khabar Iman kita? Semoga ianya terus mumtaz dan mampu mendidik nafsu untuk tunduk kepada Iman. InsyaAllah…ameen…(^^,)

11 mei 2010 (Kenangan priktikal)



 Dari tarikh itu, bermulalah priktikal ana serta dua orang sahabat. Seorangnya dari UM, bidang akauntan & seorangnya lagi dari universiti yang sama dengan ana, malah merupakan sahabat lama ketika berada di sekolah rendah.  Cuma kami berbeza bidang di Kampus, ana di bidang Dakwah, manakah dia di bidang Usuluddin & kaunseling.. bila bergabung Dakwah & Usuluddin Kaunseling, maka akan jadi bagaimana ye?? hehe. kami di wajibkan menjalani priktikal selama 2 bulan sahaja, sekejap je tu, kalau dipanjangkan tempoh, mesti lagi best dan sudah tentunya  banyak pengalaman yang akan kita dapat. Suatu pengalaman yang cukup berharga yang perlu kita kutip dan sampaikan pada orang di luar sana yang perlukan bimbingan .

Latihan Industri ini berlangsung selama lebih kurang dua bulan iaitu bermula dari 11 Mei 2010 hingga 1 Julai 2010 sebenarnya banyak memberi input berguna kepada kami khususnya untuk diaplikasikan. Sepanjang menjalani Latihan Industri di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah pelbagai pengetahuan yang telah kami diperolehi.

 Antara tugas-tugas yang  kami laksanakan adalah:

BAHAGIAN PENTADBIRAN

Antara tugas yang kami lakukan di bahagian pertadbiram adalah Memasukkan maklumat pendaftaran perkahwinan dalam sistem e-nikah. Berkaitan dengan itu, kami telah membantu memasukkan maklumat peribadi pasangan yang ingin berkahwin dengan menggunakan sistem e-nikah yang merupakan perisian enakmen sistem maklumat perkahwinan Islam yang dilakukan secara online. Setiap maklumat yang dimasukkan perlu dipastikan terlebih dahulu agar tidak mempunyai kesalahan dari segi ejaan kerana sistem tersebut tidak dapat dikemaskini setelah proses penghantaran dan pengesahan maklumat tersebut dilaksanakan. Malah setiap kesilapan yang berlaku boleh menyebabkan sijil nikah yang akan dicetak turut mengalami kesilapan dan mungkin menyebabkan pasangan yang ingin mengambilnya tidak akan berpuas hati. 

Selain itu, kami turut membuat semakan borang permohonan nikah yang diterima dengan lengkap dan sempurna daripada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan termasuk salinan kad pengenalan pemohon, wali, saksi serta surat pengesahan perubatan mengenai saringan ujian HIV, sijil kursus kahwin, surat akuan bujang dan sebagainya. Manakala bagi pemohon yang telah kematian wali bapa perlu disertakan dengan surat kematian wali tersebut. Begitu juga dengan pasangan yang berstatus duda, janda atau balu perlu melampirkan surat cerai atau surat kematian pasangan masing-masing. Setiap penghantaran borang nikah tersebut akan dikenakan bayaran sebanyak RM5.00 yang hanya diwajibkan kepada pemohon wanita bagi proses penghasilan sijil nikah.

Pada hari Jumaat setiap minggu pula, kami akan mendengar dan mengikuti kuliah atau tazkirah Jumaat yang diberikan oleh Ustaz Manolito. Semua staf-staf pejabat juga turut diwajibkan untuk mengikuti kuliah tersebut pada setiap pagi sebelum urusan pentadbiran pejabat bermula. Ustaz Manolito telah menggunakan kitab yang bertajuk ‘Munyatul Musolli’ sebagai rujukan dalam kuliah beliau yang dilakukan di bilik mesyuarat 2. Kuliah berkenaan telah dapat memberi pendedahan dan pembelajaran kepada semua staf untuk menambahkan ilmu di dada serta membersihkan jiwa dan bukan hanya melakukan tugasan-tugasan rasmi di pejabat sahaja.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat."

Hadis di atas merupakan ingatan daripada Baginda s.a.w. kepada umatnya supaya menyampaikan apa sahaja daripada Baginda s.a.w. yang diketahui kepada masyarakat. Mereka yang diberi kelebihan oleh Penciptanya dengan sedikit ilmu pengetahuan yang bermanfaat, diminta berkongsi kemanisan itu dengan saudaranya yang lain. Walaupun hanya sepatah perkataan, namun sekiranya dilihat mampu memberi kebahagian kepada seseorang, sebarkanlah. Betapa indahnya persaudaraan dalam Islam, perasaan individualistik dan egois dikikis daripada hati umatnya bagi menjamin kebaikan dan kesejahteraan seluruh umat manusia.

BAHAGIAN PENGUATKUASAAN

Unit ini merupakan satu unit yang berkaitan dengan undang-undang jenayah syariah yang mempunyai pelbagai urusan yang melibatkan dengan enakmen dari undang-undang jenayah syariah negeri Perak. Unit ini sering aktif melakukan pelbagai aktiviti antaranya mengadakan operasi pencegahan maksiat, program bersama masyarakat, menguruskan kes bersama mahkamah syariah dan sebagainya.

Antara tugasan yang sering kami lakukan dalam unit penguatkuasa ini ialah Memasukkan maklumat bagi sebarang kes jenayah syariah. Dalam tugasan ini, kami telah mempelajari cara-cara untuk memasukkan maklumat di dalam komputer dengan menggunakan sistem perisian dalam jabatan penguatkuasaan. Pelbagai maklumat setiap tangkapan dan kes perlu dimasukkan termasuk maklumat peribadi. Selain itu, kami turut diarahkan bagi memasukkan maklumat-maklumat berkenaan kes-kes jenayah syariah mengikut enakmen tertentu berdasarkan kepada laporan yang telah diterima untuk direkodkan di dalam fail penguatkuasaan mengikut tahun-tahun yang ditetapkan. Fail-fail tersebut yang telah penuh perlu diasingkan dan diikat dengan kemas. Setelah penutupan fail berkenaan, fail-fail yang baru akan dibuka mengikut seksyen masing-masing bagi dimasukkan segala rekod-rekod baru yang berkaitan jenayah syariah.

Seterusnya dibahagian ini, kami ditugaskan untuk mengedarkan risalah-risalah serta membantu menguruskan program ceramah agama. Dan pada bulan Mei yang lalu, kami telah diarahkan untuk menyusun risalah-risalah yang telah dikepilkan setiap satu dan diletakkan di dalam kotak yang telah disediakan. Risalah-risalah tersebut diedarkan kepada orang ramai termasuk penduduk-penduduk kampung, pelanggan pejabat dan juga orang yang telah ditangkap dalam pelbagai kes oleh pejabat agama. Seterusnya, kami dan juga staf dari pihak penguatkuasa telah beramai-ramai mengedarkan risalah-risalah tersebut di setiap rumah mengikut kumpulan di lokasi-lokasi yang berlainan bagi memudahkan dan melancarkan lagi urusan pengedaran risalah. Di samping menyebarkan risalah tersebut, kami turut memberi makluman kepada semua penduduk bahawa sebuah program ceramah akan diadakan di surau kampung yang berdekatan pada dua minggu yang akan datang.

Sebelum hari yang akan diadakan program ceramah tersebut, kami telah ditugaskan untuk memasukkan barang-barang keperluan seperti beras, minyak, susu, gula dan sebagainya di dalam kotak-kotak kosong yang dilabelkan dengan nama pejabat agama yang telah disediakan. Semua barang keperluan tersebut diletakkan secara tersusun di dalam kotak tersebut untuk diagihkan dalam acara cabutan bertuah dalam majlis ceramah berkenaan yang bertajuk ‘Penderitaan Gaza’ yang telah diadakan pada 24 Mei 2010 bertempat di Surau Kuala Bagan Tiang

Pengalaman yang cukup dan paling berharga adalah bila, kami diberi kebenaran untuk Mengikuti operasi pencegahan maksiat dan tindakan yang dikenakan ke atas suspek tangkapan. Sebelum operasi dijalankan, kami telah mendengar arahan daripada Ketua Pegawai Penguatkuasa terhadap semua pegawai penguatkuasa yang terlibat untuk menjalankan operasi penguatkuasaan serta beliau telah membahagikan mereka tersebut kepada beberapa kumpulan untuk diagihkan setiap tugasan. Setiap kumpulan tersebut akan melakukan operasi pencegahan maksiat di tempat-tempat yang berlainan seperti yang telah ditentukan oleh ketua pegawai penguatkuasa termasuk di lokasi Taman Rekreasi Sungai Kerian, taman-taman perumahan serta kedai-kedai judi seperti Damacai, Magnum dan Sport Toto. Ia meliputi operasi judi, perbuatan tak sopan dan mabuk. Justeru itu, kami telah diajak untuk mengikuti beberapa orang pegawai penguatkuasa ke Taman Rekreasi Sungai Kerian bagi operasi pencegahan maksiat dalam seksyen 57 iaitu Perbuatan Tak Sopan (PTS). Dalam operasi yang dijalankan tersebut, kami telah mempelajari dan mengetahui langkah-langkah yang berkesan untuk menangkap suspek yang terlibat di tempat kejadian seperti memerhati, mengekori, mengambil gambar sebagai bukti kes. 

Setelah tangkapan pasangan suspek dibuat, maklumat peribadi perlu diambil dengan meminta kad pengenalan mereka seterusnya suspek-suspek tersebut akan dibawa ke pejabat dengan menaiki van rasmi pihak penguatkuasa untuk diambil laporan selengkapnya. Kami juga turut berpeluang untuk menulis surat saman yang dikeluarkan oleh unit penguatkuasa dengan bayaran denda sebanyak RM1,000.00 atau penjara selama 2 bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

 Kemudian, ana dan sahabat ana, ditugaskan untuk memberi tazkirah dan kesedaran agama kepada suspek atau Orang yang Kena Tuduh (OKT yang telah ditangkap dalam Seksyen 57 iaitu Perbuatan Tak Sopan. Setiap pelajar praktikum telah mendapat seorang daripada pasangan bagi Orang yang Kena Tuduh (OKT) dan melaksanakan tugasan yang diberi dengan sebaiknya bagi mempraktikkan semua hasil pembelajaran dan pengajian kami yang sangat menjurus kepada kursus yang diikuti oleh kami. Tempat berlangsungnya sesi tazkirah tersebut adalah di dalam bilik yang berasingan bagi OKT lelaki dan juga perempuan. Apa yang dapat ana katakan, ketika sesi kaunseling tersebut dijalankan, ana sedih dengan keadaan anak remaja yang kian rosak akhlaknya. Mereka seakan-akan leka dengan dunia remaja yang hanya inginkan keseronokkan. Bila diberikan sedikit nasihat, lantas remaja tersebut menitiskan airmata bersama ibunya. 

Ana Cuma berikan kata-kata nasihat supaya dia merenungkan kembali langkahnya yang mungkin akan tersasar lebih jauh andaikata nafsu tidak dapat dikawal. Ketahuilah, orang yang ketiga pastilah akan cuba merosakkan kalian, Allah masih sayangkan kalian, dan sebab itulah kalian diberikan peluang kedua ini. Jadi, berjanjilah pada diri masing, berjanji dengan Allah, Ibubapa, yang kalian akan terus menjaga diri dengan sebaik-baiknya.

Selain menerima tugasan yang diberi oleh penyelia dan pihak penguatkuasa, kami juga turut menerima aduan jenayah syariah daripada beberapa orang pengadu mengenai kes khalwat, sumbang mahram dan lain-lain lagi yang berlaku di sekitar daerah Parit Buntar. Semua aduan itu ada yang diadukan melalui panggilan telefon, surat, faks dan juga pengadu hadir sendiri ke pejabat. Lantaran itu, kami terus melaporkan aduan itu kepada pihak pengutkuasa dan tindakan segera telah diambil oleh pihak penguatkuasa bagi membuat pencegahan maksiat tersebut. Bantuan polis juga turut membantu operasi tangkapan maksiat bagi mengukuhkan dan mengesahkan lagi bukti tangkapan berkenaan dengan laporan yang telah dibuat oleh mereka untuk menghadapkan suspek di muka pengadilan kelak.

Kemudian, kami ditugaskan untuk menjayakan program Kem Pembinaan Jati Diri Remaja Muslim. Sebelum program tersebut diadakan, kami telah menyemak semula senarai nama yang digelar sebagai ‘Orang yang Kena Tuduh’ (OKT) yang telah keciciran daripada menerima surat untuk menghadirkan diri ke program ‘Kem Pembinaan Jati Diri Remaja Muslim’. Justeru itu, kami telah menulis alamat surat-menyurat mereka yang telah keciciran untuk dihantar surat tersebut dengan segera. Tambahan pula, kami turut ditugaskan untuk membuat modul-modul berkenaan kewajipan bersolat dan menutup aurat, hukum berjudi dan berzina dan sebagainya sebagai satu pengisian ilmu dalam program berkenaan. Untuk itu,  kami telah dilantik oleh pegawai penguatkuasa untuk menjadi fasilitator bagi semua suspek tangkapan atau Orang yang Kena Tuduh (OKT) yang dibuat dalam rekod yang terbaru. Kami telah menjadi fasilitator dalam kumpulan yang berasingan dan terdiri daripada 9 orang sekitar umur 15 hingga 25 tahun. Antara program yang dikelolai oleh kami ialah latihan dalam kumpulan yang dapat memberikan modul-modul yang telah kami sediakan dan juga peringatan serta kesedaran kepada mereka untuk menjadi muslim sejati tanpa melakukan maksiat dengan bersandarkan kepada ‘amar maa’ruf nahi munkar’.

Ana cuba menyelami hati &, jiwa muda mereka yang memerlukan bimbingan dari kita. Ana katakana kepada mereka “ Bila kita ditangkap begini, bukan bererti Allah tidak sayangkan kita, tetapi sebenarnya Dia sangat sayangkan kita, sebab itulah kita berada dalam bilik untuk membetulkan diri kita dan kembali semula kepada Dia. Allah tidak pernah jauh dari kita, tidak pernah lupakan kita, tapi kita yang selalu lalai dari ingat pada Dia. Tidak ada insan suci yang tidak punya masa silam, tidak ada insan yang berdosa yang tidak punya masa depan

“Ummah kini sudah berpecah belah dan seringkali berselisih pendapat sesama mereka. Maksiat pula semakin berleluasa dan melakukan dosa setiap hari sudah menjadi darah daging mereka sehingga akhirat mereka lupa. Roh Islam yang sebenar perlu dikembalikan, pimpin dan bawalah saudara seIslam kita untuk kembali kepada fitrah Islam, kembali sujud kepada Allah s.w.t…”



UNIT RUNDINGCARA

Di pejabat agama tersebut terdapat unit rundingcara atau kaunseling yang bernaung di bawah Jabatan Agama Islam Perak. Unit berkenaan hanya memberikan perkhidmatan kepada pasangan yang telah berkahwin dan mengalami masalah dalam pengurusan rumahtangga. Setiap pengadu yang ingin mendapatkan khidmat kaunseling tersebut mesti menulis aduan mereka di dalam buku aduan rumahtangga sebelum menerima surat temujanji mereka bersama kaunselor yang bertauliah.Dalam unit tersebut, kami membantu menguruskan beberapa masalah mengenai isu pergolakan rumahtangga daripada pelanggan yang ingin meminta bantuan untuk mendapatkan khidmat kaunseling. Malah ada juga pelanggan yang ingin menyelesaikan masalah perceraiannya tanpa melibatkan urusan melalui prosedur mahkamah.

UNIT MUBALLIGH

Sebarang urusan yang berkaitan dengan penglibatan ‘Saudara Baru’ akan ditadbir oleh Unit Muballigh ini. Malah unit ini juga aktif dalam menjalankan pelbagai program dalam usaha untuk memberi pendedahan dan penghayatan dalam beragama kepada ‘Saudara Baru’. Ana dan sahabat ditugaskan untuk menguruskan pendaftaran ‘Saudara Baru’.Dalam unit ini, kami telah merekodkan maklumat-maklumat peribadi ‘Saudara Baru’ di dalam buku rekod sebagai rujukan pejabat dan setiap penyertaan yang telah disahkan oleh Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah mengenai status agama asal mereka yang telah bertukar kepada agama Islam akan diberikan satu surat pengesahan pertukaran agama. Ini bagi memudahkan urusan pengendalian sebarang perkara yang berkaitan dengan maklumat peribadi mereka dalam urusan rasmi mahupun tidak rasmi. Kemudiannya kami jugam mengikuti kelas ‘Saudara Baru’yang diajarkan kepada mereka mengenai asas dan prinsip agama Islam termasuk aspek akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya. Menjadi tugas kita untuk mengajarkan kepada mereka, tanpa kita, kemanalah hala tuju mereka.

berdakwahlah dengan penuh hikmah, dan sampaikanlah kepada mereka yang memerlukan bimbinganmu’’

Banyak lagi tugas-tugas yang kami lakukan, namun hanya ini yang dapat ana kongsikan.. hehe, kalau nak tahu dengan lebih lanjut, kena cuba merasainya sendiri. =p  benarlah, secebis pengalaman itu cukup berharga andai niat kita ikhlas untuk mencarinya.

Ambillah iktibar & lakarkan lah secebis pengalaman yang ada pada kita untuk dijadikan modal dalam meneruskan langkah kejalan yang diredhai Allah. ikhlaskan hatimu takkala berkata-kata agar dapat melunakkan hati mereka yang keras seperti batu. Hikmahlah dalam berkata-kata agar hati mereka hidup dan sentiasa mengingati Allah s.w.t
Benar…apabila seorang penceramah berkata-kata dengan nada ikhlas, hati kita tersentuh dan serentak dengan itu hati kita terdetik untuk berubah disamping untuk terus mendengar butir bicara yang disampaikan. 

Sebaliknya, apabila kita mendengar penceramah berkata dengan nada riak, hati kita terasa jauh dan mendengar sambil lewa. Habis sahaja hadiri majlis ilmu tersebut, kita pulang tanpa mendapat apa-apa.

Itulah besarnya peranan seorang da’ie atau pendakwah. Ianya boleh mengajak kalian untuk melangkah setapak mendekati Allah s.w.t. atau tetap berada di tempat yang sama.

Seringkali hati ini berkata-kata, “Allah s.w.t. hanya akan pilih insan yang benar-benar ikhlas sahaja berada dijalanNya, dan selebihnya pula akan dibiarkan futur dan berundur dari jalan dakwah”.



Satu pesanan yang ku terima sebelum memulakan priktikal

“bilamana sesuatu itu dilakukan bukan kerna Allah s.w.t….tunggulah saat  kejatuhannya…”

ya, memang benar, apabila kita melakukan sesuatu bukan kerana Allah, maka, tunggulah sesuatu yang bakal di uji oleh Allah.. 


“jika kamu melakukan sesuatu atas nama program, kelab, persatuan, jawatan atau pangkat dan bukan kerna Allah s.w.t. dan Islam…nescaya kamu akan futur dan berundur dalam dunia da’wah”

Wallahua’lam.

Ilmu adalah warisan para Nabi dan Rasul,
sedangkan harta adalah warisan Qarun dan Fir’aun.
Ilmu akan menjagamu,
sementara harta, engkau yang perlu menjaganya.
Ilmu tidak ada pencuri,
sedangkan harta banyak pencurinya.

(Saidina Ali bin Abi Thalib)







Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^

Tuesday, 12 June 2012

DI MANA ''DIA'' DI HATIKU


Di mana DIA di hatiku?
…. semasa Rasulullah s.a.w dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi di gua Thaur, dalam perjalanan untuk hijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka…
Ketika Sayidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w menenangkannya dengan berkata, “jangan takut, Allah bersama kita.” Itulah kehebatan Rasulullah, Allah sentiasa di hatinya.
Sewaktu Da’thur seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah saw lalu meletakkan pedang ke leher nabi Muhammad saw dan bertanya, “siapa akan menyelamatkan kamu daripada ku?”
Rasulullah saw dengan yakin menjawab, “Allah.” Mendengar jawapan itu gementarlah Da’thur dan pedang pun terlepas daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah saw… ada DIA di hati baginda.
Diceritakan bahawa suatu ketika khalifah Umar Al Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di tengah sebuah padang pasir.
“Boleh kau jualkan kepada ku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?” tanyanya kepada budak tersebut.
“Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja.”
“Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini, jika kau jualkan seekor kepada ku dan kau katakan kepada tuan mu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuan mu tidak akan mengetahuinya,” desak Sayidina Umar lagi sengaja menguji.  
“Kalau begitu di mana Allah?” kata budak itu. Sayidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati budak itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya dia punya kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Jelas ada DIA di hatinya.
Satu ketika yang lain, Sayidina Khalid Al Walid diturunkan daripada pangkatnya sebagai seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh khalifah Umar. Esoknya, Sayidina Khalid ke luar ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat. Ketika ditanya mengapa, Sayidina Khalid menjawab, “aku berjuang bukan kerana Umar.” Ya, Sayidina Khalid berjuang kerana Allah. Ada DIA di hatinya.
Melihat enekdot-enekdot agung itu, aku terkesima lalu bertanya pada diri ku sendiri, di manakah DIA dalam hati ku? Apakah Allah sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk dan membujuk hati ku yang rawan? Allah ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta Allah bersemi. Jika cinta Allah yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya cinta selain-Nya yang ada di situ, maka cinta Allah akan terpinggir . Ketika itu tiada DIA di hati ku!
Sering diri ku berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidup ku, kata mereka (dan aku sangat yakin dengan kata itu), “ bila Allah ada di hati mu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki. ”
Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah Allah menjadi tumpuan dalam hidup ku? Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-Nya? Bila bertembung antara kehendak-Nya dengan kehendak ku, kehendak siapa aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerananya? Tegakah aku membenci juga kerananya?
Muhasabah ini melebar lagi… Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam Mu? Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai Mu ya Allah. Dan aku juga tidak dapat mendustai diri ku sendiri. Aku teringat bagaimana satu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, “apakah engkau takutkan Allah?”
Dia menangis dan menjawab, “aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikap ku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan Allah bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat Allah tetapi aku tidak…” Maksudnya, sufi itu sendiri tidak dapat menjawab apakah ada DIA di hatinya…
Jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan Allah pun sukar bila ditanyakan apakah ada dia di hatinya, lebih-lebih aku yang hina dan berdosa ini. Di hati ku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta Allah dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, “adakah DIA di hati mu?”, aku hanya mampu menjawab, “aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hati ku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-Nya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-Nya…”
Justeru belum ada DIA di hati ku, hidup ku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari dengan langkah mujahadah ini. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunan-Nya lebih luas daripada pintu kemurkaan-Nya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Begitu seperti yang selalu ku dengar daripada sebuah hadis Qudsi yang panjang.
Dan akhirnya aku tiba pada satu keyakinan, di mana DIA di hati ku bukan menagih satu jawapan… tetapi satu perjuangan dan pengorbanan. Insya-Allah, aku yakin pada suatu masa nanti akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua! Insya-Allah. Amin. Dan kita akan terus mengemis kasih…
MENGEMIS KASIH MU
Tuhan dulu pernah aku menagih simpati

Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku di lorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi kian parah

Semalam sudah sampai ke penghujungnya

Kisah seribu duka kuharap sudah berlalu
Tak ingin lagi ku ulangi kembali
Gerak Dosa yang menghiris hati

Tuhan dosaku menggunung tinggi

Tapi rahmat-Mu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi

Tuhan walau taubat sering kumungkir

Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat pada-Mu
Seribu langkah Kau rapat padaku



Moga Allah redha..InsyaAllah ^_^